MAIN PUTERI : PENGALAMAN SEKOLAH RENDAH

0

Main puteri yang masih lagi dijadikan kaedah perubatan di Kelantan

 

Main Puteri, disebut juga Main Teghi dalam dialek Kelantan, adalah salah satu kesenian autentik di negeri Kelantan. Kesenian ini adalah salah satu kaedah perubatan tradisi paling popular dalam masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak lama dahulu. Dalam perubatan yang bercampur baur antara unsur mitos, budaya, animisme dan Islam ini , Tok Teghi merupakan "pengubat" atau "doktor" bagi perubatan ini.

Tok Teghi iaitu ketua kumpulan bertindak sebagai perantara bagi menghubungkan pesakit dengan angin atau semangat yang diseru. Ketika proses iniTok Teghi akan berubah-ubah watak; menjadi bengis dan garang, orang tua nyanyuk, pemuda cacat, bersuara sengau dan pelbagai watak lain bagi menggambarkan sakit yang ditanggung pesakit.
 
Perubatan atau persembahan main teghi ini telahpun diharamkan oleh kerajaan kelantan pada era 90-an disebabkan unsur syirik dan khurafat yang ada padanya . Namun biasalah, walaupun ia telah diharamkan, perubatan ini masih dipakai sampailah sekarang. 
 
Saya teringat sekitar tahun 1995 hingga 1998 iaitu ketika saya masih di sekolah rendah . Ada seorang wanita tua telah bertahun-tahun sakit terlantar di atas katil. Wanita tua itu cukup saya kenal kerana saya selalu berkunjung ke rumahnya semasa dia sihat. Sakitnya seolah-olah tidak ada ubatnya . Sampai satu keadaan, badan wanita tersebut sangat kurus sehinggakan menampakkan tulang-tulangnya. Yang peliknya, wanita itu tetap berselera untuk makan walaupun badannya tinggal tulang dan hanya mampu berbaring.
 
Pada malam itu, keluarga saya mengajak saya menziarahi wanita tersebut. Katanya ada sesi pengubatan yang akan dilakukan pada malam itu. Saya pun pergilah ke rumah wanita tersebut . Apabila sampai ke rumah wanita tersebut, saya dapati ramai orang kampung yang turut berada di halaman rumah wanita tersebut .
 
Saya pun naik ke rumah wanita tua tersebut. Wanita itu yang sedang berbaring diletakkan di tengah tengah rumah. Seingat saya, wanita itu dalam keadaan yang sangat tenat dan sering menarik nafas yang dalam . Di tepi wanita tersebut ada seorang lelaki kurus dan beberapa orang yang memegang peralatan muzik. Seingat saya , semuanya lelaki.
 
Kemudian alat muzik itu dimainkan dan lelaki tersebut mengalunkan lagu atau bacaan yang saya tidak fahami. Mungkin bacaannya dalam bahasa melayu lama, atau mentara yang memang tidak akan difahami oleh budak sekolah rendah seperti saya pada waktu itu.
Lama kelamaan, wanita yang terbaring itu meliang lentokkan kepala, matanya dan bahunya mengikut alunan muzik dan lagu yang dimainkan. Semuanya dalam posisi berbaring. Tak lama kemudian , wanita tua yang bertahun terbaring itu tiba-tiba bangun dan turut sama berjoget bersama-sama penyanyi (atau Tok Teghi) tersebut.
 
Saya pada masa itu sangat hairan dengan apa yang berlaku di depan mata sendiri . Otak kecil saya pada masa itu tidak dapat mencerna bagaimana seorang yang kurus kering, yang sakit dan tidak boleh bangun tiba-tiba berdiri dan berjoget! Beberapa tahun kemudian barulah saya tahu perubatan itu dinamakan sebagai "Main Puteri" atau "main teghi" mengikut loghat Kelantan.
 
Entahlah mungkin masa tu suasana islam tak begitu kuat sangat, atau pengetahuan agama masyarakat pada waktu masih lagi kurang. Jadi perubatan seperti ini masih lagi diamalkan secara meluas (atau secara tersembunyi) dalam masyarakat. 
 
Seingat saya, tak berapa lama kemudian, wanita tua tersebut pun menghembuskan nafas terakhir di rumahnya. Semoga Allah mengampuni dosa almarhumah .
 
Nota kaki : Beginilah keadaan semasa sesi pengubatan main teghi dijalankan .
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)