![]() |
| Masjid Syeikh Ismail , Ulu Bernam Selangor dari sudut sisi. |
Pada hari ini, saya sempat singgah ke Masjid Syeikh Ismail di Ulu Bernam Selangor. Masjid ini mengambil masa sejam daripada Sabak Bernam melalui laluan Sungai Panjang - Tanjung Malim. Masjid ini dikatakan merupakan Masjid kayu tertua di Selangor.
Masjid ini dinamakan Masjid Sheikh Ismail Ulu Bernam (Masjid Tua) bersempena nama seorang tokoh ulama sufi iaitu Syeikh Ismail Al Khalidi An Nasqsyabandi atau nama penuhnya Syeikh Ismail bin Hj. Mohd Arif, seorang tokoh tarekat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah. Ianya dibuka pada 15 Safar tahun 1345 H(berdasar tulisan jawi di pintu masjid) bersamaan 23 Ogos 1926.
Walaupun sudah berusia lebih seratus tahun namun ia masih utuh dan digunakan oleh umat Islam untuk beribadat. Reka bentuk bangunan yang keseluruhannya adalah daripada kayu dan papan kelihatan masih kukuh dan menampilkan hasil binaan kesenian melayu lama.
Masjid berbentuk empat segi, mempunyai bumbung limas dan mempunyai 2 tingkat. Ditengahnya ada sebuah menara yang menjadikan ia bertingkat dan dihiasi dengan kubah kecil diatasnya. Bumbungnya adalah dari zink berwarna hijau (tidak pasti samada bumbung asal atau diganti semula). Sepanjang tepian hujung bumbung pula dihiasi 'papan cantik' berukir. Di sebelah sisi kirinya adalah juga pintu utama masuk ke masjid dan ada kolah dibina untuk mengambil wuduk
Dindingnya dibina dengan susunan papan lapis secara menegak dan tingkap kepak serta pintu kayu yang disusun dengan kemas. Cermin warna yang pasang pada bahagian atas tingkap menjadikan ruang dalaman masjid lebih terang dengan pencahayaan, menarik dan cantik terutama ketika matahari menyinarinya.
Ruang dalamannya agak luas dan terdapat 4 tiang utama ditengah masjid yang dibina bagi menyokong struktur menara. Ada loteng dibina untuk naik ke menara ada ada 2 tangga bertingkat yang curam menghubungkan loteng dan menara.
********************************************
MASJID SYEIKH ISMAIL (MASJID TUA), ULU BERNAM
Latarbelakang & Sejarah Penubuhan
Masjid tua ini diberi nama Masjid Syeikh Ismail mengambil sempena nama pengasasnya Almarhum Tuan Syeikh Ismail bin Hj Muhamad Arif Ar-Rawi ataupun dikenali sebagai Tuan Syeikh Ismail Al-Khalidi An-Naqsyabandi.
Almarhum Tuan Syeikh yang berasal dari Tanjung Pura (sebuah perkampungan etnik Rawa) di Langkat merupakan salah seorang daripada pengikut Tariqat Khalidiah Naqsyabandiah yang dikembangkan oleh wali besar Melayu bernama Syeikh Abdul Wahab di Kampung Babussalam, Tanjung Pura dalam wilayah Langkat, Pulau Sumatera Utara (SUMUT) dalam abad ke-19 Masihi. Beliau mendapat pendidikan lebih mendalam lagi dalam ilmu tariqat ini di Jabal Qubis, Mekah dan diberi taraf ‘Syeikh’.
Sesuai dengan perwatakannya yang alim, Allahyarham memiliki ilmu yang tinggi dalam bidang tariqat dan mempunyai aura yang dapat menawan sesiapa saja untuk mendekatinya. Allahyarham pernah dilantik oleh Sultan Langkat sebagai Syeikhul Islam namun Allahyarham telah menolak pelantikan tersebut kerana beliau mahu bebas dari sebarang ikatan dengan mana-mana pihak demi memberi tumpuan penuh kepada dakwah Islam.
Allahyarham Tuan Syeikh adalah seorang pejuang agama yang selalu merantau dan sering berulang-alik dari Langkat ke Mekah dan juga ke Tanah Melayu. Menurut salah seorang daripada anakandanya, Ustaz Haji Ali Badri, ayahandanya ini pernah berkahwin sebanyak lapan ke sembilan kali dan beberapa perkahwinan ini berakhir dengan perpisahan. Allahyarham dikurniakan lima orang anak hasil dari kesemua pernikahannya.
Di Tanah Melayu, Allahyarham Tuan Syeikh bergiat cergas sebagai guru agama di kawasan Tanjong Malim, Ulu Bernam sampai Kalumpang. Allahyarham yang merupakan teman rapat kepada Allahyarham Tuan Haji Mustafa bin Raja Kamala Al-Rawa, dari Kota Raja (Penghulu Tua, Ulu Bernam, Tanjong Malim), pernah menjadi besannya apabila anak-anak mereka Muhamad bin Haji Mustafa berkahwin dengan Jaura binti Tuan Syeikh Ismail.
Kedua-duanya menyimpan hasrat untuk membina sebuah masjid di Ulu Bernam untuk mengajar dan mengembangkan agama Islam di daerah ini. Walau bagaimanapun, hajat Allahyarham Tuan Haji Mustafa tidak kesampaian untuk membangunkan rumah ibadah ini bersama-sama Tuan Syeikh Ismail kerana beliau terlebih dahulu dijemput ke pangkuan Ilahi pada tahun 1902.
Pada tahun 1925, Tuan Syeikh bersepakat dengan beberapa penduduk kampung Hulu Bernam untuk mendirikan masjid di kawasan ini dan kebetulan pada ketika itu ada seorang hamba Allah yang bersedia mewakafkan tanahnya untuk dibangunkan sebuah masjid. Tanah itu terletak di tepi jalan, lokasinya sangat sesuai dan strategik sebagai tempat ibadah. Tuan Syeikh menerima tawaran itu dengan hati yang terbuka kerana mudah dan senang untuk orang ramai datang beribadah.
Selain dari hasil kutipan wang sumbangan dari penduduk Ulu Bernam pada masa itu, ada juga hamba-hamba Allah yang menyumbangkan bahan-bahan binaan masjid seperti pasir, atap, simen, kayu dan lain-lain. Tuan Syeikh Ismail sendiri menginfakkan sebanyak $600 untuk pembinaan masjid. Bersandarkan semangat gotong-royong yang kental dikalangan penduduk Ulu Bernam waktu itu, masjid tua ini siap dibina pada pada tahun 1925 dan diberi nama Masjid Hulu Bemam.
Pada awalnya Masjid Syeikh Ismail hanyalah bersaiz kecil sahaja sekadar untuk dijadikan rumah ibadah kepada penduduk-penduduk disekitarnya menunaikan solat fardhu dan tempat menyampaikan didikan agama. Seiring masa berlalu, kepadatan penduduk tempatan semakin bertambah, pihak jawatankuasa masjid mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah masjid ditapak yang sama. Keadaan dan rupa bentuk asal masjid ini tentunya tidak seperti sekarang kerana proses pengubah-suaian telah dilalui beberapa kali. Namun begitu, beberapa bahagian dan sudut masjid ini dikekalkan kerana nilai-nilai seni dan estetiknya yang unik menjadi daya penarik kepada masjid tua ini.
Lebih kurang setahun selepas masjid tua ini dibina, Tuan Syeikh Ismail telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 15 Safar 1345 Hijriah². Jenazah Almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Cabang Ulu Bernam bersebelahan sahabat rapat juga besannya, Almarhum Tuan Haji Mustafa bin Raja Kamala.
Selepas pemergiannya, ahli jawatankuasa masjid pada ketika itu telah telah berbincang dan sebulat suara bersetuju menamakan masjid ini sempena nama pengasasnya, apatah lagi beliau merupakan guru agama yang disegani dan dihormati disitu. Masjid tua ini secara rasminya diberi nama Masjid Syeikh Ismail pada 15 Safar 1345 Hijriah bersamaan dengan 24 Ogos 1926, Selasa.
Sumber : Puan Khairiyah binti Harun (piut kepada Almarhum Tuan Haji Mustafa Raja Kemala)

.jpg)


.jpg)


.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)

.jpg)
