MEMOIR MOHAMED SALLEH LAMRY : GURU MELAYU TERAKHIR

0

 


Pada hari ini (23 Januari 2023) saya telah berjaya menghabiskan bacaan buku yang bertajuk Memoir Mohamed Salleh Lamry : Guru Melayu Terakhir.  Buku ini dapat saya habiskan selama beberapa hari menelaahnya. Buku ini saya pinjam dari Perpustakaan PPAS Sungai Besar.

Keterangan buku adalah seperti berikut :

Judul buku             : Memoir Mohamed Salleh Lamry

Terbitan                 : Penerbit UKM 

Tahun penerbitan   :  2009

Bilangan mukasurat : 228 tidak termasuk kulit 

 

Buku ini menceritakan tentang insan yang dinamakan sebagai  Mohamed Salleh Lamry yang merupakan mantan Profesor Madya dan Pensyarah Tamu di Program Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.  Pada mulanya, saya agak pelik dan tertanya-tanya mengapakah judul buku ini menyatakan bahawa beliau merupakan "guru Melayu terakhir" sedangkan sampai hari ini, guru Melayu sentiasa ada dan dikeluarkan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan IPT di seluruh Malaysia. Setiap tahun, ribuan guru Melayu dikeluarkan daripada institusi yang saya nyatakan di atas.

Setelah membaca pendahuluan dan sinopsis kepada buku ini, barulah saya mengerti apakah yang dimaksudkan dengan Guru melayu terakhir itu. Beliau merupakan salah seorang daripada kumpulan guru Melayu terakhir yang dilantik daripada kalangan orang yang berpendidikan sekolah rendah. Setelah batch beliau , sudah tidak ada pengambilan guru daripada kalangan lulusan Darjah 7 sekolah Melayu kerana syarat yang diberikan ialah guru-guru wajib diambil daripada lulusan sekolah menengah : pada mulanya lepasan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kemudian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke atas.

Beliau lahir pada 22 September 1942 iaitu pada hari Selasa ketika Tanah Melayu baharu sahaja diperintah oleh Jepun.  Beliau lahir di Kampung Bukit Kuching, Mukim Jeram Kuala Selangor dalam keluarga petani . Beliau menceritakan dengan rinci berkenaan kehidupan masa kecilnya  pada bab 1 : Kelahiran dan Kehidupan Masa Kecil. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Bukit Cheraka  hingga menamatkan pembelajarannya di Darjah 7 pada akhir tahun 1954.  Kemudian disebabkan sifat kerajinan dan minat beliau terhadap pembelajaran, beliau "mengulang" kembali Darjah 7 di Sekolah Melayu Asam Jawa.

Semasa beliau berada di Darjah 7 (tahun 1956) , beliau berada dalam dilema samaada ingin meneruskan persekolahan ke peringkat Menengah atau mengikut kehendak keluarganya yang menginginkan beliau terus menjadi guru. Keputusan peperiksaan akhir darjah Tujuh beliau mencatatkan keputusan yang amat cemerlang di mana beliau mendapat nombor dua dalam kalangan pelajar di seluruh Selangor yang melayakkan beliau menyambung pelajaran ke sekolah menengah aliran Melayu yang baru ditubuhkan pada ketika itu iaitu Sekolah Dato' Razak, Tanjung Malim.   Namun , keluarganya terutama ibu bapa dan datuknya amat menentang hasrat beliau ini kerana mereka inginkan supaya beliau terus menjadi guru. Menurut mereka, buat apa belajar di sekolah menengah sedangkan beliau boleh mendapat gaji dengan terus bekerja sebagai guru. 

Daripada situ beliau meningkat taraf dan potensinya sendiri dengan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Walaupun beliau pada waktu itu sudahkpun bekerja dan berkeluarga bahkan mempunyai anak, tetapi beliau teruskan melangkah ke hadapan. Daripada Sijil Rendah Pelajaran (SRP) , beliau mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kemudian mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebelum menyambung ke peringkat Ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pembelajaran di peringkat SRP hinggalah STPM banyak dilakukannya secara sendiri  selain daripada tuisyen gaya pos. Perjalanan beliau tidak terhenti di situ. Bahkan beliau menyambung peringkat sarjana dan juga ijazah doktor falsafah. Perjalanan pendidikan beliau ini sangat menimbulkan inspirasi terutama kepada mereka yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

Antara babak yang menarik pada pandangan saya dalam buku ini ialah apabila beliau menceritakan pengalaman beliau semasa berkhidmat di Sabak Bernam tepatnya di Sekolah Melayu Parit Baharu sekitar tahun 1966 . Sekolah ini merupakan sekolah kedua beliau berkhidmat setelah berkhidmat selama 8 tahun di Sekolah Melayu Sijangkang. Beliau bertukar ke sini atas permintaannya sendiri. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa beliau berpindah dari kawasan pinggir bandar kepada kawasan luar bandar (mungkin dikategorikan pedalaman pada waktu itu). Ini ialah disebabkan Kampung Parit Baharu merupakan kampung tunangnya yang bakal menjadi isterinya kelak. Di Sekolah Parit Baharu , tidak lama selepas beliau berpindah ke sini, sekolah tersebut tidak mempunyai Guru Besar setelah guru besarnya bersara.  

Jawatan guru besar itu kemudiannya disandang oleh dua orang penolong kanan tersebut sebagai pemangku Guru Besar sebelum akhirnya kedua-duanya pun berpindah. Akibatnya sekolah tersebut tidak lagi mempunyai guru besar. Oleh disebabkan beliau merupakan guru yang lama berkhidmat iaitu sebelum 1957 lagi, beliau dilantik sebagai pemangku guru besar di sekolah tersebut selama 2 tahun . Semasa beliau menjawat jawatan sebagai pemangku guru besar, beliau dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Beliau Kampung Parit Baharu kerana hubungan beliau dengan masyarakat yang sangat baik disamping sifat kepimpinan yang ada pada beliau. 

Dua tahun kemudian beliau dilantik secara rasmi sebagai Guru Besar Sekolah Melayu Parit Baharu setelah beliau menghantar sendiri memohon surat perakuan tersebut daripada Jabatan Pendidikan Negeri.  Beliau juga pernah menceritakan cabaran yang beliau hadapi terutama semasa belajar sendiri untuk menghadapi SRP dan SPM di sana. Termasuklah cabaran menerbitkan sendiri buku yang beliau tulis atau beliau terbitkan hasil karangan penulis lain. 

Dalam memoir ini juga beliau ada menceritakan pengalaman-pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam bidang pengkajian dan penerbitan bahan ilmiah . Antara pengalaman yang menarik yang diceritakan melalui memoir ini ialah pengalaman beliau menemuramah beberapa orang tokoh Komunis, seperti Rasyid Maidin ,Abdullah C.D, Suriani Abdullah dan Abu Samah di Kampung Perdamaian, Selatan Thailand. Pengalaman-pengalaman ini membawa kepada kelahiran salah satu bukunya yang penting bertajuk Gerakan kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan . Buku ini merupakan salah sebuah buku yang sangat penting dalam menerangkan watak di sebalik nama Mohamed Salleh Hamry.

 

 

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)