PENYERAHAN KATIL HOSPITAL KEPADA PESAKIT BATU 23 SUNGAI NIBONG

0

 


Gerila Kebajikan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar terus bergerak menyantuni rakyat. Pada hari ini kami menyantuni sebuah keluarga yang diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian di Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Sungai Besar. Bagi kami, keadaan keluarga ini adalah antara keadaan yang sangat meruntun hati kami sepanjang bergerak kerja dalam kebajikan ini. 
 
Ceritanya bermula apabila Pengerusi MPKK Batu 23 Sungai Nibong, Tok Sidang Haji Baharuddin Ahmad atau Pak Teh menghubungi kami untuk mendapatkan katil hospital. Setelah beberapa perancangan dilakukan, kami pergi ke rumah pesakit dengan ditemani Pak Teh. Kedatangan kami disambut dengan baik oleh keluarga ini. 
 
Ketua keluarga , Encik Mohd Nor Hilmi bin Md Hamin , 42 tahun merupakan seorang penghidap barah hati dan penerima pinjaman katil hospital Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar. Beliau menghidap penyakit barah hati ini semenjak setahun yang lalu. Beliau dulunya bekerja sebagai attendan Hospital Tanjung Karang dan kini tidak mampu bekerja disebabkan penyakitnya itu.
 
Beliau baru kehilangan isteri akibat barah payudara pada 2 Ramadhan yang lalu. Kehilangan isteri tercinta ini turut dirasai oleh anak-anak yang berusia 5 tahun, 6 tahun , 10 tahun dan 14 tahun yang tentunya amat memerlukan kasih sayang seorang ibu. Anak sulong kepada keluarga ini merupakan seorang OKU yang tidak mampu berjalan dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. 
 
Ayah kepada Encik Hilmi turut tinggal bersama keluarga ini. Ayah Encik Hilmi, Hj Md Hamin juga berkerusi roda dan tidak boleh berjalan. Yang menambahkan lagi kesulitan ialah Haji Md Hamin
telah hilang penglihatan kerana jangkitan kuman pada mata. Sungguh berat ujian yang Allah berikan kepada keluarga ini. Semoga Allah memberikan kesabaran dan kekuatan kepada Encik Hilmi sekeluarga dalam menghadapi ujian ini.
 
Insyaallah keluarga ini akan kami usahakan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang sewajarnya membantu. Kami juga cuba untuk mendapatkan akaun peribadi keluarga ini bagi memudahkan urusan derma orang ramai terus kepada keluarga ini. 
 
*****************************************************
Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar amat bergantung kepada sumbangan anda untuk kami terus bergerak berbakti kepada masyarakat. Sumbangan boleh disalurkan terus kepada :
 
Nama. : Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar
No. Akaun : 12056010034899
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
 
Terima kasih kepada para penderma yang budiman dan baik hati yang sudi menginfaqkan sebahagian daripada harta mereka demi mereka yang memerlukan.
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)