MAKANAN TRADISI ORANG JAWA DAN BANJAR SABAK BERNAM

0

Sebelum wujudnya sempadan-sempadan negara di dunia ini, etnik-etnik dan bangsa-bangsa  di kepulauan Melayu Nusantara bebas untuk bergerak, menyeberang dan berhijrah ke tempat-tempat yang mereka rasakan sesuai untuk meneruskan penghidupan.  

Penghijrahan ini boleh jadi disebabkan perbalahan politik, perang saudara, wabak penyakit mahupun mencari tempat yang lebih subur untuk bercucuk tanam. Begitu juga dengan Etnik Jawa dan Banjar yang berasal dari tempat yang kita kenali sebagai negara Indonesia pada masa  ini.

Etnik Jawa dikatakan berhijrah ke Tanah Melayu seawal kurun ke 18 lagi daripada Tanah Jawa manakala  etnik Banjar pula berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu yang terletak di bahagian tenggara Borneo. 

Penghijrahan masyarakat etnik Jawa dan Banjar ke sesebuah tempat bukan sahaja membawa batang tubuh mereka sendiri , bahkan kedatangan mereka juga membawa pelbagai jenis budaya termasuklah resepi dan masakan mereka. 

Pada kali ini, kita akan kenali beberapa masakan Jawa dan Banjar yang masih lagi wujud dan  dinikmati oleh masyarakat Jawa dan Banjar pada hari ini termasuklah di Sabak Bernam. Makanan-makanan ini boleh juga ditemui di restoren-restoren tertentu di Pekan Sungai Besar, Pekan Sabak, Pekan Sekinchan mahupun Pekan Tanjong Karang. 

 

MASAKAN JAWA

 1) Nasi ambeng

 Nasi ambeng atau nasi ambang adalah hidangan nasi putih yang terdiri daripada  nasi putih kukus, Kari ayam atau ayam kicap, mee goreng, rendang daging lembu atau ayam, sambal  goreng jawa iaitu gorengan tauhu, tempe dan kacang panjang , urap , bergedel , dan serunding. 

 

2) Pecal 

 Pecal adalah salad tradisional Jawa yang terdiri daripada sayur-sayuran bercampur dengan kuah kacang, biasanya disajikan dengan nasi kukus atau kadang-kadang dengan lontong atau ketupat.

 

 3) Tempe

 

Tempe ialah makanan berasaskan  kacang soya yang amat terkenal di asia tenggara dan berasal daripada suku jawa bahagian Ponorogo di Pulau Jawa, Indonesia. Tempe sesuai dimasak bersama sayur yang ditumis, mahupun sedap dimakan begitu sahaja selepas digoreng. Ia merupakan indentiti wajib bagi masakan jawa.

 4) Sambal goreng

 

Sambal goreng merupakan pelengkap kepada nasi ambeng mahupun nasi biasa. Istimewanya dalam sambal goreng terdapat pelbagai bahan antaranya daging, paru goreng ataupun lauk lain. Manakala sayur yang sering jadi piihan ialah kacang panjang . Manakala resipi asli sambal jawa perlu ada di dalamnya suhun, ubi kentang, tauhu fucuk dan tempe. Dikongsikan resipi mudah membuatnya.

 

 5) Rempeyek 

 Rempeyek merupakan makanan ringan yang sering dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Ia diperbuat daripada tepung, garam, kekacang tanah dan ikan bilis. Ia sering dijual secara peket-peket kecil di kedai-kedai, restoren-restoren mahupunn di kaki lima. Rasanya rangup dan enak jika dinikmati pada waktu petang. 

 

 6) Getuk Ubi


Getuk ubi adalah makanan ringan  yang daripada ubi kayu yang dilenyek dan parutan kelapa . Ia digoreng sehingga warna bertukar kepada kuning keemasan dan bertambah sedap jika dihidangkan panas-panas pada waktu petang atau pada musim hujan.



7) Punten Nasi dan sambal ikan bilis 

 Punten adalah sejenis makanan tradisi dan popular di kalangan masyarakat keturunan Jawa terutamanya di daerah Sabak Bernam. Malah sajian ini juga tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu. Rupanya seakan-akan nasi impit namun sedikit berbeza rasanya lebih berlemak kerana nasi dimasak bersama santan dan garam. Punten biasanya dinikmati bersama sambal cili padi dan bawang di waktu pagi dan petang.

 

8) Sambal tahun kulit lembu

Sambal tahun merupakan salah satu jenis lauk yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa . Ia diperbuat daripada kulit lembu yang dibakar, dikikis dan direbus sebelum dicampurkan dengan bahan-bahan seperti santan, asam keping, halia, lengkuas, cili apa dan sebagainya. 

 

9) Bubur Somsom 

Bubur sumsum merupakan kuih yang dimakan bersama dengan kuah manis yang melekit sehingga boleh mengundang semut manisnya. Bubur sumsum berwarna putih dibuat daripada tepung beras dan dihidangkan bersama-sama air nisan atau gula kabong. Bubur ini terkenal di Malaysia dan juga di Indonesia. 
 

 

MASAKAN BANJAR

 1) Wadai kepeng

 Wadai bermaksud "kuih" manakala kepeng bermaksud "benda yang ditekan". Kuih ini dibentuk bulat dengan kaedah menekannya menggunakan tangan di tengahnya. Teksturnya akan menjadi kenyal apabila masak. Kuih ini dibuat daripada tepung pulut. Kuah wadai kepeng selain santan, boleh dimasak dengan gula merah atau gula putih sehingga menimbulkan keenakannya sendiri. Ia biasanya dibuat pada waktu sambutan atau perayaan seperti majlis perkahwinan, Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.


2) Kuih Balongan ahyam 

Kuih ini dipanggil Balungan Hayam atau Balung Ayam, sejenis makanan kegemaran orang Banjar. Ia diperbuat daripada tepung pulut berintikan  campuran gula merah, gula pasir, kelapa parut yang dikukus dalam daun pisang. Ia selalunya dinikmati semasa masih lagi panas.
 

 3) Ikan wadik 

Pekasam  dan wadik ialah sejenis makanan peram tradisi yang terkenal dan tahan lama di Malaysia. Ia merupakan satu cara mengekalkan makanan (lazimnya ikan) dengan menggunakan garam (atau asam) yang banyak dan mampu untuk menghasilkan pekasam yang mampu bertahan lebih lama (antara 6 bulan - 1 tahun). Ia biasanya digoreng dan dihidang bersama-sama nasi atau pulut rebus.

 4) Mandai 

Mandai merupakan makanan yang popular dan digemari oleh kebanyakan orang banjar. Mandai ini adalah hirisan kulit cempedak yang dibuang kulit lalu dijeruk selama 3 hari. Rasanya sedikit masin dan biasanya dimakan bersama-sama nasi. Ia biasanya dihidangkan semasa kenduri kendara dan pada waktu perayaan.
 

 5) Kuih kalakatar

 Kalakatar merupakan sajian tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat banjar. Dalam bahasa Banjar, kalakatar sebenarnya bermaksud kala iaitu ketika dan katar pula bererti panas. Lazimnya, kuih berkenaan dimakan ketika masih lembut dan panas. Kuih ini diperbuat daripada tepung beras, tepung gandum , gula pasir , air kelapa dan isi kelapa muda.

6) Nasi gaul

Nasi gaul diperbuat daripada beras basmati yang dimasak dalam air rebusan daging atau ayam dan berlaukkan daging atau ayam rebus serta acar banjar. Nasi gaul ini cukup popular dalam kalangan keturunan Banjar, khususnya di Johor dan Selangor, pada suatu ketika dahulu. Ia dipanggil sebagai nasi gaul  kerana nasi digaul dengan acar banjar yang diperbuat daripada hirisan timun, tomato, bawang, lada serta belacan yang dibakar.

 

Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini. Sebenarnya terdapat banyak lagi makanan tradisi etnik Banjar dan Jawa yang tidak tersenarai di sini. Namun ini sahaja yang mampu saya senaraikan buat tatapan pembaca semua. Terima kasih.

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)