Beberapa bulan yang lalu, Gerila Kebajikan mendapat aduan daripada seorang pengguna katil hospital kami. Katil itu baru semalaman berada di rumahnya.
Aduan yang diberikan cukup unik, dan cukup membuatkan buku roma kami berdiri. Pesakit itu meminta maaf kepada kami dan memohon kami segera mengambil katil hospital yang kami baru hantar tak sampai 12 jam.
Menurut pesakit itu, apabila dia menggunakan katil tersebut, dia didatangi seorang "wanita" menakutkan berambut panjang , bergigi tajam yang bertenggek di hujung katil hospital itu.
Katanya, dia tidak dapat melelapkan diri sepanjang malam angkara "wanita tersebut" disamping dia turut diziarahi oleh ramai "orang-orang" pada malam tersebut.
Kami yang mendengar kisah itu pada mulanya agak terkejut dan pelik.
Pelik disebabkan beberapa faktor.
1) katil itu baru dua kali digunakan. Pesakit itu merupakan orang kedua yang menggunakannya.
2) Pengguna pertama pula masih hidup sihat. Dia tak menggunakan katil itu kerana katil itu agak tinggi . Wanita itu terpaksa mengengsot ke sana sini yang menyebabkan sukar untuk turun dan naik katil sendiri. Jadi dia mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan katil kami.
3) Sebelum katil itu diserahkan kepada penerima ini, cucu kepada pengguna pertama berumur 3 dan 5 tahun sering tidur di atas katil itu. Secara logiknya jika benar gangguan itu bermula daripada "badi" mayat pada katil , orang yang pertama yang patut kena ialah cucu cucu pengguna pertama lah. Tetapi itu tidak berlaku.
Selidik punya selidik. Pengguna kedua itu merupakan seorang lelaki warga emas berumur 80 tahun yang pernah menjadi guru silat. Kami pun tak berani nak hurai apa-apa berkenaan isu ini. Kami serahkan kepada mufti FB yang ada. Haha.
Tetapi selepas aduan itu , kami juga sempat meminta seorang sahabat untuk "membaca" bacaan. Mudah-mudahan sekiranya " ada" , makhluk itu tidak bertenggek lagi di katil tersebut.
Tetapi kalau tanya aku secara logik, sekiranya benar tanggapan bahawa sesebuah katil yang menjadi penyaksi kepada kematian-kematian itu akan dihuni oleh makhluk alam ghaib, nescaya seluruh katil hospital itu terpaksa dilupuskan setiap kali berlakunya kematian .
Tetapi itu tidak berlaku. Bahkan katil hospital hanya akan ditukar cadarnya tanpa perlu dibakar cadarnya dan tilam pun tidak dibakar. Lagipun apabila dipandang dari sudut Islam pun, Islam tak menyuruh kita melupuskan segala barangan yang berkaitan si mati atas asbab badi mayat dan sebagainya.
Lagipun ini semua harta WAKAF yang diinfaqkan oleh orang ramai dalam membantu mereka yang memerlukan . Jadi bagi aku, menunaikan hak pewakaf dengan menyalurkan harta wakaf kepada penerima sepatutnya itu merupakan satu perjuangan yang lebih besar berbanding makhluk-makhluk ghaib ini.
Alhamdulillah. Setakat ini, gerila Kebajikan memang ambil pendekatan yang terjaga untuk menjamin keselamatan dan kebersihan katil kami. Kami akan sanitasi menggunakan spray tilam kami walaupun kulit pesakit tak sentuh direct dengan katil kami kerana pesakit akan diberikan tilam udara yang perlu dipasang 24 jam.
Tilam angin pula kami akan rendam dengan Clorox dan dijemur. Katil besi pula kami akan spray mahupun basuh dengan cecair pencuci Clorox setiap kali digunakan pesakit. Jadi dari segi kebersihan katil hospital kami insyaallah tidak diragui.
Jika ada yang ingin menderma katil baru mahupun terpakai, atau menyumbangkan apa sahaja berkaitan orang sakit mahupun orang yang sihat yang memerlukan, sila hubungi saya di talian 013-3059357. Insyaallah kami akan sampaikan kepada mereka yang memerlukan .