Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Entry ini merupakan entry kedua berkenaan dengan Masjid Nurul Falah , Parit 12 Sungai Panjang. Boleh rujuk entry ini melalui pautan : https://cikguzhaf.blogspot.com/2022/12/kisah-kubah-masjid-nurul-falah-parit-12.html. Jika dalam entry sebelum ini, saya ada kongsikan berkenaan "dakwaan" seorang blogger bahawa kubah Masjid Nurul Falah berasal daripada Masjid Lama Matang Kunda, kali ini saya kongsikan pengesahan yang saya terima sendiri daripada Nazir Masjid Nurul Falah Parit 12, Ustaz Saiful Azlan bin Haji Tarli berkenaan dakwaan tersebut.
Gambar lama yang dikatakan diambil di lokasi lama Masjid Matang Kunda , Bagan Datuk, Perak. Keterangan lanjut berkenaan gambar ini tidak saya peroleh. |
Menurut Ustaz Saiful Azlan, kubah, dinding kembung dan tiang seri daripada Masjid Lama Matang Kunda telah dipindahkan ke Parit 12 Sungai Panjang pada tahun 1967. .Masjid Lama Matang Kunda menurut catatan orang lama-lama telah dibina di Matang Kunda pada tahun 1907 setelah Matang Kunda dibuka oleh Datuk Penghulu Laksamana Haji Saman yang berasal dari Banjar Masin. Masjid ini dibina daripada hasil wakaf orang ramai terutama masyarakat tempatan pada waktu itu. Setelah berlakunya pemindahan lokasi , masjid tersebut dinamakan semula sebagai Masjid Nurul Falah.
Ketika ditanya mengapa berlakunya perpindahan masjid ini dari Matang Kunda ke Sungai Panjang , Ustaz Saiful menyatakan bahawa pada ketika itu, Masjid Parit 12 memerlukan bangunan baharu yang lebih besar kerana masjid yang ada pada masa itu hanyalah bangunan kayu berukuran lebih kurang 20x20 . Manakala Masjid Matang Kunda pula dapat peruntukan untuk pembinaan baharu. Jadi pihak Masjid Matang Kunda telah mewakafkan bangunan masjid yang sedia ada kepada pihak Masjid Parit 12 bagi memberi ruang pembinaan bangunan baru di tempat asal masjid mereka.
Gambar Masjid Nurul Falah , Parit 12 Sungai Panjang sebelum mengalami ubahsuai pada tahun 2015. |
Menurut beliau lagi, sebahagian daripada struktur masjid seperti dinding kembung, dan tiang seri bangunan masjid Matang Kunda dipindahkan ke Parit 12. Tambah beliau, menurut cerita yang ada, tiang seri itu juga didatangkan dari tanah seberang dengan menggunakan jalan laut. Jika cerita ini benar, berkemungkinan tiang seri masjid Parit 12 umurnya lebih dari seratus tahun.
Pemandangan dari sisi Masjid Nurul Falah , Parit 12 Sungai Panjang |
Binaan masjid ini berbentuk segiempat dan mempunyai kubah dan menara. Dinding masjid ini dihiasi dengan seni khat. Antara kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah ruang solat yang selesa untuk lelaki dan wanita, tempat wuduk, tempat letak kereta dan stor. Antara keistimewaan masjid ini ialah kerap menganjurkan program-program keagamaan seperti kuliah dan majlis keagamaan.
Mulai tahun 2015, masjid ini telah mengalami perubahan-perubahan dengan mengekalkan beberapa ciri yang klasik yang ada pada masjid sebelum ini. Antara ciri-ciri yang dikekalkan ialah kubah dan tiang seri asal masjid.
Gambar-gambar yang ada pada entry kali ini saya peroleh daripada blog rasmi Masjid Nurul Falah, Parit 12 Sungai Panjang http://masjidnurulfalahprt12.blogspot.com/2012/04/inilah-keadaan-sebenar-masjid-yang.html.
Keterangan lanjut berkenaan Masjid Nurul Falah adalah seperti berikut :
No Daftar: MY-10-SB-00166
Nama Masjid: MASJID NURUL FALAH
Alamat: PARIT 12, SUNGAI PANJANG,
45300 SG. BESAR
Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan juga amat dihargai.
Akaun Masjid : Bank Islam
Nama : MASJID NURUL FALAH PARIT 12 SG PANJANG
No. Akaun : 12-056-01-001485-3
Reka bentuk moden dan terkini Masjid Nurul Falah setelah mengalami pengubahsuaian |
Kolah tempat berwuduk |
Papan tanda masjid di pintu pagar utama Masjid Nurul Falah, Parit 12 Sungai Panjang |
Pemandangan sisi Masjid Nurul Falah Parit 12 Sungai Panjang. |