Semasa dalam perjalanan ke Kelantan melalui jalan dalam ke Kuala Kangsar, mata mula mengantuk dan tidak bermaya. Saya mengambil keputusan untuk singgah ke sebuah masjid yang terletak di Kampung Bendang Panjang. Masjid ini dinamakan sebagai Masjid Sultan Abdul Jalil.
Nama masjid ini merujuk kepada Sultan Abdul Jalil yang merupakan Sultan Perak yang ke 29 . Baginda telah memerintah dari 17 Januari 1916 - 26 Oktober 1918. Nama penuh baginda ialah Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah ibni al-Marhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah. Sejarah pembinaan masjid ini tidak saya peroleh dengan tepat.
Cuma saya agak tertarik dengan sebuah pondok kecil yang menempatkan sebuah kerantung/kentong yang terletak di halaman masjid . Apakah itu kerantung , kentong atau ketuk-ketuk itu? Kerantung diperbuat daripada kayu halban, durian, meranti dan sebagainya yang ditebuk untuk menghasilkan rongga di sepanjang terasnya. Sehingga awal tahun 1980-an, kerantung masih digunakan di masjid-masjid dan di surau-surau. Setiap kali masuk waktu sembahyang fardu, kerantung akan diketuk.
Apa yang menarik tentang kerantung ini ialah ia dikatakan berasal daripada surau perkampungan masyarakat Jawa di Ulu Kenas.Apabila mereka berhijrah dan membuka perkampungan ini, maka kerantung ini dibawa sebagai simbolik kepada surau atau madrasah di kampung Bendang Panjang. Menurut sumber yang tertulis di papan tanda tersebut ,usia kerantong ini menjangkau 150 tahun.