MASJID JAMEK KAMPUNG BATAK RABIT : BERBAKTI LEBIH 100 TAHUN LALU

0

 

Pandangan pada kedudukan hadapan Masjid Jamek Kampung Batak Rabit

Semasa dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan, saya sempat singgah ke Masjid Jamek Kampong Batak Rabit yang terletak betul-betul tepi jalan menuju ke Bandar Teluk Intan. Saya pernah singgah ke masjid ini beberapa tahun lepas. Alhamdulillah, pada hari ini berkesempatan untuk singgah sekali lagi sementara menunggu waktu zohor.
 
Masjid Jamek Kampong Batak Rabit dipercayai telah wujud lebih daripada 100 tahun dahulu. Masjid ini dikatakan dibina oleh Laksamana Tok Tambah, pembantu kepada Sultan Abdullah II , Sultan Perak ke 26 yang terkenal dengan insiden pembunuhan J.W.W. Birch , Residen British pertama di Perak. 
 
Bangunan asal masjid ini dibina dengan menggunakan kayu berkualiti tinggi. Walaubagaimanapun pada tahun 1885, Laksamana Tok Tambah telah membina semua masjid ini menggunakan batu bata yang kekal hingga ke hari ini.
 
Bahagian dalam masjid pula kelihatan banyak tiang yang dibina dengan kemas dan kukuh melambangkan betapa hebatnya arkitek zaman dahulu dalam membina binaan konkrit yang utuh sehingga kini. Senibina masjid ini menggabungkan antara senibina Melayu dan Eropah. 
 
Pandangan Masjid Jamek Kampong Batak Rabik pada bahagian belakang

Menara masjid

 
Manakala struktur bangunan serta bumbungnya memang jelas dengan menggunakan ciri-ciri atap tumpang yang lazim terdapat pada masjid di nusantara. Ada kalangan sejarahwan bersetuju bahawa seni bina Masjid Batak Rabit ini berasal dari Masjid Demak.
 
 
Kuburan yang terdapat di kawasan binaan Makam Datok Laksamana Nakhoda Pertama Negeri Perak

Papan tanda yang menyatakan empunya milik makam

Di sebelah kanan kepada masjid ini terdapat sebuah tapak perkuburan lama yang mempunyai kira-kira 40 buah kubur. Di situ terdapat binaan berpagar yang tertulis Makam Dato' Laksamana Nakhoda Pertama Negeri Perak (Dato' Laksamana Nakhoda Hitam). Dalam binaan ini terdapat sekurang-kurangnya 8 kubur yang saiznya berbeza.
 
Tapak Masjid lama

Dalam kawasan perkuburan yang sempit itu juga terdapat satu kawasan yang diletakkan pagar lingkungan yang tertulis "Tapak Masjid Lama'. Mungkin disitulah tapak asal masjid ini sebelum tahun 1885. 
 

 
Keadaaan jeti di belakang Masjid Jamek Kampong Batak Rabit

Di sebelah kiri masjid ini pula terdapat sebuah jeti yang dinamakan Jeti Mak Teh. Jeti ini agak kecil . Mungkin memfokuskan kepada nelayan pesisir pantai dan pemancing . Maklumat masjid ini saya peroleh daripada papan tanda yang diletakkan di belakang masjid ini. 
 
Papan tanda yang menerangkan tentang sejarah masjid ini

Alangkah bagusnya sekiranya Majlis Daerah Sabak Bernam dengan kerjasama PADAT atau jabatan muzium boleh mewujudkan papan tanda yang menerangkan tentang sejarah masjid-masjid lama terutama yang lebih 50 tahun di Sabak Bernam. Sayang sekali maklumat maklumat ini hanya boleh didapati dalam buku atau internet sahaja, sedangkan tempat-tempat ini boleh dijadikan sebagai bahan tarikan pelancongan berunsurkan sejarah di Sabak Bernam.
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)