ORANG KELANTAN PEMINAT SEJARAH SABAK BERNAM

0

 

Sepertimana yang dijangka, ada juga sahabat dengan nada bergurau tetapi agak sinikal bertanya "mengapa bersungguh sangat kaji sejarah Sabak Bernam ni? Aku orang Sabak pun tak bersungguh macam ni".
 
Saya balas soalan itu dengan jawapan yang saya rasa mudah difahami dan logik pada akal orang yang mungkin tidak pernah berada dalam medan pengkajian.
 
"Zaman dulu, banyak penulis dan pengkaji Barat seperti Frank Swettenham, William R. Roff dan R.J. Wilkinson mengkaji , menulis dan menerbitkan buku berkenaan sejarah di Tanah Melayu. Takkan saya yang Melayu dan rakyat Malaysia tak boleh kaji sejarah Sabak Bernam?"
 
Akhirnya kami sama-sama gelak kerana jawapan itu mungkin agak pedih, tetapi benar jika difikirkan secara mendalam dan ilmiah. Saya pula tidak mahu berlama-lama memikirkan persoalan yang saya rasa tidak begitu penting dalam usaha mengumpul dan mendokumentasi sejarah Sabak Bernam.
 
Bumi Sabak Bernam ini merupakan bumi yang bertuah. Ia kaya dengan hasil bumi, alam semulajadi yang memukau dan sejarah yang masih perlu dirungkaikan secara mendalam. 
 
Saya merupakan peminat buku dan sejarah . Mungkin dari situ saya minat untuk mengkaji sejarah-sejarah yang ada terutama sejarah di Sabak Bernam.
 
Saya sendiripun walaupun tidak dikenali sesiapa, tetapi saya alhamdulillah diberikan keizinan oleh Allah menjadi sebahagian daripada watak yang menggerakkan politik , NGO dan juga sejarah di sini.
 
Saya sendiri tidak berasa terasing apabila berada di tempat yang jauh dari tanah tumpah darah saya iaitu Kelantan kerana pada pandangan saya, kita ini Allah lantik sebagai khalifah di muka bumi.
 
Sifat khalifah ialah memegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan sehabis mampu di mana jua kita diletakkan. 
 
Semasa belajar di Pulau Pinang sekitar tahun 2006 hingga 2011 dulu saya aktif menggerakkan NGO mahasiswa. Begitu juga semasa saya berkhidmat di Bintulu Sarawak, saya juga aktif menggerakkan NGO dakwah di sana. 
 
Apabila saya berpindah ke kampung halaman orang rumah saya (Sabak Bernam) , saya aktif menggerakkan parti politik selama beberapa tahun. Pada masa yang sama saya aktif menggerakkan NGO kebajikan dan kini pemfokusan saya ialah sejarah tempatan. 
 
Apabila berada dalam masyarakat ini, kita tak boleh lari daripada melibatkan diri dalam apa jua perkara yang memberikan manfaat kepada masyarakat sekeliling. Saya hanya insan biasa yang ingin menyumbang sedikit sebanyak jasa kepada masyarakat sekeliling.
 
Saya cuma ingin menjadi manusia yang bersyukur kerana masih diberikan ruang dan peluang untuk terus melangkah di bumi Allah ini. 
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)