Sabak Bernam sebenarnya banyak tempat bersejarah yang ada di dalamnya. Tetapi saya lihat tidak ada usaha bersepadu untuk mengangkat aspek sejarah di Sabak Bernam ini. Muzium Sabak Bernam pun tidak menerangkan spesifik tentang Sabak Bernam. Ia lebih kepada pameran peralatan pertanian , penternakan dan sebagainya yang sebenarnya tidak terhad untuk dikaitkan dengan Sabak Bernam .
Saya fikir mungkin disebabkan pihak muzium sendiri kekurangan bahan yang boleh kita angkat dan letakkan di muzium tersebut. Sepanjang pengamatan saya, terlalu sedikit maklumat atau bahan yang rasmi serta bertulis yang boleh dikaitkan dengan Sabak Bernam. Bahkan bahan-bahan ini sangat sulit untuk ditemui di pasaran. Buku-buku yang ada menerangkan tentang sejarah Sabak Bernam pun agak sukar ditemui pada tahun 2023 ini.
Saya mencadangkan supaya ada pihak yang terdiri daripada NGO, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat ataupun pemimpin tempatan yang boleh membantu menggerakkan pendokumentasi sejarah Sabak Bernam. Perlu wujudnya satu pusat pengumpulan bahan-bahan berkaitan sejarah Sabak Bernam seperti artifak, temuramah lisan , bahan bacaan, dokumen rasmi dan tidak rasmi , barangan lama , gambar lama dan sebagainya.
Antara pensejarahan yang saya fikir boleh diangkat di Sabak Bernam ialah :
1) Watak 6 orang sahabat yang membuka Sabak Bernam. Khabarnya masih terdapat makam (atau keramat) yang dikaitkan dengan keenam-enam watak tersebut.
2) Syeikh Ahmad Al Marzuki- ulama pembuka kampung Lubuk Pusing
3) Tok Khalifah
4) Raja Onus, Raja Hitam dan kerabat
5) para pembuka kampung-kampung dan penempatan.
6) sejarah kedatangan peneroka daripada luar.
7) Sejarah Lubok Pusing dan kapal yang tenggelam di dasarnya
8) Kisah-kisah pembukaan kampung-kampung
9) Sejarah Ban Kenal
10) Sejarah tokoh-tokoh era moden Sabak Bernam
11) Sejarah Tokoh-tokoh Tempatan dan pemimpin tempatan
12) Kisah keramat
13) Sejarah masjid-masjid lama di Sabak Bernam
14) Changkat Menteri dan penemuan kewujudan penempatan manusia zaman logam.
15) Sejarah penghijrahan etnik Banjar, Jawa, Bugis , Kedah ke Sabak Bernam.
Kenapa perlunya sejarah ini diangkat ? Untuk menjawab persoalan tersebut, saya boleh senaraikan beberapa jawapan yang para pembaca diberikan kebebasan samaada bersetuju ataupun tidak dengan pandangan saya tersebut. Antaranya ialah :
1) Supaya anak jati Sabak Bernam mengerti sejarah nenek moyang mereka serta sejarah tempatan supaya pengetahuan sejarah ini dapat diperturunkan kepada generasi selepas mereka.
2) Supaya generasi baru Sabak Bernam dapat bersyukur setelah mengertai keperitan dan kesusahan nenek moyang mereka membina kehidupan pada zaman kesusahan dahulu.