HANCURNYA KATIL WAKAF KAMI

0
Salinan skrin (screenshot) Whatsapp antara saya dengan pewakaf dari Ampang

 
Pada hari Ahad minggu lepas, saya mendapat WhatsApp daripada seseorang daripada Ampang. Beliau berhajat untuk mewakafkan katil hospital yang pernah digunakan oleh almarhumah ibunya semasa ibunya masih ada. Menurutnya , beliau telah mengiklankan katil hospital untuk diwakafkan dalam grup Facebook sekitar Ampang, namun tidak ada respon daripada sesiapa. Jadi beliau mencari -cari dalan Facebook siapakah atau NGO manakah yang mampu menguruskan katil wakafnya.
 
Hendak dijadikan cerita, beliau mendapat maklumat bahawa Peduli Sungai Besar memang menguruskan katil-katil wakaf untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan. Jadi beliau segera menelefon saya yang bertindak sebagai pengurus projek katil ini. Katil yang ingin diwakafkan beliau merupakan katil hospital yang menggunakan elektrik. Alhamdulillah. Inilah satu-satunya katil yang kami miliki menggunakan tenaga elektrik untuk menggerakkanya. 
 
Kami memiliki lebih daripada 30 buah katil yang sedang digunakan oleh pesakit dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam. Semua katil ini merupakan wakaf daripada orang ramai kepada kami untuk kami uruskan . Katil elektrik ini mengikut pengetahuan kami harganya lebih RM 3K bagi katil yang baru. 
 
Jadi saya memohon jasa baik pewakaf untuk menangguhkan pengambilan katil disebabkan kami perlu mengumpulkan sukarelawan yang akan mengambil katil wakaf tersebut daripada Ampang untuk dibawa ke Sabak Bernam kerana katil ini agak berat berbanding katil yang biasa. 
 
Maklumat daripada anak pesakit yang ingin meminjamkan katil wakaf daripada kami. Pesakit ini tinggal di Puchong


Ketentuan Allah, pada hari Khamis yang lepas, ada seorang hamba Allah menelefon saya . Beliau menyatakan hasrat untuk meminjam katil wakaf untuk digunakan oleh ayahnya yang terlantar sakit. Tetapi beliau menetap di Puchong . Beliau mendapat tahu NGO kami menjalankan Khidmat pinjaman katil wakaf melalui Facebook. Jadi beliau mencuba nasib dengan menelefon saya.
 
Pada mulanya saya berasa agak keberatan untuk memberikan pinjaman katil wakaf kepadanya disebabkan lokasinya berada di luar kawasan Sabak Bernam. Lagipun pada masa yang sama, kami tidak ada lagi kekosongan katil wakaf di Sabak Bernam. Tiba-tiba saya teringatkan dengan katil wakaf yang masih ada di rumah pewakaf di Ampang. 
 
Setelah berbincang dengan sahabat-sahabat, dan merasakan bahawa kemungkinan besar kami pun tak dapat mengambil katil ini dalam masa terdekat, kami memberikan keizinan untuk anak pesakit dari Puchong ini untuk mengambil sendiri katil wakaf daripada pewakafnya di Ampang. Lagipun Ampang dan Puchong tidaklah sejauh Ampang dengan Sabak bernam. Cuma perjanjiannya, selepas katil wakaf ini digunakan oleh pesakit Puchong, ia akan dikembalikan kepada kami.
 
Pewakaf menghantar Whatsapp untuk memaklumkan bahawa katil wakaf itu telah dihantar kepada penerima melalui perkhidmatan pacuan 4 Roda Hilux Lalamove

 
Jadi anak kepada peminjam katil daripada Puchong itu menelefon dan menghantar WhatsApp kepada pewakaf katil daripada Ampang tersebut untuk meminjam katil tersebut. Saya menjadi orang tengah kepada urusan ini. Jadi mereka berurusan sesama mereka.
Lewat malam semalam, pewakaf katil menghantar WhatsApp dan gambar kepada saya menyatakan bahawa katil hospital itu telahpun dihantar ke rumah peminjam tersebut menggunakan pacuan 4 roda, Hilux. Alhamdulillah. Lega rasanya apabila dapat membantu pewakaf untuk mewakafkan katilnya dan membantu urusan sang peminjam yang tidak lagi memikirkan cara untuk mencari katil hospital.
 
Saya pun menghantar WhatsApp kepada anak pesakit yang menerima katil tersebut pada pagi tadi bertanyakan tentang katil tersebut. Tiba-tiba anak kepada pesakit tersebut menelefon saya dan memberitahu sesuatu yang buruk berlaku pada katil hospital tersebut. Katil Hospital tersebut mengalami kerosakan yang teruk dan tidak lagi dapat digunakan !
 
Saya agak terkejut mendengar perkhabaran tersebut. Lalu anak pesakit tersebut menceritakan bahawa katil tersebut jatuh di tengah-tengah Lebuhraya semasa dalam perjalanan dari Ampang ke Puchong. Akibat daripada kejatuhan tersebut, katil tersebut mengalami kerosakan yang teruk termasuklah tercabut tayar, besi bengkok, remote control hilang dan tidak lagi dapat berfungsi sepenuhnya. (Boleh rujuk gambar di bawah).
 








Semasa saya sedang bercakap dengan anak pesakit tersebut, pewakaf katil telah menghantar gambar-gambar kerosakan yang dialami oleh katil tersebut akibat kecuaian daripada pemandu L@l@move tersebut. Penghantaran katil ini diuruskan sepenuhnya oleh pewakaf katil ini. Pada mulanya, pewakaf ingin menggunakan Khidmat van 9 kaki untuk menghantar katil ini. Namun disebabkan tidak ada van yang menerima job ini pada waktu tersebut, beliau terus meminta bantuan pacuan 4 roda untuk menghantar katil wakaf ini. Lagipun menurut pewakaf, katil hospital ini pun diangkat menggunakan pacuan 4 roda semasa ia mula-mula dibeli dahulu. 
 
Akhirnya ada sebuah kenderaan pacuan 4 roda Hilux datang menyahut job ini dengan syarat menambah RM 30 duit minum selain daripada bayaran yang sedia dicaj oleh Lalamove. Pemandu tersebut itu juga menyatakan tidak ada masalah untuk menghantar katil tersebut walaupun dia boleh untuk menolak job tersebut jika dirasakan dia tidak mampu untuk menghantarnya . 
 
Menurut pewakaf, kemungkinan besar katil ini terjatuh di jalan raya disebabkan pemandu bergerak terlalu laju dan hanya mengikut katil tersebut dengan menggunakan tali rafia ! (Sila rujuk gambar dibawah).
 
Pewakaf tersebut telahpun membuat aduan kepada admin L@l@move berkenaan perkara ini. Harap-harap L@l@move atau pemandu tersebut boleh membuat ganti rugi terhadap kerosakan yang dialami oleh katil tersebut walaupun pemandu Hilux tersebut bermatian menyalahkan pewakaf kerana seolah olah pewakaf memaksa pemandu untuk terima job ! Sangat melucukan alasan ini.
 




Untuk pengetahuan semua, beberapa bulan lepas saya pernah mengambil katil hospital yang diwakafkan oleh pewakaf dari luar Sabak Bernam iaitu Batu Pahat Johor. Kami mengambil katil wakaf tersebut dari Batu Pahat dan dibawa ke Sabak Bernam dengan hanya menggunakan Triton putih saya. Jarak antara keduanya bukannya dekat, tetapi kira-kira 300 km atau 5 jam perjalanan dari Sabak Bernam .Tidak ada masalah berlaku kepada katil tersebut kerana kami memastikan katil itu diikat dengan teguh dan kuat sebelum bertolak pulang ke Sabak Bernam. Jadi tidak ada alasan untuk menyalahkan pewakaf kerana memilih pacuan 4 roda sebagai medium penghantaran.
 
Akibat daripada kecuaian pemandu tersebut, kami terpaksa membayar nilai yang sangat mahal apabila katil tersebut jatuh ke atas jalan raya semasa kenderaan bergerak laju. Saya meminta maaf kepada penerima katil wakaf atas apa yang berlaku dan memberikan panduan kepada beliau bagaimana prosedur mendapatkan katil wakaf daripada Pusat Zakat Selangor dan beberapa agensi lain. Harapnya, katil itu boleh diclaim dengan harga asal .
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)