KISAH SEBUAH KATIL : BAGAIMANA KAMI BERMULA

0
Pesakit terlantar yang memerlukan bantuan katil

Beberapa hari lepas ada seorang sahabat bertanya dalam group-group Whatsapp siapa yang ada katil hospital untuk dipinjamkan kepada seorang penduduk kampungnya yang terlantar sakit. Katanya katil hospital ini amat diperlukan bagi memudahkan urusan menguruskan pesakit ini.  

Katil hospital selain mempunyai roda bagi memudahkan kedudukan pesakit dialih,  ia juga mempunyai “crank” (engkol) yang berfungsi untuk menyelaras tinggi rendah kedudukan kepala pesakit. Fungsi ini memudahkan pesakit untuk diangkat kepalanya lebih tinggi untuk urusan penyuapan makanan dan ubat-ubatan.

Daripada pertanyaan sahabat itu, kami Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar berbincang bersama-sama ahli jawatankuasa kami untuk membeli sendiri katil hospital ini dan memberikan pinjaman secara percuma kepada mereka yang memerlukan. Tempoh pinjaman ini tidak terhad dan ia akan dipinjamkan sehinggalah katil itu tidak lagi diperlukan oleh si pemakai.

Isu katil hospital ini mungkin tidak menjadi masalah besar bagi orang-orang yang berkemampuan kerana mereka mampu mendapatkan katil ini sendiri untuk kegunaan mereka atau keluarga mereka di rumah. Namun ia menjadi satu bebanan dan keperluan kepada mereka yang datang dari golongan sederhana dan miskin yang tidak berkemampuan.

Hasil survey yang kami lakukan dalam internet , harga seunit katil hospital ialah antara RM 800 (tidak termasuk kos penghantaran) hinggalah RM3000 bergantung kepada ciri-ciri katil tersebut. Jumlah ini suatu nilai yang besar bagi orang-orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau pendapatan terpaksa dicatu akibat kesakitan yang dialami oleh pencari rezeki.

Jadi kepada tuan puan yang budiman dan baik hati, ayuhlah menderma ke tabung kami bagi membolehkan kami mempunyai katil hospital sendiri. Dermalah seikhlas hati dan semampu yang boleh kerana inilah bekalan kita di akhirat kelak.

Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar akan terus komited menyantuni masyarakat melalui program-program yang melibatkan kesukarelawanan dan kebajikan . Selain projek katil hospital ini, kami juga masih meneruskan projek Bantuan Makanan Asas untuk mereka yang memerlukan.

#GerilaKebajikan
#KamiPrihatin

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)