Pada hari ini, saya dan keluarga berkesempatan melawat Muzium Memorial Perang yang terletak di sebuah bank lama yang digelar sebagai bank kerapu. Bank ini dikenali sebagai Bank Kerapu kerana keadaaan dinding bangunan tersebut ditampal dengan simen berkerutu dan tidak licin. Lokasi bank kerapu ini betul-betul di belakang Masjid Muhammmadi dan tepi Sungain Kelantan. Bangunan ini asalnya bank "The Mercantile Bank of India Limited" yang merupakan bank perdagangan pertama di Kelantan dan beroperasi pada tahun 1912. Selepas berakhirnya Perang Dunia II, bank ini telah diambil alih oleh "The Hongkong & Shanghai Bank".
Menurut catatan sejarah , pada masa pendudukan Jepun sekitar tahun 1941-1945, bangunan ini digunakan sebagai Pejabat Polis Rahsia Jepun "KAMPETAI" dan lokap tempat siasatan mereka-mereka yang anti-Jepun. Pada tahun 1981 Kerajaan Negeri Kelantan mengambil alih bangunan tersebut bagi kegunaan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan tingkat atas dijadikan Dewan Kraftangan. Tahun 1991 ditubuhkan "Memorial Perang Dunia II” dan digunakan sepenuhnya sebagai tempat pameran kesan-kesan sejarah Peperangan Dunia II (1941-45).
Muzium ini mempamerkan artifak dan gambar-gambar mengenai sejarah Peperangan Dunia II secara ringkas khususnya di Negeri Kelantan yang merupakan permulaan Perang Dunia II di Tanah Melayu bermula di Kuala Pak Amat Kota Bharu pada awal 8 Disember 1941. Begitu juga gambaran, keterangan dan bahah-bahan berkaitan serangan Jepun ke atas Kelantan mengikut kronologi, pertahanan Tentera British, Zaman Pemerintahan Jepun sehingga Jepun menyerah kalah dengan gugurnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Di bahagian luar galeri terdapat replika Kubu Kebal "Pillbox" Pertahanan British yang banyak terdapat di sepanjang pantai dari Tumpat ke Bachok, kereta perisai dan jenis-jenis pengangkutan darat yang digunakan sebelum merdeka. Bahan pameran yang dipamerkan majoriti adalah barangan yang asli dan berusia lebih daripada 60 tahun. Bayaran masuk adalah berpatutan iaitu RM 2 bagi dewasa dan RM 1 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Berbaloi untuk dikunjungi bersama-sama keluarga.