UNTAIAN PENGALAMAN 2 : DADAH MEROSAKKAN KEBAHAGIAAN

0


Dadah meruntuhkan kebahagian rumahtangga . Ia menyebabkan ramai orang sengsara dan merana. Ini kisah yang pernah aku hadapi sendiri dalam beberapa tahun ini.Aku pernah mengajar seorang murid Tahap 1 yang kematian ibunya akibat kanser. Ibunya agak lama menderita akibat penyakitnya itu sehinggakan Allah menjemputnya dalam usia anak muridku baru mencecah 8 tahun. 
 
Murid itu anak tunggal. Perempuan lagi. Dia masih sangat tulus dan tak mengerti apa-apapun. Selepas kematian ibunya, entah bagaimana kisahnya, ayahnya ditahan 2 tahun akibat penyalahgunaan dadah. Rasanya tak sampai dua bulan kematian ibunya, ayahnya pula ditahan dan dimasukkan dalam pusat serenti.Tinggallah anak itu bersama-sama neneknya yang sudah tua dan uzur.
Aku pernah bertemu dan berborak dengan neneknya itu. 
 
Neneknya sangat baik. Tapi raut keuzuran pada wajahnya begitu terpancar. Mungkin zaman mudanya itu dihabiskan untuk kerja keras menyara keluarganya. Anak itu adalah anak yang baik, tidak ada masalah dalam kelas . Bahkan dia merupakan anak yang cerdik dan berpotensi dalam kelas. Mengingatkan kisah hidup dia kadangkala membuatkan aku sedih sendiri. Aku pernah membantunya membeli Samsung Tablet semasa PKP dulu. 
 
Harapan aku supaya tablet itu mampu digunakannya semasa PDPR. Tapi sayangnya , katanya tablet itu langsung tak digunakannya disebabkan neneknya tak pandai menggunakannya. Sepatutnya bila ibu meninggal, ayahnya wajib menjadi pengganti kepada kelompongan kasih sayang tersebut . 
 
Malangnya itu semua tidak berlaku. Anak itu bukan sahaja kehilangan ibunya, bahkan ayahnya juga "hilang" dari pandangan matanya dan hanya bergantung kepada kasih sayang seorang nenek yang kian uzur . Tinggallah dia sendirian bersama neneknya yang cuba memberikan terbaik kepada cucunya itu dalam keadaan dia sendiri keletihan dan keuzuran .
 
Ini semua menginsafkan diriku yang seringkali terlupa dengan segala nikmat kurniaan tuhan. Aku seringkali menceritakan kisah ini kepada anak sulungku, Umar Al Khattab supaya dia mengerti apakah erti sebenarnya keluarga dan sifat kesyukuran. Kita mungkin miskin harta benda , tetapi jangan sampai kita papa kedana dari segi kasih sayang dan perasaan cinta sesama kita.
 
Didik anak anak kita untuk membenci dadah sepertimana kita membenci babi. Orang melayu ni sensitif dengan babi. Mereka siasat bab makanan ni sampaikan DNA babi pun mereka jumpa dalam makanan . Tapi bab dadah dan rasuah mereka tak rasa apa-apa .

 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)