RUMAH LAMA DI BATU 20 , SELEKOH HUTAN MELINTANG

0

Pemandangan dari sudut hadapan rumah besar ini.

Semasa melalui jalan ke Bagan Datuk, tepatnya di Batu 20, Selekoh, Hutan Melintang Perak, saya tertarik dengan senibina rumah lama ini. Saya dengan segera memberhentikan kereta saya untuk melihat rumah ini dari dekat. Sangat cantik senibinanya menghiasai rumah yang besar ini. Saya fikir pemilik rumah ini tentunya milik pembesar Melayu di negeri Perak ini. Oleh kerana tidak ada sebarang papan tanda nama atau sejarah rumah ini, saya pun tak berani menyatakan bahawa rumah ini ialah istana walaupun ciri-ciri istana lama itu ada padanya. 

Pemandangan dari sudut tepi rumah tersebut
Namun menurut maklumat daripada orang tempatan , rumah ini dimiliki oleh Tuan Haji Mat Som (ada yang menyebut Ma'som) iaitu seorang yang sangat kaya pada tahun 40 hingga 50 an dulu. Tuan Haji Mat Som dikatakan meninggal pada penghujung tahun 50-an. Beliau dikatakan banyak mewakafkan hartanya untuk Masjid Aziziah Batu 20 (masjid tepi rumah ini), dan SMA Al-Ulum Syare'yah Batu 20. 

 

 

Menurut sumber tersebut, dulu menantu beliau yang dikenali sebagai Mak Cik Mah @ Fatimah , isteri arwah Cikgu Baharuddin pernah tinggal di situ bersama-sama anak-anaknya.  Sekarang dikatakan anak-anak dan cucu-cicit keturunan pemilik rumah berada di perantauan terutama di Kuala Lumpur manakala tanah dan rumah tersebut dikatakan diwakafkan kepada Masjid Al Aziziah Batu 20 yang terletak betul-betul di tepi rumah ini. 

Apa yang menarik ialah rumah ini pernah menjadi tempat Kongres PAS ke 2 pada tahun 1953 dan menyaksikan kehadiran ramai hadirin ke sini. Antara tetamu yang hadir ke kongres tersebut ialah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad iaitu Yang Dipertua PAS yang pertama. Mungkin ini disebabkan keadaan rumah yang besar serta halaman rumah yang cukup luas memungkin kongres ini dilakukan di sini.

 Sayangnya ia ditinggalkan begitu sahaja menanti masa untuk rebah menyembah bumi . Semoga ada usaha daripada pihak masjid mahupun kerajaan untuk membaikpulih rumah ini seterusnya menjadikan ia tempat yang lebih bermanfaat untuk digunakan oleh masyarakat. Saya akan kongsikan video berkenaan rumah ini dalam video tiktok saya.

Saya kepilkan juga gambar-gambar lain yang saya ambil di bahagian luar rumah tersebut.

Keunikan rumah ini masih kelihatan

Berpuluh-puluh tiang pasak masih kukuh berdiri walaupun puluhan tahun berdiri

Tangga masuk di sebelah kanan rumah


Kelengkapan rumah yang masih lagi tersisa

Tangga laluan masuk yang kedua


Pemandangan dari Masjid Aziziah , Batu 20 Selekoh , Hutan Melintang

Tandas rumah








Sebelah kanan gambar terdapat runtuh garaj atau bangsal



Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)