KEENAKAN MASAKAN PANTAI TIMUR DI SABAK BERNAM

0

Salah satu kelebihan yang Allah berikan kepada saya ialah saya jenis yang tidak memilih makanan . Orang rumah saya orang Banjar + Minang. Kami pula duduk di Sabak Bernam yang komunitinya ramai jawa dan banjar. Jadi makanan yang selalu saya jumpa ialah nasi ambeng, pecal , tempe, sambal goreng, punten, getuk ubi, sambal tahun ,wadai kepeng, ikan wadik dan mandai. Paling saya suka ialah sambal tahun iaitu makanan yang diperbuat dari kulit lembu. Rasanya kenyal dan lembut. 
 
Semasa belajar di Pulau Pinang dulu, nasi kandar menjadi santapan saya dari pagi ke malam sebab saya jenis yang menjadikan nasi sebagai diet utama. Saya belajar pula di IPG Kampus Pulau Pinang yang terletak di atas pulau yang dikelilingi restoren nasi kandar . Begitu juga semasa di Bintulu Sarawak iaitu tempat pertama saya posting. Makanan seperti laksa sarawak, mee kolok, bubur pedas, umai, kelupis,tebaloi,linut, pais, kek lapis, ayam pansuh dan lain-lain semuanya saya nikmati tanpa sebarang masalah. Umai antara makanan yang saya susah nak tinggal semasa saya berada di sana. Umai merupakan makanan tradisi Melanau Vaie yang terdiri daripada hirisan ikan mentah yang dicampur dengan perahan limau , bawang cili dan garam. Ia digelar sebagai sushi sarawak.
 

 Namun , pada masa yang sama saya juga tidak boleh tinggalkan makanan pantai timur seperti nasi dagang, nasi kerabu, laksam , keropok lekor dan sebagainya. Hari ini diberikan keizinan oleh Allah untuk kembali menikmati keenakan nasi kerabu di Restoren Pok Nik Al Barokah di Sungai Limau, Sungai Besar. Pada pendapat saya, inilah restoren nasi kerabu paling sedap di Sabak Bernam kerana "perkakasan"nya lengkap. Ada yang buat nasi kerabu , tapi kerabu tak dicampurkan dengan isi ikan, hanya sekadar kelapa parut. Manalah sedap kerabu kalau macam tu. Begitu juga ada yang tak letak budu sebagai perasa tambahan yang menyebabkan nasi kerabu menjadi agak tawar dan kering. Ada juga yang jual nasi kerabu, tapi tak buat solok lada, ikan goreng tepung dan daging bakar. Macam tak lengkap macam tu. Tetapi di restoren Pok Nik , semuanya lengkap. 
 
Alhamdulillah.
 
Jika sampai ke Sabak Bernam, singgahlah ke sini.

Kedai makan ini terletak lebih kurang 3km dari Pusat Internet Tebuk Haji Yusuf. Menyediakan santapan sarapan pagi Nasi Kerabu dan Nasi Dagang sebagai menu utama pada sebelah pagi. Pada waktu tengahari kedai akan ditutup operasi sementara untuk membuat persiapan makan petang sehingga malam dimana menu utama adalah western.

Alamat : 

Poknik Al-Barokah, Sungai Limau, 45300 Sungai Besar, Selangor

Waktu Operasi :

8.00 am - 12.30 pm

4.30 pm - 11.45 pm

(Isnin tutup)

Nombor Telefon :

0176967954

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)