PEMBINAAN JAMBATAN SUNGAI AIR TAWAR KE HUTAN MELINTANG

0

 

SABAK BERNAM - Jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar, Selangor ke Hutan Melintang, Perak dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2025.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, jambatan merentasi Sungai Bernam sepanjang dua kilometer itu mampu memendekkan tempoh perjalanan sejauh 40 kilometer bagi penduduk sekitar kawasan berhampiran.

Menurutnya, projek yang dijangka bermula tahun depan itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

"Jika sebelum ini penduduk sekitar Sungai Air Tawar terpaksa melalui jambatan utama di Sabak Bernam yang mengambil masa lama untuk ke Hutan Melintang tetapi mereka hanya memerlukan 10 minit sahaja untuk sampai ke sana (Hutan Melintang) jika jambatan kedua siap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat pembinaan jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar Selangor ke Hutan Melintang Perak di Kampung Dato' Hormat di sini pada Isnin.

Izham memberitahu, pembinaan jambatan yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

"Apabila WCE siap sudah tentu jambatan utama menjadi sesak dan pembinaan jambatan kedua menjadi pilihan kepada pengguna jalan raya bagi mengelakkan kesesakan."Jambatan itu dibina setinggi 36 meter kerana ada keperluan kapal atau bot yang melaluinya selain air pasang besar," jelas beliau.  

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)