Antara tonggak utama yang menjayakan program Wacana Sejarah Sabak Bernam |
Pada 24 Jun 2023 yang lalu, telah berlangsung satu program yang diberi nama sebagai Wacana Sejarah Sabak Bernam : Membangun Wisata & Ekonomi Sabak Bernam dari Kacamata Autobiografi Cinta Agung Ibu di Bilik Seminar Perpustakaan Daerah Sabak Bernam. Wacana ini disampaikan oleh Saudara Ferri Anugerah Makmur, seorang motivator, pengkarya, penulis buku dan pelukis. Program ini merupakan program bulanan yang dianjurkan oleh Perpustakaan Daerah Sabak Bernam dalam usaha mengangkat kembali prospek pensejarahan di Sabak Bernam.
Poster program |
Saya telah diberikan amanah untuk menjadi moderator bagi program yang berlangsung selama 2 jam ini. Banyak input yang diperoleh oleh para peserta sepanjang program ini. Saudara Ferri banyak menggarap pengalaman hidupnya yang ditulis di dalam buku Cinta Agung Ibu dengan pembangunan wisata dan ekonomi Sabak Bernam . Pembangunan wisata dan ekonomi Sabak Bernam haruslah melibatkan beberapa ciri yang akan memberikan kejayaan suatu hari nanti. Antara ciri-ciri tersebut ialah KESEPAKATAN iaitu kita sama-sama bersetuju dan berusaha mengangkat kembali nama Sabak Bernam . Menurut beliau, Sabak Bernam kaya dengan budaya dan kesenian seperti silat, kuda kepang dan wayang kulit. Mengapa kesenian ini tidak diteruskan ? Soal beliau kepada hadirin .
Saudara Ferri Anugerah Makmur khusyuk menyampaikan pengisian |
Program-program yang akan berlangsung secara bulanan berkaitan sejarah Sabak Bernam |
Beliau menekankan tentang pentingnya untuk belajar dengan orang yang lebih berjaya untuk mendapatkan kejayaan yang sama bahkan lebih daripada mereka. Beliau memberi penekanan bahawa pentingnya orang Sungai Besar belajar bagaimana Sekinchan jadi lebih terkenal berbanding daerah Sabak Bernam itu sendiri dari kacamata orang luar. Sekinchan mempunyai lebih banyak tarikan kepada orang luar berbanding kawasan lain di Sabak Bernam. Sekinchan terdapat kafe yang dibina di dalam kapal terbang, hotel besar di tengah sawah padi dan pelbagai rumah inap desa dan tempat menarik untuk dilawati. Wacana dilakukan secara santai, bahkan para hadirin tidak perlu menunggu sehingga akhir program untuk berkongsi pandangan dan bertanya soalan dengan penyampai. Pendekatan ini ternyata memberi keselesaan kepada hadirin dan seterusnya mereka lebih gembira untuk berkongsi apa yang terbuku dalam kotak pemikiran mereka.
Wacana ini boleh diikuti sepenuhnya melalui pautan https://fb.watch/lm6eZVoLon/?mibextid=Nif5oz .
Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang menjayakan wacana ilmiah ini yang merupakan program pertama yang memfokuskan sejarah di Sabak Bernam. Wacana ini akan diadakan secara berkala iaitu sebulan sekali dalam usaha mengangkat kembali martabat pensejarahan di Sabak Bernam. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang sudi menjadi tonggak utama dalam usaha ini.