Kisah ‘sumpahan Tok Sidang’ di Sabak Bernam, bermula dari wanita aneh yang muncul memberi amaran

0

Pautan : klik sini 

 

KALAU sebut kisah-kisah legenda berkaitan sumpahan, salah satu yang popular ialah sumpahan Mahsuri di Langkawi.

Tetapi, di sebuah perkampungan di Sabak Bernam, Selangor, satu ketika dahulu juga pernah dikaitkan dengan kisah ‘sumpahan Tok Sidang’.

Generasi baru mungkin tidak pernah mendengar kisah ini. Namun jika masih ada orang-orang lama yang masih hidup, pasti ada di antara mereka yang tahu cerita lampau ini.

Lebih kurang 12 kilometer dari pekan Sabak Bernam terdapat sebuah perkampungan lama yang dikenali kampung Tebuk Pulai. Mengikut cerita lisan orang-orang terdahulu, kampung ini satu ketika dahulu dikaitkan dengan ‘sumpahan’ yang menakutkan, di mana ia telah meragut nyawa hampir empat generasi Tok Sidang.

Kampung Tebuk Pulai di Sabak Bernam, Selangor.

Lebih kurang 10 tahun lalu, kami pernah berkunjung ke kampung ini dan menemubual salah seorang penduduk tempatam, Haji Salbani yang ketika itu berusia 60-an yang merupakan penduduk asal kampung ini.

Menurut Haji Salbani, cerita tentang sumpahan Tok Sidang itu berlaku lebih enam dekad yang lalu. Katanya, fenomena misteri itu bermula selepas penghijrahan beramai-ramai masyarakat Melayu berketurunan Jawa dari Indonesia ke kampung tersebut.

Haji Salbani menceritakan, sebelum  kedatangan masyarakat Jawa, sudah wujud perkampungan yang lebih lama di kawasan itu. Dikatakan seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Tok Sidang Mat Yatim telah membuka kampung tersebut pada sekitar tahun 1920.

Namun, apabila Jepun datang pada tahun 1942, diikuti dengan kekejaman komunis pada zaman darurat, perkampungan itu telah ditinggalkan. Ramai di kalangan penduduk asal ketika itu dibunuh dan ada yang melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat.

Kekejaman Jepun membuat ramai penduduk asal lari dan pindah ke kawasan lebih selamat.

Selepas pengunduran tentera Jepun pada tahun 1945 dan tamatnya zaman darurat di Tanah Melayu pada tahun 1960, perkampungan tersebut telah dibuka semula.

Pentadbiran kampung tidak lagi dianggotai oleh masyarakat tempatan sebaliknya diambil alih oleh orang-orang Jawa. Ini kerana, majoriti penduduk asal di situ telah menghilangkan diri, atau berpindah ke tempat lain.

Menurut cerita Haji Salbani lagi, sewaktu di bawah pentadbiran orang-orang Jawa, kampung tersebut mula digelar sebagai Kampung Tebuk Pulai. Nama itu diambil sempena sebatang pokok pulai yang tumbang di kawasan itu.

Perkampungan baru itu diketuai oleh seorang pemimpin yang dikenali sebagai Tok Sidang Mat Jana.

Mat Jana digambarkan seorang lelaki yang berani dan berpengaruh. Ketika kampung ini di bawah pengaruhnya, pelbagai aktiviti dilakukan. Antaranya bermain kompang, pencak silat, tarian dan sebagainya.

Tidak lama kemudian, berlaku satu kejadian aneh di kampung ini apabila muncul seorang wanita yang tidak kenali. Wanita itu mengaku sebagai ‘penunggu’ di kawasan berkenaan.

Wanita itu muncul untuk memberi amaran supaya aktiviti kemasyarakatan dihentikan serta-merta kerana mengganggu kawasannya. Selepas memberi amaran, sekelip mata wanita itu hilang dari pandangan.

Muncul wanita aneh memberi amaran kerana tempatnya diganggu dengan aktiviti penduduk.

Bagaimanapun, Mat Jana tidak menghiraukan amaran wanita itu. Hampir setiap malam pelbagai aktiviti masih dijalankan seperti biasa.

Tidak lama kemudian, kampung tersebut gempar apabila Tok Sidang Mat Jana meninggal dunia secara tiba- tiba. Dikatakan sewaktu mayatnya ditemui penduduk kampung, mulutnya dipenuhi darah. Anehnya, pada bahagian badannya tiada sebarang kecederaan ditemui.

Kematiannya menimbulkan persoalan, adakah dia dibunuh atau sebaliknya?

Tidak lama selepas kematian Tok Sidang Mat Jana, pemilihan ketua kampung yang baru diadakan semula. Salah seorang penduduk telah dilantik menjadi Tok Sidang yang baru.

Tetapi, kejadian yang serupa masih berulang. Beberapa orang Tok Sidang seterusnya turut mengalami nasib yang sama apabila menemui ajal. Selalunya mereka akan mengalami muntah darah dan mati secara misteri.

Sejak itu ia disebut sebagai ‘sumpahan Tok Sidang’ dan orang-orang dulu percaya ia ada kaitan dengan amaran wanita aneh itu. Malah, orang-orang terdahulu mengatakan sumpahan itu belum berakhir.

Kisah ini pernah kami siarkan lebih sedekad lalu.

Ketika kami menemubual Haji Salbani sedekad yang lalu tentang kisah sumpahan ini, Haji Salbani memberitahu pengganti Tok Sidang yang baru sudah tiada. Jawatan itu dibiarkan kosong dan hanya diganti dengan jawatan pemangku Tok Sidang.

Namun, itu lebih 10 tahun yang lalu. Kami tidak pasti kini apakah jawatan Tok Sidang itu masih dibiarkan kosong, atau sudah ada pengganti mengggalas jawatan tersebut.

Pun begitu menurut Haji Salbani kepada kami waktu itu, tidak ada yang pasti mengapa kejadian aneh itu berlaku. Cuma orang-orang terdahulu percaya ada pantang larang harus diikuti supaya kampung mereka tidak ditimpa masalah serupa.

Kisah ini bukan untuk anda mempercayainya, tetapi sekadar untuk perkongsian tentang kisah-kisah tempatan dalam masyarakat kita pada zaman dahulu.

 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)