BUKU SABAK BERNAM DENGAN SEJARAHNYA KARYA YUSOFF HASSAN

0

 

Antara perkara yang banyak memangkin semangat saya untuk mengkaji tentang Sabak Bernam ialah kerana kurangnya bahan bacaan dan sumber sejarah yang menceritakan spesifik tentang Sabak Bernam sepertimana buku ini. 
 
Saya membeli buku ini daripada halaman Facebook Kolektor Buku2 SeMalaysia. Buku yang saya beli ini merupakan buku terpakai yang dicetak pada tahun 2000 iaitu 22 tahun lalu. Jika nak cari yang baru buku ini mungkin sudah tidak ada di pasaran memandangkan buku ini dicetak oleh syarikat yang tidak dikenali. 
 
Dulu pernah wujud sebuah buku lagi berkenaan Sabak Bernam yang ditawarkan dalam halaman Facebook tersebut, tetapi tak sempat saya rebut. Buku itupun saya lupa apakah tajuknya dan siapakah pencetaknya. Amat sayang sekali. Jika tak mungkin banyak juga maklumat yang saya peroleh daripada buku tersebut. 
 
Saya cuba mencari sejarah berkenaan Sabak Bernam di dalam dua buku yang lain seperti buku Perang Saudara di Selangor 1868-1873 karya A. Talib b. Haji Ahmad dan juga Sejarah Selangor karya Buyong Adil, namun penyebutan sejarah Sabak Bernam tidak diterangkan secara rinci. 
 
Berbalik kepada buku di bawah. Buku dibawah ditulis oleh Yusoff Hassan dan diterbitkan pada tahun 2000. Buku ini diterbit dan dicetak oleh Percetakan S.T. Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat penerbitan dan percetakan di Kota Bharu, Kelantan. Buku ini mempunyai 84 mukasurat tidak termasuk kulit depan dan belakang. Terdapat 12 bab perbincangan dibahaskan di dalam buku ini iaitu :
 
Bab 1 : Sabak Bernam dalam Negeri Selangor
Bab 2 : Sabak Bernam di Peringkat Awal
Bab 3 : Asal Nama Sabak Bernam
Bab 4 : Tempat-tempat yang ada kaitannya dengan Sahabat Berenam
Bab 5 : Nama-nama lain
Bab 6 : Sabak Bernam ditadbir oleh Selangor
Bab 7 : Sabak Bernam menjadi daerah ke 7
Bab 8 : Sabak Bernam sebelum dan sesudah menjadi daerah
Bab 9 : Kedatangan orang-orang luar
Bab 10 : Sabak Bernam merupakan pemancar syarikat kerjasama
Bab 11 : Sabak Bernam di hari-hari mendatang
Bab 12 : Tan Sri. Dato' Mustafa bin Abd. Jabar.
 
 Menurut pengarang buku ini " memang tidak siapa diantara yang tahu perihal Sabak Bernam ini melainkan dapat kita dengar melalui cerita-cerita lisan. .. Atas kesedaran bercampur kebimbangan bahawa jika tidak dibukukan dari sekarang sudah tentu segala-galanya akan hilang bersama-sama penghuni Sabak Bernam yang meninggalkan kita semua. Walaupun hal ini telah berlaku, tetapi masih ada peluang untuk kita mengumpul dan menulisnya dari penerangan mereka yang masih ada " (Yusoff Hassan , Kuala Selangor , 1996)
 
Daripada maklumat-maklumat daripada buku ini, sebahagiannya telah saya masukkan ke dalam laman blog saya https://cikguzhaf.blogspot.com/ . Sengaja saya masukkan sumber sejarah yang pelbagai di dalam itu supaya para pembaca boleh menilai setiap kisah yang dipaparkan dengan saksama. Sesetengah maklumat juga saya peroleh daripada sumber-sumber yang lain seperti internet, akhbar dan juga sumber lisan. 
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)