Gerila Kebajikan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar menziarahi seorang wanita yang menghidap penyakit kanser limfoma tahap 3 di Pasir Panjang. Wanita yang berusia 47 tahun ini terlantar sakit semenjak tahun lepas lagi di mana kaki kanannya sudah tidak boleh digerakkan lagi. Seluruh rambutnya juga gugur disebabkan kesan rawatan yang beliau jalani.
Semasa kami menziarahi Puan Roslina, betapa sayunya kami melihat ibu Puan Roslina melayan Puan Roslina yang terbaring sakit dengan penuh kasih mesra. Ibunya yang tua itulah yang terpaksa menjaga anaknya yang sering mengadu kesakitan akibat penyakit yang dideritainya. Saat wanita seusianya lain berehat bermain dan bergurau senda dengan cucu, wanita tua inilah yang setia mendampingi anaknya yang kadangkala hilang ingatan.
Kehidupan kedua orang anak beranak ini terpaksa bergantung kepada pendapatan anak Puan Roslina yang bekerja sebagai pembantu kedai di kampungnya itu. Puan Roslina mendapat bantuan zakat bulanan daripada Pusat Zakat Selangor . Insyaallah esok kami akan menghantar katil hospital untuk kegunaan Puan Roslina.
Penyakit ini dikesan apabila Puan Roslina kerapkali mengadu sakit sejak hari raya tahun lepas. Sejak dari itu kesihatan dirinya semakin lama semakin merudum sehingga dia terpaksa menjadikan hospital sebagai rumah keduanya. Kami mendoakan semoga Puan Roslina diberikan kesabaran dan kesembuhan . Amin.