Anak ibarat kain putih. Kitalah yang mencorakkannya.
Aku pernah bertemu dengan seorang murid perempuan. Bijak orangnya, cantik rupa parasnya dan baik budi pekertinya. Lama kelamaan aku mendapat tahu bahawa dia hanyalah anak angkat kepada sebuah keluarga yang susah dan tinggal di kampung.
Menurut ibu angkatnya , anak itu merupakan anak tak sah taraf yang diserahkan kepadanya ketika ibu kandungnya itu masih menjadi mahasiswa di sebuah IPTA. Hasil percintaan dan hubungan luar nikah, lahirnya anak suci yang tidak mengerti apa-apa itu.
Anak angkat kepada keluarga yang mulia ini telahpun diberitahu tentang perkara ini. Anak angkat ini menerima takdir dengan hati yang cukup terbuka. Buktinya hubungan antara anak angkat dengan keluarga ini terutama dengan ibu angkat cukup bahagia keadaannya sampai sekarang.
Di sebalik kesusahan yang dialami oleh keluarga ini, hati mereka ibarat emas permata nilainya. Aku dimaklumkan oleh ibu angkat bahawa segala dokumen kelahiran dan serahan hak penjagaan kepadanya telahpun selesai. Ibu kandung murid ini tidak boleh menuntut anak ini sampai bila-bila . Mungkin anak ini mewarisi kepintaran dan kecantikan ibu kandungnya kerana dia antara murid yang terpandai yang pernah aku ajar. Tetapi aku sentiasa doakan anak ini tidak mewarisi perlakuan ibunya ini.
Wahai lelaki dan perempuan.
Jagalah pandangan mata dan kemaluan. Jaga ikhtilaf antara silang jantina. Yang lelaki jangan sesekali mengajak perempuan berdua duaan. Perempuan pula jangan bermurah hati menyerahkan apa yang menjadi miliknya kepada orang yang tidak berhak.
Wahai ibu ayah.
Mudahkan urusan nikah kahwin. Jika anak anak perlu kahwin, mudah kan perkahwinan mereka. Jangan mematah mayahkan urusan ini sehingga menyebabkan anak terpaksa menyalurkan nafsu syahwat mereka dengan jalan yang haram .
Andai sudah terlanjur, apakah kesudahan yang ada pada seseorang anak itu ? Mereka tidak bersalah, tetapi yang salah itu ibu dan ayah kepada anak tersebut. Takkan kita sanggup biarkan anak ini menderita berhadapan dengan tohmahan masyarakat hanya disebabkan kejahatan yang kita lakukan sendiri?