PUTU HALBA : MAKANAN ISTIMEWA MUSIM TENGKUJUH

0

 

Bagi orang yang biasa ke Kelantan terutama pada musim tengkujuh ini, mesti mereka akan pelik apabila melihat ada sahaja orang yang membuka gerai sementara di tepi jalan untuk menjual sesuatu yang "istimewa" yang jarang didapati pada musim yang lain. Kuih istimewa yang dimaksudkan ialah putu halba. Saya beli putu halba ini di kampung saya di Nilam Puri. Harga sekarang bagi putu halba ini ialah RM 2 untuk 3 ketul. Tak pasti harga di tempat lain macam mana. 
 
Putu Halba adalah sejenis kuih yang berasal dari Kelantan, diperbuat daripada ubi kayu ataupun tepung ubi kayu, biasanya hanya didapati pada musim tengkujuh sekitar bulan November hingga Febuari. Kuih putu halba berbentuk bulat, didalamnya berintikan gula melaka (atau dipanggil nise oleh orang Kelantan), dimakan bersama parutan kelapa muda.
 
Selain untuk aroma, fungsi asal halba digunakan dalam kuih ini adalah untuk memanaskan badan di musim tengkujuh. Putu halba dan musim tengkujuh berpisah tiada. Ianya hanya dijual pada musim tengkujuh kerana dikatakan pada zaman dahulu, bila tiba musim tengkujuh dan banjir, kawasan kebun akan ditenggelami air…jadi untuk mengelakkan ubi kayu rosak ditenggelami air eloklah dituai dan dijadikan kuih. Salah satu kuih daripada ubi kayu yang sangat sedap dimakan adalah kuih putu halba ini.
 
Sekarang boleh dikatakan bahawa kuih putu halba ini telah dikomersilkan dan dijual panas-panas di luar Kelantan kerana ia sedap untuk dinikmati pada waktu petang. Selain itu, ia juga dipasarkan di luar musim tengkujuh kerana bahan-bahan yang diperlukan untuk membuatnya boleh didapati bila-bila masa dan di mana-mana pasaraya. Datang ke Kelantan jangan lupa nikmatinya !
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)