Almarhum Ustaz Abdul Hadi Kamil |
Beberapa hari lepas , saya ada membuat kiriman dalam Facebook dan juga blog berkenaan kewujudan sebuah buku lama yang dicetak pada tahun 1954. Menurut pemilik buku tersebut, buku itu dicetak oleh sebuah syarikat penerbitan yang bernama USAHA KITA yang beralamat Malay Bazzar, Sabak Bernam. Kedua-dua nama tersebut - Usaha Kita dan Malay Bazzar- sudah tidak lagi wujud di Sabak Bernam pada ketika ini. Daripada situ , muncul 2 persoalan yang bermain di benak pemikiran saya :
Pertama : Apakah latar belakang dan sejarah Usaha Kita? Siapakah pengasas kepada syarikat penerbitan ini?
Kedua : Di manakah letaknya Malay Bazzar ? Masih wujudkan Malay Bazzar pada ketika ini?
Alhamdulillah. Daripada kirim tersebut, ada seorang anak jati Sabak Bernam memberikan ulasan berkenaan perkara ini. Katanya Malay Bazzar ini terletak di Pekan Sabak pada ketika ini. Lokasinya berhampiran dengan Balai Bomba Sabak Bernam. Jalan tersebut tidak lagi wujud disebabkan pengubahan lanskap pekan Sabak Bernam yang dilakukan pada suatu ketika dahulu.
Baiklah . Selesai persoalan kedua. Persoalan pertama masih tidak terjawab sehinggalah saya menemui sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2008 iaitu buku Pimpinan . Buku ini ialah dalam bentuk daiges dan hanyar mempunyai 30 mukasurat sahaja.
Di dalam buku ini, terdapat satu ruangan TOKOH. Di dalam ruangan ini , terjawablah persoalan pertama saya tadi iaitu " Siapakah yang mengasaskan USAHA KITA?"
Tokoh yang juga pengasas USAHA KITA ialah Ustaz Abdul Hadi Kamil.
Saya mohon izin daripada penerbit dan penulis asal artikel ini untuk menyalin bulat-bulat artikel ini demi rujukan anak bangsa kita pada masa yang akan datang. Saya bahagikan artikel ini kepada 3 bahagian bagi memudahkan pembaca FB untuk membacanya.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Rencana : Safwan Fathy
Foto : Mohd Ali Sahul Hamid
Penulis mula mengenalinya pada awal tahun 1950-an. Waktu itu beliau membuka kedai buku di Bazaar Melayu Pekan Sabak Bernam. Kedai bukunya diberi nama Usaha Kita menjual buku-buku dan kitab-kitab agama serta alat tulis. Apabila kita masuk ke kedainya, kita akan terangsangkan menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia lantaran menatap kata-kata hukama yang digantung di dinding mendorong ke arah bersifat demikian.
Ketika itu beliau baru berusia awal 30-an. Sesiapa yang melihatnya pada ketika itu bersetuju apabila penulis katakan beliau seorang yang lawa, kacak, kulitnya putih cerah, perawakannya sederhana, hidungnya mancung, dahinya luas, matanya bundar kehitamanan dan tajam, berwajah periang, itulah tanda-tanda beliau seorang yang pintar , berhemah tinggi untuk membangun hal ehwal islam umatnya.
Kemudian, dalam tahun 1956, penulis melihat beliau dalam satu Majlis Ihtifal Tahunan di Madrasah Al Huda, Simpang Tiga, Rungkup Bagan Datoh Perak.
Kali ini bukan sebagai ahli perniagaan, tetapi beliau menampakkan sebagai tokoh agama dan pemidato yang handal. Kalau lazimnya semasa di kedainya, beliau memakai kain sarung dan kemeja warna cerah, kali ini beliau memakai jubah putih dan berselindang dengan serban putih gaya orang Arab Saudi. Pada ketika itu, pakaian demikiran masih jarang dipakai oleh ulama atau pendakwah kita. Yang lazim pada waktu itu tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz setengahnya memakai baju melayu dan bersamping serta bersongkok hitam atau baju kurung berkain sarung dan berserban.
Penulis amat kagum dengan kepetahan Ustaz Hadi Kamil berbicara nada ala Indonesia atau Perak sebelah utara atau negeri Kedah. Gelombang percakapannya tidak mendatar sahaja, sebaliknya mengikut isu dan perasaan ketika sesuatu ayat disebut, ada kalanya nada tinggi, suara keras dan bersemangat ketika menekankan sesuatu hal yang penting dan perlu diambil perhatian. Ada kalanya nada rendah dan lembut ketika merayu dan meminta simpati.
Beliau berbicara pada waktu itu disekitar pentingnya pelajaran agama, pentingnya anak-anak diberi pelajaran, pentingnya orang Melayu merubah sikap lama , daripada memada apa yang ada kepada sikap rajin bekerja keras meninggikan ekonomi bangsa, kerana menerusi ekonomi itulah menjadi sebahagian nadi terpenting untuk membangun hal ehwal Islam dan umatnya.
Gaya pidatonya memenuhi ciri-ciri pemidato terbaik dan penulis merasakan semacam beliau ada keahlian dan kemahiran setelah melalui pengalaman yang cukup luas. Telahan penulis rupa-rupanya memang ternyata ada kebenarannya. Ketika penulis membaca biodata atau atau sejarah hidupnya menerusi buku yang ditulis oleh Cikgu Jani Naim, siswazaha Fakulti Sejarah Universiti Malaya, bahawa Ustaz Haji Abdul Hadi Kamil setelah tamat pelajaran di Sekolah Melayu Batu Kurau, Perak, tempat kelahirannya, beliau telah belajar di sekolah pondok tidak jauh dari kampungnya . Kemudian dalam tahun 1934 beliau dimasukkan oleh bapanya ke Maahad Ehya ' Al Syarif Gunung Semanggol, sebuah madrasah agama yang teratur dan mudirnya ialah Ustaz Abu Bakar Al-baqir, salah seorang peniup semangat kemerdekaan.
Waktu itu Hadi Kamil telah berusia kira-kira 15 tahun. Di sekolah inilah beliau dididik dan diasuh oleh guru-gurunya untuk menjadi seorang ulama dan pendakwah yang berwibawa. Sudah menjadi tradisi pendidikan di sekolah-sekolah agama atau sekolah arab pada masa lalu, setiap pelajar diajar berpidato di khalayak ramai, latihan ini diadakan seminggu sekali. Tidak hairan kalau sekolah-sekolah agama masa lalu melahirkan pemidato yang handal seperti Prof. Zulkifli Muhammad, Hassan Adli bergelar Panglima Jihad, Syed Jaafar Al-Bar bergelar Singa Malaya dan termasuk Ustaz Abdul Hadi Kamil.
Satu pengalaman berharga bagi Ustaz Hadi setelah menamatkan pengajiannya di Ehya akhir 30-an beliau telah menjelalah ke negeri-negeri di Tanah Melayu, dan akhirnya ke Singapura. Dalam sepanjang lawatannya, beliau singgah di masjid-masjid menyampaikan syarahan dan dakwahnya. Ketika di Singapura, beliau sempat singgah di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Cecil Street dan di sana beliau berkenalan dengan Pak Rahim Kajai, bapa wartawan Melayu. Hasil pertemuan itu beliau telah diterima menjadi penulis dan wartawan utusan Melayu.
Kemudiannya beliau juga semasa mudanya menjadi penulis dan wartawan bagi akhbar Majlis yang diterbitkan di Kuala Lumpur dan Warta Negara (Pulau Pinang). Menurut Hajin Ahmad Mahir, anak ke 2 Ustaz Hadi, bapanya pernah menjadi guru agama di Terengganu , Pulau Pinang dan akhirnya berhijrah ke Sabak Bernam pada awal 1950-an.
"Pada zaman Jepun , bapanya pernah berniaga sebagai penjual nasi lemak di kampungnya. " cerita Haji Ahmad lagi.
Menurut Ustaz Haji Salleh , Ustaz Hadi menunaikan haji dalam tahun 1947 dan beliau berpeluang tinggal di sana selama 3 tahun. "Di sana beliau sempat mendalami ilmu keagamaan menerusi ulama-ulama yang ada pada waktu itu termasuk ulama yang ada di rantau ini yang menetap di Mekah seperti Syeikh Abdul Qadir Mandili dan lain-lainnya. " Cerita Haji Salleh yang juga pernah belajar di Mekah. Di samping itu beliau meniupkan semangat persaudaraan di kalangan pelajar-pelajar dari Tanah Melayu yang ada di sana dengan menubuhkan persatuan.
Beliau sendiri mengetuai Lujnah Persuratan dan Syarahan. Sekembalinya ke tanah air, lalu beliau berhijrah ke Sabak Bernam mengajar di Madrasah Muhammadiyah Batu 40 yang didirikan oleh Allahyarham Penghulu Haji Muhammad. Di samping itu, beliau telah menceburkan diri dalam perniagaan dengan membuka sebuah kedai buku yang diberi nama USAHA KITA terletak di Bazar Melayu Pekan Sabak Bernam.
Antara buku yang dikesan masih wujud terbitan Usaha Kita |
Sejak awal 50-an itulah beliau aktif menulis buku-buku agama, beliau sendiri menjadi penerbit dan pengedarnya, kira-kira ada 30 buku yang dihasilkannya. Antaranya berjudul : Rahsia Sembahyang, Rahsia Puasa, Pedoman Berpidato, Khutbah Nikah Moden , Khutbah Jumaat dan lain-lain lagi.
Pada sebelah malam beliau aktif memberi ceramah agama di masjid-masjid dan surau di sekitar Sabak Bernam, dan ada kalanya dijemput menyampaikan syarahan di majlis-majlis kebesaran Islam seperti sambutan awal muharram, maulidurrasul, Israk dan mikraj dan lain-lain lagi. Beliau menerima undangan bukan sahaja di sekitar Sabak Bernam, malah hingga kawasan Hilir Perak dan lain-lain. Menurut Haji Ahmad Mahir, salah seorang anak Ustaz Hadi Kamil. bapanya menyampaikan ceramah pada akhir 70-an dan awal 80-an hingga ke Klang dan Kajang.
Menurut Ustaz Haji Tarmizi Surif, bekas Kadi Sabak Bernam , kini pesara dan pendakwah bebas menetap di Klang, Ustaz Abdul Hadi Kamil pernah menjawat jawatan Imam dan Penolong Pendaftar Nikah bagi kariah Masjid Jamek Pekan Sabak Bernam dalam tahun 70-an hingga awal 80-an. Ustaz Hadi Kamil mudah dihubungi oleh semua peringkat masyarakat yang ingin mendapatkan nasihat, pandangan mengenai hal kekeluargaaan , masalah-masalah keagamaan dan sebagainya.
Satu saat paling menggembirakan penulis ialah ketika Ustaz Abdul Hadi Kamil mencari penulis dalam satu majlis seminar dakwah yang diadakan di Kolej Islam Klang dalam awal tahun 1980-an. Menerusi seorang perwakilan dari Sabak Bernam yang mengenali penulis, beliau membawa Ustaz Hadi berjumpa penulis.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana ustaz telah memetik dan menyunting hasil tulisan saya dimasukkan dalam majalah terbitan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," ujar Ustaz Hadi sambil memeluk penulis.
Kini Ustaz Hadi telah pergi meninggalkan kita dan masyarakat Islam, namun jasa dan baktinya tetap dikenang khususnya oleh orang-orang yang mengenalinya . Beliau meninggal dunia pada 20 April 1985 dalam usia 66 tahun ,jasadnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batang, Bagan Datoh, Perak kampung Kiyai Haji Yassin . Kita hadiahkan kepadanya Al-Fatihah.