Destinasi kedua yang kami lawati pada hari ini ialah Muzium Islam yang terletak di sebelah Muzium Memorial Perang (Bank Kerapu). Bangunan ini dibina pada tahun 1902 berasaskan gaya dan ciri-ciri model rumah melayu Kelantan sekitar hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Bangunan ini pada asalnya merupakan rumah kediaman bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Encik Hassan Bin Mohd Salleh (Dato Menteri 1895-1990). Pada tahun 1917, bangunan ini telah dijadikan sebagai pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sehingga tahun 1990.Kini bangunan ini telah dijadikan galeri Muzium Islam sejak 11 November 1991.
Antara koleksi-koleksi pameran di sini ialah artifak, gambar-gambar, rajah-rajah yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam ke Kelantan-Nusantara, tokoh-tokoh agama Islam, Jabatan Agama, Majlis Agama Islam Kelantan dan berbagai koleksi dari Negara-Negara Islam. Pada masa ini Replika Mumia Firaun dan Kerandanya ada dipamerkan di tingkat atas Muzium Islam.
Galeri pameran di muzium ini menampilkan koleksi muzium dalam bentuk artifak, model, replika dan peta mengenai sejarah dan perkembangan Islam di Negeri Kelantan. Selain itu, muzium ini turut menempatkan barangan peribadi dan juga ruangan sejarah mantan Menteri Besar Kelantan , allahyarham Dato' Betara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Sangat berbaloi untuk dilawati. Tiket masuk adalah RM 2 bagi dewasa dan RM 1 bagi kanak-kanak.