Ada orang tulis buku berkenaan wirid dan aqidah Tok Kenali yang dikatakan dipengaruhi Tariqat dan fahaman wahdatul Wujud. Ada juga yang mengkritik tindakan penulis buku tersebut yang mengaitkan ulamak terkenal dari negeri Kelantan itu dengan fahaman yang dikatakan terkeluar daripada ahlu sunnah wal jamaah itu.
Berikut merupakan kisah yang dipetik daripada buku 20 Sikap dan Pandangan Tuk Kenali yang ditulis oleh almarhum Ustaz Abdullah Al-Qari Haji Salleh (AQHAS). Menurut Ustaz AQHAS, pada zaman Tok Kenali pernah disebarkan Tariqat Ahmadiyah pada tahun 1914 di Kelantan.
Tariqat ini disebarkan oleh Sidi Azhari dengan menjadikan Lorong Tok Semian (tepi Masjid Muhammadi Kota Bharu) dan Kampung Laut , Tumpat sebagai markaz penyebaran dan pengamalan tariqat ini.
Antara perkara yang diamalkan di markaz ini ialah berzikir Allah.. Allah.. Allah.. (tanpa lafaz Ya Allah) dan doktrin fanaa (martabat 7) sehingga mereka melupakan kehidupan di dunia. Tariqat ini dikatakan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat Kelantan pada waktu itu.
Hasil daripada nasihat Tok Kenali , Sultan Kelantan Sultan Muhammad IV telah melakukan “tindakan” kepada Sidi Azhari sehinggakan Sidi Azhari terpaksa meninggalkan Kelantan dan berpindah ke Terengganu sebelum menetap di Mekah.