![]() |
Penulis berbual-bual bersama-sama dengan Ustaz Ali di Masjid As Syakirin , Bintulu Sarawak |
USTAZ ALI FATHULLAH : PERTEMUAN PERTAMA
Saya telah ditakdirkan oleh posting ke Bintulu , Sarawak pada tanggal 16 Januari 2012. Namun disebabkan tarikh perkahwinan saya telah ditetapkan berlangsung pada 21 Januari 2012, jadi saya menangguhkan pemergian saya ke Sarawak pada 3 Februari 2012.
Pemergian saya ke Sarawak rupa-rupanya telah diambil maklum oleh Ikhwah-ikhwah Bintulu kerana apabila saya menjejakkan kaki sahaja ke Lapangan Terbang Bintulu (3 Februari 2012), saya telah disambut oleh Akhi Muhammad Firdaus Shah atau lebih dikenali sebagai Mufias. Orang dakwah tentu kenal dengan sosok ini kerana dialah penulis modul Ini Sejarah Kita (ISK) yang digunakan sebagai bahan daurah suatu ketika dahulu.
Akhi Mufias kemudiannya mengajak saya ke Restoren Selera Kampung di Pekan Bintulu . Di Restoren tersebutlah , buat pertama kali saya bertemu dengan datuk saudara saya yang telah berpuluh tahun berkhidmat di Bintulu Sarawak iaitu Pak Cik Azizi Ismail . Beliau telah lama berkhidmat di Bintulu di syarikat oil and gas di sana.
Selama beberapa hari saya menetap di rumah Pak Cik Azizi kerana saya tidak mempunyai rumah sewa atau kenderaan sendiri. Terpaksalah saya menumpang Isteri pak Cik Azizi semasa kali pertama saya melapor diri ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bintulu Sarawak .
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, selepas solat subuh di Masjid As Syakirin, tiba-tiba saya bertemu dengan beberapa orang guru dari semenanjung yang juga solat di sana. Maaf saya lupa nama panjangnya tetapi saya memanggilnya sebagai Ustaz Din. Seorang lagi saya lupa sangat namanya. Kedua-duanya orang Kelantan.
Pada masa itu saya bertanya kepada mereka sekiranya mereka mengetahui tentang rumah sewa . Alhamdulillah, kebetulan pada waktu itu, Salah seorang daripada ahli rumah sewa mereka di Bintulu Height dapat berpindah ke Kelantan. Ahli rumah sewa itu yang dikenali sebagai Ustaz Zaim (orang Kelantan, meletak jawatan KPM dan masuk ke MAIK) itu bukan setakat menawarkan rumah sewanya, tetapi turut menjual motosikal Ex5 nya yang baru digunakan beberapa tahun kepada saya.
Pucuk dicita ulam mendatang.
6 Febuari 2012 maka rasmilah saya menjadi penghuni kepada rumah sewa bujang cikgu-cikgu pantai timur di Universiti Height . Apabila ada sahaja motosikal , maka saya pun lebih rancak meneroka dan menziarahi Bintulu. Antaranya ke Masjid Assyakirin setiap subuh dan maghrib.
Pada suatu hari, selepas solat subuh, saya bersalamanlah dengan seluruh Jemaah lelaki di Masjid Assyakirin. Sebelum itu, sudah menjadi kelaziman di Masjid Assyakirin, setiap hari selepas waktu subuh mesti diadakan kuliah subuh . Apabila tiba sahaja waktu bersalaman dengan ustaz yang menyampaikan kuliah subuh, tiba-tiba ustaz itu bertanya
"Enta ni Ustaz Zhafri ke?"
Saya agak terkejut kerana itulah pertama kali saya bertemu dengan ustaz tersebut tetapi beliau dapat mengenali saya.
Satu lagi yang membuatkan saya terkejut ialah kerana saya dipanggil "ustaz", sedangkan saya bukannya ustaz. Haha.
Saya menjawab pertanyaan tersebut
"Ya , ustaz."
Sambung ustaz itu lagi
"Enta free tak sekarang ini? Jom kita sarapan di kedai makan"."
Saya jawab
"Boleh juga ustaz. Ana free..."
Pada awal perkhidmatan saya di SK Kampung Baru , saya diletakkan sebagai guru tahap 1 sesi petang . Pada masa itu SK Kampung Baru masih menumpang bangunan di sebelah PPD Bintulu kerana bangunan asalnya terbakar. Disebabkan bilangan murid yang ramai , terpaksa diadakan dua sesi persekolahan pada waktu itu .
Kita sambung cerita tadi.
Ustaz tadi kemudiannya mengajak saya, dan beberapa orang lagi ahli masjid Syakirin untuk makan sarapan di sebuah restoren (lupa nama) di belakang Bintulu Medical Centre. Restoren itu memang dikenali dengan roti canai yang lembut dan mee kolok Sarawak .
Lalu kami bertaaruflah. Dengan muka yang sentiasa tersenyum , raut wajah yang tenang dan lembut, ustaz tadi memperkenalkan diri sebagai "Ustaz Ali Fathullah Harun". Dan dua orang lagi sahabat rapat ustaz ali iaitu Pak Cik Bol dan Haji Jaafar.
Maka bermulalah perkenalan antara saya dengan mereka. Sebenarnya berita kedatangan saya ke Bintulu telah mereka dapat melalui Akhi Mohd Amirrul Mukminin , ikhwah asal Bintulu tetapi belajar di USM Pulau Pinang dan bergerak aktif dengan JIM dan KRJ semasa kami sama-sama belajar di Pulau Pinang dahulu.
Sebagai orang yang mengikuti halaqah usrah terutama IKRAM pada masa itu, passing usrah atau passing maklumat ikhwah akhwat dari satu lokaliti ke satu lokaliti itu perkara yang biasa. Tambah-tambah pula naqib usrah saya di Pulau Pinang amat menjaga penerusan tarbiah saya . Terima kasih kepada naqib saya Ustaz Syazalie Hirman kerana begitu menjaga penerusan tarbiah saya sehingga saya ke Bintulu .
USTAZ ALI FATHULLAH : USRAH PERTAMA
Dalam pertemuan pertama saya dengan Ustaz Ali, Pak Cik Bol dan Haji Jaafar di kedai makan itu, tak banyak perkara yang kami bincangkan melainkan perihal diri masing-masing. Mungkin pada masa itu saya pun pun baru mengenali seorang insan yang akan menjadi murobbi ku satu hari nanti .
Kemudian hari diteruskan macam biasa sehinggalah pada keesokan pagi , selepas solat subuh, saya didatangi oleh Ustaz yang lain. Sama seperti kejadian semalam, ustaz ini mendatangi saya selepas beliau menyampaikan kuliah subuh di Masjid Assyakirin.
Soalan yang sama ditanya
"Enta Ustaz Zhafri yang datang dari Penang?".
Saya pun menjawab "Ya".
Selepas itu baharulah ustaz tadi memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Arifin Sebli, yang akhirnya saya ketahui beliau merupakan YDP IKRAM Bintulu pada ketika itu.
Perasaan saya semakin teruja kerana semakin ramai ikhwah yang saya kenali setiap hari. Selepas itu baharulah saya tahu sebenarnya ramai juga ikhwah akhwat IKRAM yang ada di Bintulu, Sarawak. Dan mereka juga aktif menggerakkan banyak program masyarakat ketika itu.
Saya sempat beberapa kali berusrah dan berjaulah dengan akhi Muhammad Firdaus Shah (Mufias) sehingga ke Sibu dan Miri. Rasanya tak sempat jaulah ke Kuching kerana dua bulan selepas itu saya bertukar naqib kepada Ustaz Ali Fathullah.
Bersama halaqah ustaz Ali, saya mengenali beberapa orang ikhwah seperti Pak Yusof Himawan, abang Muhammad Noor Bin Ali (anak sulong Ustaz Ali) dan Haji Jaafar. Usrah Ustaz Ali biasanya dilakukan di Perpustakaan MAQ di Bangunan Asrama Putera Institut Iqra' , Madrasah Al Quran Bintulu .
Biasanya usrah akan dilakukan pada waktu malam pada hari bekerja selepas Isyak. Usrah Ustaz Ali mengingatkan saya dengan pendekatan yang dibawa oleh bekas naqib saya semasa di Pulau Pinang dahulu iaitu Prof. Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz. Suaranya lembut, bahasanya halus dan penuh hikmah. Seolah-olah yang keluar daripada mulut mereka ini mutiara-mutiara kata yang selayaknya dibukukan .
Seingat saya, pada masa itu, bangunan kafe dan juga kedai buku MAQ masih belum wujud atau masih belum siap. Saya tak berapa pasti. Setelah 10 tahun saya tidak ke Bintulu, saya pun tak pasti apakah perubahan yang telah berlaku di sana. Khabarnya semakin cantik dan canggih suasana dan kemudahan di sana. Semoga Allah berikan saya dan keluarga saya peluang untuk berkunjung kembali ke sana.
USTAZ ALI FATHULLAH : MENDIDIK KAEDAH BERORGANISASI
Selepas beberapa bulan mengikut usrah dengan Ustaz Ali, kami menerima ahli usrah baharu yang bernama Ustaz Hafiz. Seingat saya, saya dan Ustaz Hafiz dinaikkan modul 03 bersama-sama dan dikehendaki mengangkat "baiah" kepada organisasi (IKRAM) pada masa itu.
Baiah itu saya lakukan di hadapan Ustaz Arifin Sebli yang juga merupakan YDP IKRAM Bintulu pada masa itu. Alhamdulillah. Apabila saya dinaikkan modul, saya kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha IKRAM Bintulu. Tanggungjawab ini bagi saya sangat berat untuk saya pikul kerana apabila seseorang dilantik sebagai Setiausaha, banyak perkara yang perlu saya laksanakan terutama berkenaan pengurusan organisasi dan tarbiah.
Ustaz Ali banyak memberikan panduan kepada saya dalam melaksanakan Amanah yang diberikan kepada saya ini. Apabila saya dilantik sebagai Setiausaha juga, saya diberi Amanah untuk memegang "kunci" Sistem Pengurusan IKRAM (SPI) iaitu Pengkalan data keahlian IKRAM.
SPI ini bagi saya merupakan "senjata" kerana kita akan dapat mengenalpasti siapakah ikhwah akhwat yang belum masuk usrah, adakah usrah mereka berjalan di tempat baharu, adakah usrah ikhwah akhwat itu statik dan tidak naik-naik modul dan sebagainya.
Semasa saya memegang jawatan sebagai SU kawasan , saya banyak menyelesaikan isu kenaikan modul ikhwah akhwat dan pentarbiahan ikhwah akhwat di tempat baharu selepas mereka berpindah dari Bintulu.
Berbalik kepada kisah Ustaz Ali. Tanggungjawab saya ini sebenarnya sangat direstui oleh Ustaz Ali. Ustaz Ali banyak memberikan kata-kata sokongan dan panduan kepada saya selaku orang muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan dedikasi.
Ustaz Ali merupakan seorang yang sangat kritikal terhadap pengurusan organisasi (Jemaah). Ramai orang tak tahu berkenaan perkara ini kerana mereka menganggap ustaz ali hanya sekadar spiritual leader. Walaupun almarhum tidak mempunyai jawatan "rasmi" dalam IKRAM (sebagai YDP dan sebagainya), tetapi beliau banyak "push" kami secara langsung mahupun tidak langsung untuk bergerak.
Contohnya, disebabkan ada dalam kalangan ikhwah penggerak 03 ke atas yang masih belum membawa halaqah usrah (termasuk saya), beliau mengatur supaya kami membawa pelajar Institut Iqra' , Madrasah Al Quran Bintulu untuk mengikuti usrah kami. Selain itu, banyak program -program IKRAM dan Masjid As Syakirin melibatkan adik-adik Madrasah termasuklah daurah, katibah, mukhayyam dan sebagainya.
Walaupun Ustaz Ali merupakan guru kepada majoriti JK IKRAM kawasan, dan naqib kepada usrah syuyukh ,tetapi beliau tetap tetap menghormati kedudukan jawatan-jawatan itu. Beliau banyak menegur secara berkias berkenaan pengurusan organisasi ini tanpa beliau melangkaui jawatan-jawatan.
Saya fikir, saya adalah antara anak usrahnya yang sentiasa diberikan panduan dan nasihat organisasi untuk saya laksanakan atau sampaikan kepada jemaah dalam Mesyuarat. Apa yang ustaz Ali sampaikan kepada saya, apabila saya merasakan pandangan itu cocok dengan KEADAAN semasa jemaah, saya selaku SU Daerah akan bentangkan dalam Mesyuarat.
Jika apa yang Ustaz Ali sampaikan itu berkenaan dengan tugas saya sebagai SU, saya akan terus laksanakan ia tanpa banyak soal. Contohnya berkenaan penerusan tarbiah mereka yang keluar dari Bintulu. Saya akan bekerjasama dengan SU Tarbiah Daerah untuk follow up usrah mereka.
Banyak ilmu pengurusan organisasi yang saya peroleh dan belajar daripada Ustaz Ali. Baharu sekarang saya sedar, "pendidikan organisasi" yang Ustaz Ali tanamkan kepada saya dahulu semasa di Bintulu itu banyak membantu saya mengemudi organisasi parti, NGO mahupun sekolah.
USTAZ ALI FATHULLAH : BERINTERAKSI DENGAN TOKOH KONTROVERSI
Sarawak merupakan bumi bertuah yang kaya dengan sumber alam dan juga kepelbagaian etnik. Sarawak mempunyai lebih daripada 40 kumpulan sub-etnik, masing-masing dengan bahasa, budaya dan gaya hidupnya sendiri. Dengan itu, Sarawak merupakan jumlah yang terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum. Ini menjadikan demografi Sarawak sangat berbeza dan unik berbanding rakan sejawatannya di Semenanjung.
Ustaz Ali Fathullah sejak puluhan tahun yang lalu berada dalam kondisi dakwah seperti ini . Memandangkan penganut agama Islam merupakan minoriti di Sarawak, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil apa-apa keputusan terutama berkenaan dengan dakwah Islam di sini. Tak semua perkara yang diterima di semenanjung boleh dibawa atau disebarkan di Sarawak.
Bumi Sarawak merupakan bumi dakwah. Ia TIDAK SESUAI untuk mereka yang suka menyebarkan perkauman dan permusuhan atas nama agama sekalipun . Atas asbab itulah, Institut Iqra' , Madrasah Al Quran Bintulu ditubuhkan untuk mendidik para duat yang akan menebarkan Rahmat Islam ke seluruh pelosok alam terutama di bumi Sarawak itu sendiri.
Ada 2 peristiwa yang pernah berlaku sekitar tahun 2012 hingga 2013 di mana menonjolkan kelapangan jiwa dan sifat Ustaz Ali sebagai seorang Daie (pendakwah) dan bukan Qudha' (penghukum/ Hakim).
Peristiwa pertama ialah apabila Presiden ASWAJA , Dr. Zamihan Mat Zin Al Ghari mengadakan road tour di beberapa masjid di Sarawak termasuklah di Bintulu . Road tour ini mendapat liputan meluas di Sarawak sehinggakan mendapat komentar yang agak tegas dari pemerintah Sarawak .
Peristiwa kedua ialah kehadiran seorang Tokoh dari Indonesia iaitu KH Zulkifli Muhammad Ali yang agak kontroversi juga dengan teori Akhir zaman beliau. Seingat saya, selepas ceramah beliau di beberapa tempat termasuklah di Bintulu, ramai yang "mengadu" terutama "ramalan" berani beliau "menetapkan" tarikh kiamat .
Saya pernah bertanya pandangan Ustaz Ali berkenaan kedua-dua tokoh ini . Beliau cuma tersenyum dan tidak memberikan apa-apa pandangan tentang mereka. Cuma beliau mengingatkan saya tentang kondisi Sarawak yang perlukan kaedah yang berbeza daripada semenanjung Malaysia mahupun di Indonesia .
Dakwah di Sarawak memerlukan kaedah yang dapat mengikat hati sesama muslim, mengukuhkan perpaduan , bukan memecahbelah masyarakat. Dakwah Sarawak perlu dilaksanakan secara berhikmah bagi memastikan penyebaran Islam terus berlaku dan masyarakat Islam akan kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar.
Beliau telah membuktikan kaedah kasih sayang dan persaudaraan telah berjaya menarik minat orang bukan Islam untuk memeluk Islam dan orang Islam kembali menghayati ajaran-ajaran yang telah ditetapkan dalam Islam.
USTAZ ALI FATHULLAH : SANG PEMBICARA YANG BERBICARA DARI HATI
Salah satu kelebihan yang Allah s.w.t berikan kepada Ustaz Ali ialah kemampuan untuk berbicara dengan manusia-manusia sesuai dengan tahap pemikiran, kefahaman dan kecenderungan mereka.
Saya lihat dia benar-benar menekuni hadis ini dalam setiap tuturkata beliau apabila berbicara atau apabila menyampaikan dakwah kepada manusia.
حَدِّثُوا النَّاسَ، بما يَعْرِفُونَ أتُحِبُّونَ أنْ يُكَذَّبَ، اللَّهُ ورَسولُهُ“Bicaralah kepada orang lain sesuai dengan apa yang mereka fahami. Apakah Engkau ingin Allah dan Rasul-Nya didustakan?” (HR. Bukhari no. 127).
Kejadian ini banyak berlaku kepada saya sendiri.
Ceritanya begini.
Salah satu kegemaran saya pada waktu terluang ialah saya akan bertemu dengan ustaz Ali selepas waktu program atau di luar waktu usrah. Biasanya selepas balik dari sekolah atau waktu selepas asar ketika ustaz Ali agak lapang.
Ustaz Ali tahu apa yang saya mahu. Dengan wajah yang sentiasa tersenyum, tuturkatanya yang lembut dan susunan kata-katanya yang tepat, beliau akan membicarakan tentang
1) Nasihat berkenaan dakwah dan kehidupan.
2) Nasihat dan panduan untuk menguruskan manusia dan organisasi
Kami akan bersembang lama berdua hanya untuk membicarakan tentang topik itu sahaja . Kadangkala selama berjam-jam.
Tetapi kadangkala akan ada tetamu atau sahabat lain yang turut menyertai perbincangan kami itu.
Beliau tidak akan tukar topik lain.
Tetapi beliau akan menyambung topik yang sama, tetapi membahaskan dengan lebih umum sehinggakan orang yang baru sampai tadi tidak merasa terpinggir dalam perbincangan.
Dan Ustaz Ali tidak akan memfokuskan topik perbincangan kepada saya, tetapi memberikan contoh yang lebih umum supaya saya tidak rasa malu di hadapan rakan yang baru masuk tadi.
Saya merasa puas kerana mendapat banyak manfaat daripada diskusi kami, manakala orang yang baru datang juga berpuas hati kerana turut mendapat faedah daripada perbincangan yang ada.
Beliau juga mampu mengadaptasi dengan sasaran dakwahnya. Contohnya , apabila memberi kuliah di kampung , bahasanya dan contoh yang diberikan boleh diterima dan difahami oleh orang kampung .
Apabila beliau menyampaikan pengisian dalaman program IKRAM, ada bahasa dan kaedahnya .
Apabila beliau menyampaikan kuliah subuh atau kuliah tafsir di Masjid Assyakirin , laras bahasanya juga berbeza sesuai dengan pengunjung yang terpelajar dan profesional.
Apabila beliau memberikan ilmu dan ajaran kepada pemuda dan remaja, ada gaya bahasanya yang tersendiri sehingga mereka tidak jemu mendengar butir-butir mutiara yang keluar dari mulutnya.
Beliau seorang yang sangat suka merangkul umat Islam di Bintulu tak kiralah mereka itu bergerak dengan NGO berpaksikan parti, kelompok habib, tabligh atau tidak terlibat dengan mana-mana gerakan dakwah.
Seingat saya, ada juga "soalan-soalan nakal" daripada pendengar kuliah yang bertanyakan tentang soalan-soalan furu' dan menjadi perbahasan yang tegang antara aliran Islam terutama antara aliran salafi dengan asyairah al maturudiyah.
Tetapi beliau tetap tersenyum, menjawab serba ringkas berkenaan soalan tersebut lalu beliau menghuraikan secara panjang lebar soalan tersebut dari sudut dakwah dan ukhuwwah Islamiah.
Akhirnya orang akan lebih memfokuskan kepada DAKWAH dan UKHUWWAH ISLAMIAH berbanding memikirkan tentang perbahasan yang tegang berkenaan persoalan tersebut
USTAZ ALI FATHULLAH : SANG MUROBBI PEMURNI JIWA
Saya mungkin terpaksa menceritakan lebih sedikit tentang latarbelakang diri saya untuk mengaitkan dengan kisah murobbi kesayangan kita semua ini.
Saya mula mendapat tarbiah usrah "jemaah" sekitar tahun 2006 lagi sejak belajar di IPG Kampus Pulau Pinang. Walaupun saya mengikut usrah , daurah, mukhayyam dan segala jenis program tarbiah yang digerakkan oleh "jemaah" (KARISMA/ JIM) saya juga rajin menyertai pengajian dan membaca bahan bacaan yang pelbagai.
Antara halaqah pengajian yang saya selalu sertai di Pulau Pinang ialah pengajian "sunnah" yang digerakkan oleh kelompok salafi di sana. Saya lebih suka dengan aliran "Dr. Maza" berbanding aliran "Almarhum Ustaz Rasul Dahri" . Kedua-duanya guru saya yang saya banyak mengambil manfaat ilmu daripada mereka.
Saya juga rajin membaca buku-buku yang berbentuk pemikiran, intelektual yang agak liberal dan terbuka selain daripada membaca buku-buku fikrah aliran Ikhwanul Muslimin.
Pada masa itu sekitar tahun 2006 hingga 2012 ialah era lonjakan penggunaan blog sebagai medium untuk menyampaikan mesej dan berita . Ibarat media sosial utama hari ini.
Saya antara orang yang suka membaca, menulis dalam blog dan menyertai program-program berbentuk agama, pemikiran, dan segala program ilmiah.
Cuma pada masa itu saya ada persepsi buruk terhadap beberapa kelompok :
1) aliran habaib
2) PAS
3) Syiah
4) kelompok tarikat
5) kelompok ulamak Muda UMNO (salafi aliran keras /madkhali)
Blog menjadi medium untuk saya menyampaikan buah fikiran saya berkenaan pelbagai isu terutama berkenaan politik, Syiah, ajaran sesat dan sebagainya.
Apabila Facebook mula terkenal di Malaysia sekitar tahun 2009, saya mula menjadikan FB sebagai medium untuk berdebat dan berdiskusi.
Antara grup yang selalu saya masuk dan berdebat dalamnya ialah grup Syiah dan grup politik. Saya banyak membuat bacaan dan kajian berkenaan Syiah dan juga tarikat sesat pada masa itu. Darah muda lah katakan. Semua orang hendak dihentamnya.
Pengaruh salafi itu kadangkala agak pekat dalam diri saya pada masa itu melebihi pengaruh manhaj Ikhwanul Muslimin itu sendiri. Pada suatu ketika saya banyak merujuk kepada kitab-kitab aliran salafi berbanding merujuk kitab-kitab IM.
Pada tahun-tahun akhir pengajian saya di Pulau Pinang, hadirlah murabbi saya yang pernah belajar di Yaman. Beliaulah yang banyak memperlahankan semangat saya untuk menjadi salafi tegar dan kembali kepada manhaj dakwah. Beliau ialah Ustaz Syazali Hirman.
Beliau naqib terakhir saya sebelum saya posting ke Bintulu Sarawak.
Beliau banyak "mematahkan" semangat dan kefahaman yang "tak perlu" dalam diri saya ketika itu. Tambahan pula Ustaz Jali pun masih muda pada waktu itu. Beliau tahu cara mematahkan perkara yang tak perlu itu kerana beliau juga orang muda dan bersemangat.
Apabila saya dihantar berkhidmat ke Sarawak, saya sebenarnya tidak dapat meninggalkan kebiasaan saya iaitu suka berdebat atau berjidal di media sosial (Facebook ketika itu).
Sedikit sebanyak pembawaan saya di semenanjung itu saya bawa ke bumi Borneo yang hakikatnya terlalu muda penghayatan Islamnya.
Ustaz Ali banyak "menegur" dan membimbing saya secara langsung dan tidak langsung samaada dalam usrah, daurah mahupun kuliah umum. Saya tidak pernah rasa "dimalukan" . Tetapi saya merasakan inilah teguran yang saya mahukan untuk merubah jiwa seorang manusia yang keras kepala dan pemberontak ini.
Kadangkala saya merasakan bahawa topik kuliah atau tazkirah yang Ustaz Ali sampaikan itu ada berhubungkait dengan status fb yang saya buat .
Saya kerap kali tersenyum sendiri apabila Ustaz Ali mula menyentuh sesuatu isu yang berkaitan dengan status saya. Kemudian beberapa orang sahabat seusrah saya melihat kepada saya sambil tersengih-sengih seolah-olah mereka tahu isu itu tentang apa dan siapa yang memulakan isu tersebut.
Dengan nada yang lembut, bahasa yang tersusun dan meraikan, beliau banyak merubah cara saya (dan para pendengar lain) memandang sesuatu isu.
Sesuatu isu yang pada mulanya dipandang sebagai satu "masalah" , akhirnya dapat dirungkai menjadi satu penyelesaian yang dapat diterima oleh hati nurani.
Perkara yang sering beliau tekankan ialah DAKWAH dan UKHUWWAH ISLAMIAH yang hakikatnya agak sulit dibawa oleh saya yang agak berdarah panas ini.
Saya rasa banyak perkara yang berubah sejak saya berada di Sarawak. Saya mula disibukkan dengan aktiviti jemaah dan dakwah . Saya rasa saya banyak "diubah" dalam keadaan saya tidak sedar. Saya mula merasakan nikmat dakwah yang sebenarnya saya jarang nikmati sebelum ini.
Namun selepas 3 tahun saya berkhidmat di Bintulu, saya pulang kembali berkhidmat di Semenanjung .
Saya akui saya mengalami kejutan budaya .
Budaya itu pernah saya rasakan SEBELUM saya ke Sarawak. Dan budaya itu kembali hadir dalam hidup saya SELEPAS saya kembali ke semenanjung.
Budaya apa yang berlaku itu?
Iaitu budaya "kekerasan orang agama" dan pendekatan pendakwah yang lebih kepada menghukum daripada mengajak manusia.
Jika di Sarawak saya didedahkan dengan seruan untuk mengajak manusia untuk kembali kepada Islam, untuk beramal dengan Islam dan menjaga ukhuwwah Islamiah.
Apabila pulang semula ke semenanjung, saya kembali ke alam realiti dakwah di semenanjung.
Keras dan penuh permusuhan. Lihatlah bagaimana sebahagian daripada agamawan dan penggerak agama rela menunggang agama demi mendapatkan political mileage atau pengaruh daripada orang awam...
Semua itu tidak membantu pun dalam penyebaran agama. Agama mesti disampaikan dengan hikmah dan contoh teladan yang baik.
Surah An-Nahl ayat 125:
﴾ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ﴿((Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmulah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.)
![]() |
Bergambar dengan (dari kiri) Akhi Firdaus (Pidot), Ustaz Saimon Kila, Akh Hakim Nasnan, Ustaz Ali dan penulis. |
USTAZ ALI FATHULLAH : WALK THE TALK
Saya sempat berinteraksi secara fizikal dengan Ustaz Ali sekitar Februari 2012 hinggalah Mei 2015 iaitu bermula posting saya ke Bintulu Sarawak hinggalah saya pindah ke Sabak Bernam . Jadi penceritaan-penceritaan ini hanyalah berdasarkan pengalaman bertemu, bercakap, mendengar dan berinteraksi dengan Ustaz Ali secara peribadi sepanjang 3 tahun tersebut.
Mungkin apa yang saya alami ini tidak sama dengan orang lain. Dan mungkin apa yang dengar , rasai ini tidak dirasai oleh orang lain. Dan mungkin ada yang juga mempunyai pengalaman yang sama berinteraksi dengan murobbi tercinta.
Saya ingin ceritakan serba sedikit berkenaan gambar-gambar di bawah ini. Beberapa minggu sebelum berlangsungnya riadah jamai (riadah berkumpulan) ini, Ustaz Ali meminta anak-anak usrahnya menghafal 10 Muwasofat Tarbiah yang digariskan Imam As Syahid Iman Hassan Al Banna.
Apakah itu 10 Muwasofat Tarbiah Imam Hassan Al Banna? Para pembaca boleh mencari maklumat lanjut nanti. Bimbang panjang pula perbahasan dalam post ini nanti. Huhu.
Maka , saya yang tidak langsung lancar berbahasa Arab tentulah terkial-kial membetulkan sebutan 10 Muwasofat Tarbiah itu dalam Bahasa Arab . Rasanya rakan Usrah saya yang lain seperti abang Muhammad Noor, Ustaz Hafiz, Akhi Yusoff Himawan, Akhi Mohammasir tentulah lebih lancar sebutan berbanding saya ini. Huhu.
Selain meminta anak-anak usrahnya menghafal 10 Muwasofat itu, Ustaz Ali juga membahaskan tentang perkara-perkara ini di dalam kuliahnya secara langsung mahupun tidak langsung. Seingat saya, Ustaz Ali pernah mengadakan daurah di Pejabat IKRAM Bintulu (bangunan MARTABAT) yang memfokuskan 10 Muwasofat ini.
Antara 10 Muwasofat tersebut, ada disebut tentang Qowiyyul Jismi (Jasmani yang kuat). Kekuatan jasmani bererrti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh yang kuat dan sihat sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam dengan baik dan sempurna.
Jadi bermula dari situ, Ustaz Ali mencadangkan supaya dimulakan aktiviti riadah jamaie sekurang-kurangnya seminggu sekali selepas waktu subuh. Beliau bukan setakat "mencadangkan", bahkan beliau juga "melorong" jalan untuk digerakkan oleh jamaah.
Riadah jamaie ini diadakan selepas kami beramai-ramai ke Masjid Assyakirin, membaca Al Ma'thurat secara beramai-ramai, mendengar kuliah Ustaz Ali dan bersarapan di masjid.
Selepas aktiviti di masjid, kami masing-masing menukar pakaian riadah dan bertemu di Padang Majlis Daerah Bintulu di hadapan Dewan Suarah. Pada awalnya hanya melibatkan para pelajar Institut Iqra' , Madrasah Al Quran Bintulu dan beberapa orang ikhwah sahaja. Akhirnya ia dibuat dengan kelolaan IKRAM Bintulu itu sendiri.
Daripada kisah ini, saya dapat simpulkan bahawa Ustaz Ali bukanlah orang yang hanya bercakap sahaja, tetapi tidak laksana. Tetapi beliau merupakan seorang yang akan melaksanakan apa yang telah beliau ucapkan. Beliau menekuni dengan rapi apa yang difirmankan oleh Allah dalam surah As Saff ayat 2 dan 3.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ (2) كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ (3)Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? (iu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa saja yang tidak kamu kerjakan (QS. As-Saff ayat 2-3)
USTAZ ALI FATHULLAH: SEORANG PEMBACA YANG SETIA
Sekitar tahun 2012 hingga 2015 dahulu, ada 2 tempat yang biasanya akan Ustaz Ali jalankan usrah iaitu di perpustakaan peribadinya dan di pejabatnya. Saya tak pasti masih adakah kedua-dua tempat tersebut memandangkan kali terakhir saya berkunjung ke sana sekitar tahun 2015 yang lalu.
Setiap kali saya hadir ke usrah tersebut , Ustaz Ali pasti sedang melaksanakan salah satu pekerjaaan, iaitu samaada sedang menelaah kitab atau sedang menghadap komputer. Pada usia sekitar 50 an (pada ketika itu) beliau tetap menjadikan aktiviti membaca sebagai salah satu sumber "pemakanan" minda beliau sehari-hari .
Mungkin disebabkan itu, Ustaz Ali dapat memberikan huraian mendalam tentang sesuatu ayat Quran, hadis mahupun sesuatu persoalan dengan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan. Bahasanya segar, susunan ayatnya teratur, pemilihan katanya tepat dan beliau mampu mengaitkan dari satu perkara kepada perkara yang lain.
Saya paling suka kelas tafsir yang diadakan setiap hari Rabu (betulkan saya jika saya tersilap) selepas solat Isyak di Masjid Assyakirin.
Beliau tidak berpada-pada menggunakan satu kitab tafsir sahaja, bahkan beliau sering menaqalkan pandangan-pandangan dari beberapa kitab yang lain.
Akhir sekali daripada pandangan ulamak-ulamak tersebut , beliau membuat kesimpulan yang mudah difahami oleh semua orang . Kelebihan Ustaz Ali yang saya rasa sangat istimewa ialah beliau dapat mengaitkan perbahasan dalam kitab itu dengan diri kita sendiri supaya ia lebih "dekat" dan mudah difahami oleh hadirin.
Beliau juga menyediakan slaid pada setiap kali kelas pengajian tafsir itu supaya mudah dijadikan rujukan bagi para pendengarnya. Saya pun tak pasti adakah kelas tafsir ini masih ada pada masa ini ataupun digantikan dengan program yang lain. Kelas tafsir Ustaz Ali merupakan kelas tafsir yang menjadi tumpuan orang-orang Bintulu pada suatu ketika dahulu.
USTAZ ALI FATHULLAH : PERSOALAN GHAIB
Anak sulong saya , Umar Al Khattab lahir pada 27 September 2013 di Hospital Bintulu , Sarawak. Kegembiraan ini turut dirasai oleh ramai sahabat-sahabat ikhwah akhawat yang saya anggap ibarat keluarga di san.
Selaku pasangan muda yang berusia 24 tahun ketika itu, saya dan Isteri saya masih tidak punya pengalaman untuk menjaga bayi kecil kami itu. Umar kerap kali menangis menangis pada waktu malam atau awal pagi. Tangisannya kadang kala berlanjutan beberapa jam sehingga merisaukan kami berdua.
Pada masa itu , saya dan Isteri menyangka mungkin Umar telah terkena gangguan daripada makhluk alam ghaib. Tambahan pula ada kalangan keluarga terdekat kami mencadangkan supaya nama Umar Al Khattab ditukar kepada nama lain kerana nama ini "berat"
Saya pernah mengadu kepada Ustaz Ali terhadap perkara ini termasuklah menceritakan tentang cadangkan untuk menukarkan nama Umar kepada nama yang lebih "lembut".
Apa jawapan Ustaz Ali?
Sambil tersenyum beliau memberi jawapan lebih kurang macam ini.
"Bayi ini ada keperluan-keperluan yang perlu kita penuhi, baharulah dia tak menangis. Mungkin dia perlukan air susu, mungkin dia panas, mungkin dia tak selesa kerana buang airnya...."
Lama-lama kelamaan saya sedar ada kebenarannya terhadap "jawapannya" itu. Bayi perlu sentiasa diberikan susu secara berkala walaupun dia tidur pada masa itu. Kita perlu mengejutkan bayi itu dan memberikannya minum susu supaya perutnya tidak masuk angin (kembung).
Kita juga perlu sentiasa menepuk belakang bayi dengan lembut setiap kali bayi habis menyusu. Begitu juga sentiasa amalkan pengurutan lembut bayi terutama di bahagian belakang dan bahagian dada serta perut. Setelah memperbaiki cara pengurusan bayi kami, Umar jarang sekali menangis akibat angin masuk ke dalam perut.
Pernah satu ketika beberapa orang pelajar putera Institut Iqra' , Madrasah Al Quran Bintulu yang asyik muntah-muntah dan tidak sedarkan diri apabila membaca ayat suci Al Quran dan Al-Ma'thurat. Khabarnya disebabkan ada kalangan mereka "menuntut ilmu persilatan" sebelum masuk ke Madrasah.
Bagi saya , isu ini cukup besar dan merisaukan kerana saya jarang berada dalam keadaan ini. Tapi Ustaz Ali tetap meneruskan kegiatan dakwahnya macam biasa, tetap sibuk macam biasa tanpa menganggap itu perkara yang perlu dihebohkan dan dirisaukan. Saya tak pasti mungkin ada yang datang meruqyah mereka atau mereka "sihat sendiri" berkat pengajian Al Quran secara berterusan.
Saya bukan nak kata Ustaz Ali tak pedulikan anak-anak muridnya. Beliau sangat menyaingi anak-anak muridnya. Tetapi dia serahkan urusan ini kepada anak-anak muridnya terutama kepada anak sulongnya.
Ya lah. Kita ini kadangkala bila ada histeria sahaja atau ada apa-apa perkara misteri berlaku kepada kita, terus kisah ini masuk surat khabar metro atau terus masuk Mastika. Paling tidak menjadi heboh dalam kawasan. Tapi itu tidak berlaku kepada Ustaz Ali.
Daripada peristiwa-peristiwa ini, saya dapat simpulkan bahawa Ustaz Ali tidak ingin kita terlalu "takut" dan terlalu mengangkat kehebatan" makhluk ghaib ini sehinggakan menenggelamkan kehebatan Allah. Ustaz Ali menanamkan cara fikir yang sepatutnya ada pada muslim berhadapan dengan perkara yang tak pasti .
USTAZ ALI FATHULLAH : PERTEMUAN TERAKHIR
(Catatan 1 September 2024)
Alhamdulillah. Pada hari ini dapat bertemu dengan ayahanda Ustaz Ali Fathullah di Hospital UiTM Puncak Alam. Lama sungguh tidak bertemu mata dengan ayahanda. Hari ini dapat melempaskan rindu yang bertahan selama 9 tahun ini.
Ustaz Ali Fathullah inilah murabbi saya ketika saya mengajar di Bintulu , Sarawak sekitar tahun 2012 hingga 2015 dulu. Beliau ibarat ayah saya dan isterinya Hanidah Shahdan Mama Nida ibarat ibu saya semasa berada di sana. Anak-anak Ustaz Ali dan Mama Nida pun semuanya sebaya dengan saya.
Anak saya yang pertama, Umar Al Khattab pun ditahnik oleh Ustaz Ali . Teringat apabila isteri saya dikejarkan ke Hospital Bintulu, Ustaz Ali ialah antara orang pertama yang sampai ke hospital menyambut Umar dari dewan bedah kerana isteri saya menjalani pembedahan semasa kelahiran Umar..
Walaupun kenangan bersama Ustaz Ali tak lama, tapi ustaz banyak merubah diri kepada manusia yang lebih mengerti hakikat hidup. Alhamdulillah. Sempat bertemu dengan beberapa orang ikhwah seperti Dr. Muhammad Azhar Zailaini , akhi Afzal Zulkepli dan Cikgu Lizam As-Jey Fahanliya
USTAZ ALI FATHULLAH : KHIDMAT TERAKHIR BUAT SANG MUROBBI
Menyempurnakan khidmat terakhir buat sang murobbi tercinta, almarhum Ustaz Ali Fathullah di Hospital UiTM Puncak Alam pada 15 September 2024 . Alhamdulillah , saya berada di saf pertama dan betul-betul berada setentang dengan kepala jenazah. Diimamkan oleh anaknya, Ustaz Kautsar Ali .
Ramai kaum keluarga dan anak muridnya hadir bagi menziarahi dan solat atas jenazahnya.
Insyaallah jenazah beliau akan diterbangkan oleh pesawat MAS dari Kuala Lumpur ke Bintulu pada pukul 5 petang nanti. Jenazah beliau akan disemadikan di Bintulu malam ini. Damailah di alam sana wahai ayahanda tercinta. Ramai manusia pasti akan merinduimu.