KISAH AKU DAN SALAFI

0
Buku yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu


Saya teringat dulu sekitar tahun 2004 di Jalan Dato' Pati , Kota Bharu. Tepatnya di depan Pejabat PAS Kota Bharu semasa kuliah dhuha pagi Jumaat. Kuliah Dhuha ni merupakan antara benda rutin mingguan yang dilakukan oleh keluarga saya sejak kecil lagi. Antara pengisi kuliah yang saya suka ialah almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dr. Johari Mat.

Pada satu kuliah dhuha yang saya hadiri, ada seorang lelaki yang berada di kawasan ceramah mempromosikan VCD ceramah. Saya tak pasti samaada dia memberikan VCD ceramah itu secara percuma ataupun dengan bayaran yang murah. Saya tak ingat. Sebab pada masa tu saya masih di sekolah menengah, mana ada duit sangat masa tu.

Ceramah dalam VCD itu disampaikan oleh seorang ustaz yang saya tak pernah dengar namanya. Namanya Ustaz Halim Hassan. Dalam hati saya bertanya siapakah Ustaz Halim Hassan itu? Tajuk Ceramah itu ialah Apakah Itu Wahabi dan Bahayakah Wahabi?

Ah sudah. Dahlah penceramahnya saya tak kenal. Sampaikan pula tajuk yang saya langsung tak tahu dan tak pernah dengar pun iaitu tentang Wahabi. Apabila saya balik dari kuliah dhuha itu, saya pun memasang VCD itu. "Mamak mana bagi kuliah ni?" . Kata saya dalam hati. Lepas tu tak sampai 10 minit saya dengar ceramah itu, saya pun tutup sebab :

1) Bahasa Ustaz Halim pekat sangat loghat Penang

2) Topik yang dibahaskan tu tak menarik minat budak sekolah menengah macam saya.

3) Topik tu langsung tak difahami.

Saya pun lupa tentang VCD ini sehinggalah saya mendapat tawaran pengajian di Pulau Pinang pada tahun 2006. Masa itu, saya pun dalam mode mencari-cari pengajian agama dan ustaz yang boleh saya tadah ilmu daripadanya.

Saya pun bertemu dengan usrah JIM. Usrah JIM ini menjadikan silibus Ikhwanul Muslimin sebagai bahan pentarbiyahannya.  Segala bahan-bahan usrah berpandukan bahan tokoh-tokoh IM. Kenapa tak masuk usrah PAS ketika itu sedangkan saya membesar dengan tarbiyah PAS? Sebab pada masa itu usrah PAS tak masuk ke kampus saya. Jadi saya ikutlah usrah, daurah dan tamrin mengikut silibus yang ditetapkan oleh jemaah pada ketika itu.

Pada masa yang sama, saya suka menambah ilmu dengan menghadiri kuliah-kuliah pengajian merata di pulau Pinang. Banyak masjid-masjid yang saya pergi untuk mendengar ilmunya dengan ustaz yang saya langsung tak kenali sebelum ini sebab mereka tak masuk tv. Facebook live pun takde lagi masa tu.

Entah macam mana, saya termasuk dalam circle ustaz ustaz "sunnah" yang kemudian saya tahu mereka digelar sebagai salafi (atau popular dengan nama wahabi). Mereka mengadakan kuliah-kuliah di masjid masjid tertentu di seluruh Pulau pinang. Jadi saya banyak mengikut mereka ke pengajian pengajian mereka.

Antara asatizah yang saya selalu ikut pada masa itu (selain Maulana Asri) ialah Ustaz sobri Hanif ,Ustaz Asri Sobrie, Almarhum Maulana Qomaruzzaman Musa Al Hafiz dan beberapa orang lagi. Termasuklah Ustaz Shamsuri Ahmad dan beberapa orang lagi yang mereka bukannya salafi, tetapi dikelompokkan  sebagai salafi.

Dalam banyak-banyak ceramah itu, ada seorang penama yang saya kenal sangat iaitu Ustaz Halim hassan. Ustaz Halim memang antara asatizah favourite di Pulau Pinang dan belah utara ini . Saya pun mengikut kuliah pengajian beliau. Banyak pandangannya yang saya ambil. Mana yang saya rasa tak patut, saya takkan ambil .

Sehinggalah satu ketika, saya tahu kelompok salafi pun berpecah kepada dua kelompok . Satu kelompok yang agak moderate , sederhana atau wasathie. Satu kelompok pula agak syadid (keras) . Kelompok yang saya ikut itu merupakan kelompok yang pertama tadi. Pada masa itu, asatizah yang aliran syadid ni banyak bergerak di masjid dan surau di sekitar Tanjong tokong . Tapi saya tak tahu selepas itu kerana saya tak ambil tahu tentang perkara ini selepas graduasi pada tahun 2011.

Saya sedar adanya kelompok yang agak keras ini apabila beredarnya video atau VCD ceramah seorang asatizah aliran ini di dalam masyarakat iaitu ceramah Ustaz Rasul Dahri. Pada masa itu beliau menyampaikan satu ceramah yang bertajuk Ikhwanul muslimin atau Ikhwanul muflisin . Tajuk ini berdasarkan buku yang beliau karang tersebut.

Secara jujurnya saya tak berani mengikut ceramah tersebut kerana saya takut "terpesong" pandangan saya terhadap IM. Saya sudah ceritakan tadi bahawa pada masa itu saya mengikuti usrah IM. Saya juga memiliki buku Ustaz Rasul tersebut dengan membelinya di gerai buku semasa kuliah asatizah "sunnah". Tapi saya "tak berani" membacanya kerana takut mengubah pandangan saya terhadap IM .

Selepas beberapa tahun ikut pengajian, baharulah tahu tak semua asatizah sunnah itu anti IM. Ada yang agak bersederhana dalam pandangannya terhadap IM termasuklah pensyarah muda dari USM yang kini menjadi Mufti Perlis, Prof . Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Pada masa itu  , beliau menggerakkan satu gerakan yang dinamakan Arus Tajdid. Saya sebenarnya sudah mendengar nama  beliau pun melalui DVD Perdebatan beliau dengan Encik Astora Jabat sekitar tahun 2005. Beliaulah ustaz pertama yang berani berdebat dan bersemuka dengan Astora Jabat sehinggakan asbab beberapa siri perdebatan itu, Astora Jabat tidak lagi menulis di dalam Mingguan Malaysia.

Dr. Maza antara watak moderate yang mempertahankan IM sehinggakan digelar oxfordiyyun, Ikhwaniyyun dan beberapa gelaran tak enak disebabkan pandangan beliau dan rakan rakan sefikrah beliau terhadap IM . Beliau turut dinafikan sebagai kelompok "sunnah" atau salafi oleh kelompok salafi keras ini.

Aliran keras inilah satu ketika pernah masuk secara beramai ramai ke dalam UMNO dan membentuk Ulama Muda UMNO dan kemudiannya dikenali sebagai ILMU manakala kelompok sederhana ini tetap non partisan di bawah beberapa label organisasi seperti Institut Ibn Qayyim (IQ) dan beberapa lagi.

Semasa mengikut asatizah sunnah (aliran sederhana) ini lah saya belajar supaya:

1) Jangan taksub kepada INDIVIDU atau KUMPULAN, tapi taksublah kepada KEBENARAN dan HUJAH .

2) Setiap kata-kata boleh diterima dan ditolak melainkan kata-kata nabi Muhammad.

3) Sederhana dalam pandangan. Guna akal untuk menilai.

الْعِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَى فَخُذُوا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ

Maksudnya: “Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik”

4) Saya sendiri tak bersetuju dengan banyak pandangan Dr. Maza kebelakangan ini terutama isu berkaitan politik. Tapi saya tetap mengambil ilmu daripada beliau menganggap beliau sebagai guru saya.

Mungkin atas asbab tarbiah yang saya terima daripada usrah yang menggunakan uslub IM dan asatizah sunnah aliran sederhana , saya mula mengikut pengajian samaada secara bertulis (buku/ kitab), menghadap guru mahupun secara online dengan asatizah yang di luar kelompok salafi ini seperti Ustaz Shamsuri Ahmad, Maulana Asri Yusoff, Ustaz Zahazan Mohamad , Dr. abu Anas Madani Abdul Basti Abdul Rahman, Prof. dr. Basri Ibrahim dan ramai lagi.

Sebenarnya prinsip inilah kena terapkan dalam diri supaya tidak taksub kepada batang tubuh kepada individu individu atau kumpulan tertentu apabila kita menjadi "murid" atau penuntut ilmu. Saya sendiri pun suatu ketika suka mengkritik dengan keras kelompok kelompok pengajian pondok, habaib dan sebagainya .

Tapi bila fikirkan balik, apa gunanya berkeras sangat kerana syurga neraka ni milik mutlak Allah azza wa jalla. Jadi kita serahkan kepada Allah siapakah yang akan dimasukkan dalam syurga dan siapakah dicampakkan dalam neraka. Jadi ambil alih kerja tuhan.

Cuma dari sudut kita, kita mestilah:

1) sentiasa membuka diri untuk menambah ilmu pengetahuan

2) Jangan taksub terhadap pandangan termasuklah terhadap pandangan sendiri mahupun kepada tokoh yang diminati

3) Tunaikan kewajiban kita sehari hari.  Menurut Imam Hassan Al Banna

الوَاجِبَات أَكْثَر مِن الاوْقَات

Maksudnya: “Kewajipan-kewajipan kita jauh lebih banyak daripada masa yang kita miliki.”

#CikguZhaf

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)