Amat silap mentaliti ibu bapa seperti ini. Selain tahfiz, ada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka yang bermasalah ke dalam pondok dengan harapan anak-anak mereka berubah. Ini tak betul. Sepatutnya , anak-anak yang bermasalah perlu dihantar samada ke pusat pemulihan akhlak atau institusi penjagaan yang memfokuskan kepada pembentukan akhlak.
Sepatutnya yang masuk ke bidang agama ini orang yang cerdik pandai ,yang bijak dan yang ada pemikiran kritikal (critical thinking), bukan orang yang malas belajar, orang yang bermasalah akhlak dan orang yang tak mampu bawa diri dia, apatah lagi membawa orang lain. Saya teruja apabila membaca kisah tokoh tokoh yang berjaya dan orang yang ramai anaknya berjaya hasil didikan agama , pada masa yang sama cemerlang dalam bidang akademik dan memasuki bidang-bidang profesional.
Kita perlukan lebih ramai pendakwah dan asatizah yang bijak mengatur langkah dan bicara, yang mampu memberikan pencerahan sepatutnya kepada ummah, yang mampu membimbing manusia mengikut zaman , yang mampu menyantuni hati-hati manusia dan yang mampu menonjolkan kehebatan Islam di mata orang yang bukan Islam . Berat tanggungjawab orang yang belajar agama ini. Bukan setakat goreng gorengan di meja kuliah kemudian ambil sampul selepas kuliah.