KEINDAHAN MASJID LAMA KEDAI MULONG

0

 

Pemandangan hadapan Masjid Lama Mulong

Walaupun saya anak jati Nilam Puri (Mulong) tapi secara jujurnya saya tak pernah singgah pun ke Masjid Lama Mulong sepanjang hidup saya.  Saya biasanya menunaikan solat Jumaat atau solat tarawih di Masjid Mulong (Baru) yang terletak 200 m daripada masjid ini. Masjid ini  terletak tidak berapa jauh dari Pekan Kedai Mulong. Kedudukannya betul-betul di tepi jalan besar menarik perhatian ramai yang melalui jalan Kuala Krai- Kota Bharu ini. Keluasan bangunan Masjid Lama ini adalah 20’ x 60’ dikekalkan sama sebagaimana asal.

Masjid ini pada asalnya merupakan Balairung Seri Raja Dewa (1944) yang telah dibina sekitar 1900-an semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV sebagai rumah kediaman Tuan Zainal Abidin (Raja Dewa 1897-1945). Penduduk Kampung Kedai Mulong yang pada masa itu memerlukan sebuah masjid untuk kegunaan ahli kariah telah membeli binaan balairung ini dengan harga RM1,000 .Balairung ini kemudiannya telah dirombak dan dipindahkan secara gotong royong di tanah wakaf Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ismail di Lot 495, Surau Lama Kedai Mulong, Kilometer 11 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. Ia siap dibina semula sebagai masijd pada akhir Disember 1958. Kedudukan asal bangunan ini adalah di kawasan perkampungan raja di Kota Bharu yang terletak berhampiran dengan Istana Jahar dan Istana Balai Besar.

Pemindahan pada waktu itu dilakukan dengan lori dan struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua bagi tujuan tersebut. Ia dipasang semula secara gotong-royong seperti bentuk asal balairung seri dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk. Sebagai sebuah balairung seri, bangunan ini mempunyai ukiran jejala yang halus pertukangannya termasuk mural lukisan awan larat air emas pada kepingan papan janda berhias. Yang menariknya mural tersebut ditemui selepas pekerja pemuliharaan mengikis cat lama pada kepingan papan dinding masjid itu.

Pada tahun 2009, kerja-kerja pemulihan telah dijalankan kepada Masjid Kampung Laut  oleh Jabatan Warisan Negara dengan kerjasaman Lembaga  Muzium Negeri Kelantan. Projek pemuliharaan ini telah mengambil masa selama 7 bulan untuk dilaksanakan dan telah siap sepenuhnya pada 25 Mei 2009 dengan kos sebanyak RM 843,000. Kerja-kerja pemulihan ini telah dilakukan dengan pendekatan restorasi yang menekankan kerja baikpulih terhadap struktur binaan sedia ada dengan membuang komponen atau struktur binaan baru dan mengembalikan struktur binaan asal yang hilang. 

 
Saya pernah memasukkan sejarah masjid ini dalam blog saya. Boleh dibaca di sini.

https://cikguzhaf.blogspot.com/2023/04/sejarah-masjid-lama-mulong.html 

 






























 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)