Pada hari ini , saya dan keluarga saya sempat berkunjung ke zoo mini Husin Fauzi Farm di Kampung Teluk Penyamun, Kuala Selangor . Perjalanan ke sini dari Sungai Besar mengambil masa kira-kira sejam. Alhamdulillah cuaca pada hari ini sederhana, tidak terlalu panas dan tidak hujan. Suasana mendung sahaja.
Inilah kali pertama kami berkunjung ke sini setelah beberapa kali melihat papan tanda iklan tempat ini semasa melalui Kuala Selangor dari Lembah Klang. Tiket masuk ke tempat ini bagi saya cukup murah. Tiket masuk bagi seorang dewasa ialah RM 12 manakala tiket masuk bagi kanak-kanak ialah RM 7. Bagi kanak-kanak berusia bawah 2 tahun pula, masuk dalam percuma. Ia dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuklah cuti umum .
Tempat ini cukup sesuai untuk aktiviti keluarga semasa cuti sekolah dan hujung minggu. Pelbagai jenis haiwan dipertontonkan di sini. Antaranya ialah :
1) Pelbagai jenis ular
2) Pelbagai jenis burung
3) Kijang, rusa
4) Unta
5) Pelbagai jenis ikan air tawar
6) kerbau
7) burung unta
8) kura-kura
9) kuda
10) buih belon
Apa yang menarik ialah para pengunjung dapat menunggang kuda dengan bantuan petugas dengan harga RM 5 bagi seorang dan RM 7 bagi dua orang. Ada juga haiwan yang dibiarkan berkeliaran di sepanjang taman ini seperti ayam mutiara/ api-api, ayam kampung dan juga burung unta yang jinak. Kelakar jugalah lihat seekor burung unta yang bersaiz besar merayau-rayau seolah-olah menegur dan bergaul bersama-sama pengunjung taman.
Di sini juga disediakan pelbagai aktiviti yang dapat mengisi masa anak-anak selain melihat segala jenis haiwan di dalamnya.
Antara aktiviti tersebut ialah :
1) Memanah
2) menunggang kuda
3) kereta elektrik
4) taman permainan
5) kafeteria dan tempat makan
6) tandas
7) cenderamata bergambar keluarga.
Rasa puas hati dapat bawa anak-anak ke sini. Sekurang-kurangnya dapat mengenalkan anak-anak dengan pelbagai jenis haiwan yang hanya dapat dilihat di dalam YouTube dan internet sebelum ini.