SEJARAH TEMPAT-TEMPAT DI SABAK BERNAM

0
 

 
 
 
SEJARAH PANCHANG BEDENA (SUNGAI BESAR) 
 
1) Kampung ini pada asalnya diberi nama sebagai Kampung Api-Api kerana terdapat banyaknya pokok api-api yang terdapat di sana.
 
2) kemudiannya ditukar kepada kepada nama Panchang Bedena disebabkan peristiwa penemuan sebuah bedena besar (tempayan bekas menyimpan harta) di dasar laut yang kemudiannya dipancang kayu oleh penduduk kampung sebagai tanda untuk memudahkan orang ramai membawanya ke darat. 
 
3) Kampung ini diasaskan oleh Penghulu Haji Talib atau Haji Taib Keramat iaitu orang yang mula-mula datang dan membuka kampung ini selepas perang Selangor (1867-1873)
 
4) Tuan Haji Muhammad bin Haji Shafie iaitu menantu kepada Penghulu Haji Talib membina Masjid Panchang Bedena Lama @ Masjid Jin pada tahun 1905 (masjid tertua di Sabak Bernam) 
 
Sumber : Warisan Masjid-masjid lama di Selangor, Mohd Zainuddin Abdullah, Noorhayati bt Md Yatim.
 
 -----------------------------------------------------------------------------------------
SEJARAH SUNGAI LIMAU, SUNGAI BESAR
 
1) Kampung ini diasaskan oleh Tuan Haji Hashim Brono Sintono bersama-sama 40 orang peneroka berketurunan Jawa.
 
2) Beliau juga mengasaskan Masjid Hashimiah pada tahun 1930-an di atas tanah yang diwakafkan oleh beliau sendiri.
 
3) Tukang kayu asal masjid ini dikatakan berketurunan Jawa dan reka bentuk masjid ini menampilkan ciri-ciri masjid lama di kepulauan Jawa.
 
Sumber : Warisan Masjid-masjid lama di Selangor, Mohd Zainuddin Abdullah, Noorhayati bt Md Yatim
 
------------------------------------------------------------------------------------------
 SEJARAH KAMPUNG LUBUK PUSING
 
1) Kampung ini diasaskan oleh seorang ulama iaitu Tuan Haji Syeikh Ahmad Marzuki pada tahun 1912 bersama-sama pengikutnya yang terdiri daripada 40 pasangan suami isteri dari Sumatera.
 
2) Nama lubuk pusing ialah bersempena dengan nama air yang berpusing dan berpusar di tengah sungai yang terdapat di kampung itu.
 
3) Pada asalnya Lubuk Pusing terdapat sungai yang agak besar dengan arusnya yang deras sehingga dikatakan boleh menenggelamkan perahu-perahu kecil yang lalu di sungai tersebut.
 
4) Di tengah-tengah sungai tersebut terdapat 3 buah lubuk yang airnya berputar.
 
5) Di bawah lubuk tersebut dipercayai terdapat terowong yang menghala ke selat Melaka. 
 
6) Menurut cerita orang kampung, pada tahun 1947 berlakunya satu peristiwa semasa kunjungan DYMM Sultan Selangor ke kampung tersebut.
 
7) Kapal yang dinaiki baginda tidak dapat melalui kawasan lubuk berkenaan kerana arusnya terlalu deras dan sauh yang dicampakkan tidak sampai ke dasar sungai.
 
8 ) Setelah baginda berangkat pulang, orang kampung ternampak air di tengah lubuk tersebut membuak dan memancut tinggi setinggi enam kaki lalu memuntahkan sampah sarap yang biasanya ditemui di Selat Melaka.
 
9) Menurut cerita orang kampung, pada tahun 1960-an, Syeikh Ahmad Marzuki bersama pengikutnya melakukan solat hajat untuk meredakann pusingan air pada lubuk tersebut. Dengan izin Allah, sungai tersebut menjadi kering dan hanya meninggalkan 3 buah telaga yang mana airnya masih lagi berpusing hingga ke hari ini.
 
Sumber : Warisan Masjid-masjid lama di Selangor, Mohd Zainuddin Abdullah, Noorhayati bt Md Yatim
 
------------------------------------------------------------------------------------------
SEJARAH KAMPUNG SUNGAI HAJI DORANI
 
Kampung Sungai Haji Dorani diteroka oleh penduduk awalnya pada zaman pemerintahan British sekitar tahun 1910. Mereka terdiri daripada kalangan orang-orang suku kaum Jawa dan suku kaum Melayu .
 
Kawasan penerokaan mereka lebih tertumpu kepada kawasan berhampiran pantai Laut Selat Melaka , kerana mempunyai kemudahan perhubungan air dengan kampung-kampung lain seperti Kampung Panchang Bedena, Kampung Sekendi, Kampung Baru dan Kampung Sepintas (kampung-kampung terawal diteroka penduduk di Daerah Sabak Bernam).
 
Peneroka suku kaum Jawa yang ‘terbiasa’ dengan kerja-kerja pemugaran tanah semasa di negara Indonesia, lebih minat membuka tanah untuk dijadikan sawah padi, di mana kedudukannya agak jauh ‘ke darat’ manakala suku kaum Melayu pula kekal membuka kebun kelapa berhampiran pantai Laut Selat Melaka, selain mencari nafkah menjadi nelayan.
 
Dipercayai, seorang yang bernama Haji Dorani adalah ‘ketua’ yang disegani oleh penduduk waktu itu kerana beliau mampu menyemai sikap gotong-royong dalam kalangan penduduk dan hidup harmoni bermasyarakat walaupun berlainan suku kaum selain mempunyai pengetahuan agama.
 
Atas pendapat dan saranan beliau serta sokongan semua penduduk, anak sungai kecil yang ada di kampong tersebut telah diperluas, dibersihkan serta disesuaikan dengan pengkalan para nelayan tempatan. Anak sungai tersebut akhirnya membolehkan perahu dan tongkang nelayan kaum Cina masuk jauh ke hulu, sebagai perlindungan dari tiupan ribut di laut pada musim gelora.
 
Kesuburan tanaman dan keharmonian penduduknya telah menarik minat lebih ramai lagi penduduk luar datang menetap dan meneroka tanah di situ. Mereka turut bersetuju menamakannya sebagai ‘Sungai Haji Dorani‘.
 
Selepas pendaratan Jepun pada tahun 1941, Sungai Haji Dorani mula dikunjungi oleh kaum Cina dari luar secara besar-besaran. Mereka membuka kedai papan beratapkan daun nipah atau zing bagi menjual barang-barang keperluan penduduk dan tertubuhlah sebuah pekan kecil yang di kenali ‘Pekan Sungai Haji Dorani‘ . Sebahagian daripada bangunan kedai tersebut masih kekal hingga sekarang dan penduduk suku kaum Cina merupakan salah satu suku kaum yang menetap di Sungai Haji Dorani ketika ini.
 
Masa terus berlalu, penduduk semakin ramai, pembangunan turut sampai ke Sungai Haji Dorani dengan tertubuhnya institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Agama Menengah, di samping kemudahan ahli masyarakat diperlukan seperti surau, masjid dan balairaya.
 
 
-------------------------------------------------------------------------------------------
 SEJARAH PULAU GANDA SULI
 
Kampung ini telah dibuka pada pertengahan tahun 1960-an dan telah diluluskan oleh pejabat Daerah Hilir Perak pada penghujung tahun 1960-an.
 
Kampung ini telah diterokai yang diketuai oleh tuan Hj. Saman bin Hj. Mahmud, yang berasal dari parit 12 sg. Panjang. Kampung ini yang nama asalnya Tanjong Kepayang dan apabila mereka menebang tebas terdapat banyak pokok suli maka mereka menamakan kampong ini Pulau ganda suli. Setelah dipersetujui oleh pihak pejabat Daerah Hilir Perak maka hingga kini nama kampung ini dikenali dengan nama kampung Pulau Ganda Suli.
 
Mengikut cerita orang tua-tua dahulu kampung ini telah menjadi pulau apabila selat yang menghubungkan pulau tersebut dengan kampung Sungai Manila yang luasnya hanya lebih kurang sepuluh rantai telah dipotong oleh orang-orang kampung yang tinggal di kawasan persisir Sungai Bernam pada ketika itu maka ia menjadi satu pulau yang berasingan dengan kampung asal [ Kampung Tanjong Kepayang/Tanjong Samak ].
 
Idea itu tercetus oleh orang-orang yang tinggal di kampung persisiran sungai bernam yang berulang alik menyusuri sungai itu untuk mencari rotan dan nibong untuk dipasarkan di pekan Sabak Bernam dan Teluk Intan. Rotan dan Nibong adalah mata pencarian mereka pada waktu itu dan perkara tersebut berlaku pada tahun 1930-an.apbila selat itu di potong mereka dapat memendekkan perjalanan selama dua jam mandayung sampan . Semenjak itu mereka tidak perlu lagi mengelilingi pulau tersebut.
 
Mengikut ceritnya juga apabila selat itu dipotong semakin lama semakin lebar dan dalam dan ia mengurangkan kelajuan air yang yang berpusing yang mengelilingi pulau tersebut [ sejarah Lubok Pusing] lama kelamaan sungai itu tidak lagi berfungsi [mati] dan bekas sungai itu telah di tanam dengan pokok kelapa sawit oleh orang-orang kampung dan seolah -olah kampung ini tidak ada sempadan lagi dengan Daerah sabak bernam.
 
Jika dilihat dengan mata kasarnya kampung ini terletak di dalam Daerah Sabak Bernam kerana 2/3 sempadan kampung ini dikililingi oleh kampung -kampung dalam daerah tersebut.
 
1. Di sebelah utara kampung Jerang Belanga [Sabak bernam]
2. Di sebelah selatan Kampung Tebok Jaya [Sabak bernam]
3. Di sebelah barat kampung Lubok pusing [Sabak bernam]
4. Di sebelah timur kampung Sungai Manila [ Hilir perak ].
 
Kampung sungai manila ini terpisah oleh Sungai Bernam .Tapi pada hakikatnya kampung Pulau Ganda Suli ini adalah terletak di dalam Daerah Hilir Perak ,Teluk Intan Perak Darul Ridzuan
 
Lubok Pusing terletak di utara kampung . Ia adalah satu kolam yang mempunyai pelbagai sejarahnya seperti berikut;-
 
Menurut ceritanya kawasan sungai ini apabila air mula naik pasang ia berpusing begitu laju (deras) ia akan menenggelamkan sampan atau siapa saja yang lalu di situ semasa air mula nak pasang (naik). 
 
Mengikut cerita orang-orang yang tinggal di kampung seberang (Kampung Lubok Pusing) perkara ini berlaku awal tahun 1920-an satu rombongan pengantin yang melalui kawasan itu telah tenggelam bersama sampan dan semua yang ada didalamnya 
 
Mengikut ceritanya itu telah timbul di kawasan kuala sungai Hutan Melintang bersama sampan dan ranting-ranting kayu.
 
Ada juga cerita yang bilal masjid yang bernama Wak Kasman bin Abdullah ia mengatakan pernah melihat buaya putih bertarung dengan seekor buaya biasa yang begitu besar perkara ini biasanya berlaku apabila air mula pasang (naik) . Beliau bercerita hal ini semasa beliau berumur 20an.
 
Kawasan kolam mini juga selalu di kunjungi oleh pelajar Universiti tempatan hampir setiap tahun dengan tujuan untuk mengkaji sejarah kolam ini
Menurut sejarahnya juga sebuah Kapal Rombongan Diraja Selangor datang ke situ untuk melawat kampung seberang (Lubok Pusing) apabila sampai di kawasan air yang berpusing itu kapal itu berhenti dan meletakan sauhnya tetapi mengikut ceritanya sauh yang diletak dalam sungai tadi tidak sampai ke tanah walaupun dihulurkan dengan rantai yang panjang. Lalu sultan mengarahkan supaya berpatah balik kebelakang Tetapi apabila kapal itu telah keluar dari kawasan air yang berpusing tadi mereka meletak sauhnya hanya beberapa kaki sahaja sauh itu sudah sampai ke tanah (dasar sungai )itu dan mereka hairan memikirkannya berapa dalamkah sungai ditempat air yang berpusing
 
Kini apabila sungai itu sudah tidak berfungsi lagi dan sudah menjadi daratan ia hanya tinggal tiga (3)buah kolam yang kecil tetapi masih mengeluarkan air yang tidak putus hingga kini.
 
Untuk makluman kawasan kolam ini telah dibina dengan tambak dan pagar tetapi oleh kerana tidak ada jalan yang sempurna maka kolam ini terabai dan tidak lagi di kunjungi oleh orang ramai.
 
Dengan ini saya merayu agar pihak yang berwajib tersebut akan mengambil daya usaha untuk membaik pulih/menaik taraf kawasan kolam tersebut.
 
 
-------------------------------------------------------------------------------------------------
 
SEJARAH KAMPUNG TEBUK MUFRAD

KETOKOHAN dan kewibawaan seorang imam yang amat dihormati penduduk suatu ketika dulu diabadikan pada nama sebuah kampung tradisional di Sabak Bernam.
 
Mengikut sejarahnya, nama Kampung Tebuk Mufrad diambil sempena nama Allahyarham Kiyai Mufrad yang suatu ketika pernah mendiami kampung itu dengan menjadikan masjid kampung itu sebagai pusat pentadbiran dan penyatuan penduduk setempat.
 
Kampung itu dahulunya dipanggil Kampung Matang, diteroka seawal tahun 1914 oleh kelompok peneroka dari Jawa, Indonesia dan ditukar nama kepada Tebuk Mufrad atas nama pengasas dan imam pertama kampung itu.
 
Ketua Kampung Tebuk Mufrad, Suhaimi Kasiman berkata, sehingga kini, masjid yang menjadi pusat penyatuan penduduk kampung itu terus kekal sebagai rumah ibadah di kampung itu meskipun sudah menjangkau usia 100 tahun.
“Jasa dan sumbangan Kiyai Mufrad kepada penduduk amat bermakna kepada generasi hari ini dan kita amat berharap agar suasana penyatuan yang dicetuskan Allahyarham terus kekal sampai bila-bila,” jelas Suhaimi.
 
Beliau berkata, kampung yang berada tujuh kilometer (KM) dari Pekan Sungai Air Tawar dan 12 KM dari Pekan Sabak Bernam turut menghubungkan lima kampung berhampiran iaitu Kampung Perenggan; Tebuk Marjan; Tebuk Jawa; Tebuk Berihun dan Estet Kampung Baharu.
 
Jelas Suhaimi lagi, penduduk kampung itu terdiri daripada keturunan Jawa, Banjar dan Kampar dan mereka ini saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam segala hal termasuk usaha membangunkan kampung berkenaan.
Beliau berkata, kebanyakan penempatan penduduk di kampung itu pada masa kini dibina di sepanjang jalan raya kerana lokasinya yang lebih strategik, selain memudahkan perhubungan.
 
“Uniknya penduduk kampung terdiri daripada pelbagai latar belakang, kedudukan penempatan di kampung ini juga berbeza-beza, ada yang dibina sederet, berselerak dan terpencil.
 
“Selain Kiyai Mufrad, empat pemimpin berjasa kepada kampung ialah Anuar Yussof (1964); Daris Kadiran (sehingga 1974); Khabib Khalil (sehingga 2007) dan Ismail Zakaria (sehingga 2008). Mereka berjaya membangunkan kampung dengan cemerlang,” ujarnya.
 
Kampung itu, jelasnya, berpegang kepada tiga prinsip pegangan masyarakat Jawa iaitu ‘keras, waras dan beras’ yang membawa pengertian seseorang itu seharusnya bekerja keras, memiliki tubuh badan sihat dan mendapat makanan secukupnya sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Lebih membanggakan, katanya, sejarah kampung itu juga diwarisi penduduknya apabila buku berjudul ‘Jejak Sejarah Kampungku’ dilancarkan sempena Majlis Sambutan 100 Tahun kampung berkenaan.
 
“Buku itu ditulis Muhd Khailani Abdul Jalil selaku Ketua Pengarang yang turut dibantu Jamil Adimin, Razali Mohsin, Yaakob Zakaria dan Mohd Kamali Adimin,” katanya.
 
Buku ini mengambil masa empat bulan kerana ia perlu ditulis berdasarkan penyelidikan dan kajian bagi mempersembahkan sejarah kampung yang amat bernilai tinggi.
 
Pelbagai maklumat penting terkandung dalam buku ini termasuklah sejarah asas penubuhannya; biografi Kiyai Mufrad; tokoh pemimpin kampung; lokasi; penempatan penduduk; sejarah masjid menjadi tempat pentadbiran; pekerjaan utama penduduk dan aktiviti kebudayaan
setempat.
 
Pegawai Daerah Sabak Bernam, Samsudin Mon diberi penghormatan merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Kampung itu seterusnya melancarkan buku 'Jejak Sejarah Kampungku' yang turut dihadiri Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abd Malik dan Adun Sabak, Sallehin Muhyi.
 
Menurut Muhd Khailani, hanya sebuah masjid sahaja yang dibangunkan untuk kegunaan kariah kampung Tebuk Mufrad sehingga kini dan ia berfungsi sebagai pusat pengajian agama yang menjadi tumpuan utama penduduk selain tempat penyatuan ummah dan lambang kekuatan Islam.
 
“Kampung ini juga memiliki pelbagai prasarana lain seperti surau, balai raya, sekolah rendah agama, maahad tahfiz, klinik desa, tabika Kemas, gelanggang serbaguna dan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik,” katanya
 
“Paling istimewa, majlis ini turut dihadiri waris terdekat kepada Kiyai Mufrad iaitu Datuk Markiman Kobiran yang turut memberikan kerjasama dalam penyelidikan dan kajian bagi menghasilkan buku tersebut,” kata Muhd Khailani lagi.

 

 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)