PEMUPUKAN KBAT DAN KEMAHIRAN INSANIAH DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH SABAK BERNAM

0

 

    Sumber gambar Harian Metro

 

PENGENALAN

Pendidikan merupakan salah satu kaedah untuk meningkatkan taraf pemikiran rakyat  , ketamadunan bangsa dan juga kemajuan sesebuah negara. Tanpa pendidikan yang menitikberatkan kepada jasmani, emosi, rohani dan intelektual, masyarakat yang lahir daripada sistem itu akan menjadi masyarakat yang pincang dan tidak harmonis pembentukan peribadinya. Daripada sistem pendidikan yang lengkap, lahirnya watak-watak manusia yang mempunyai kemampuan, kehendak dan kekuatan  dalam  membangunkan sesebuah peradaban atau ketamadunan . Rajendren (2010) juga menyokong pernyataan ini dengan  mengaitkan jatuh bangunnya sesebuah negara adalah bermula daripada sistem pendidikan negara tersebut yang berpunca daripada penguasaan ilmu dan kemahiran yang dikuasai oleh penduduk di sesebuah negara tersebut.

Falsafah Pendidikan Negara cukup jelas menyatakan ia memfokuskan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu usaha mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani , emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan (Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1988 ) . Selain daripada itu, Falsafah Pendidikan Negara juga merupakan suatu usaha bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. (Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1988).

Sejarah pelaksanaan KBAT dalam kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia sebenarnya bermula puluhan tahun lalu iaitu  dengan pengenalan terhadap Kemahiran Berfikir (KB) . Kemahiran Berfikir inilah yang diserapkan ke dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Pada tahun 1994 , Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada KBSR dan KBSM . Kemudiannya pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menjalankan kajian semula sistem pendidikan Malaysia yang menyeluruh dalam usaha untuk menghasilkan satu dasar baru pendidikan negara yang akhirnya dinamakan sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Kajian terperinci telah dijalankan selama 15 bulan iaitu bermula dari Oktober 2011 hingga Disember 2012 melibatkan dapatan daripada ramai pihak seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institut Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini dikatakan turut melibatkan pandangan daripada rakyat bawahan yang terdiri daripada pemimpin sekolah , guru, ibu bapa, murid dan orang ramai di seluruh negara. Hasil daripada kajian ini terhasilnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Terdapat perubahan signifikan antara KBKK dengan KBAT. KBKK dirangka dan diperkenalkan dengan hasrat untuk memberi fokus kepada kemahiran yang bersifat kritis dan kreatif ke arah penyelesaian masalah dan membuat keputusan manakala KBAT pula memberikan fokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis ,menilai dan mencipta. Perubahan ini penting untuk dilakukan bagi mendepani perubahan zaman yang menuntut perubahan cara fikir dan perubahan cara kerja rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Selain kepada memfokuskan kepada kemahiran berfikir, Kementerian Pendidikan Malaysia juga memperkenalkan dasar memperkasakan individu melalui Kemahiran Insaniah ataupun soft skil. Kemahiran Insaniah merupakan sebuah penterjemahan individu terhadap apa yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan . Tanpa menguasai Kemahiran Insaniah dalam diri , seseorang individu tidak mampu menjadi warganegara yang berketerampilan, cemerlang dan terdidik. Kemahiran insaniah merupakan kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan  pembelajaran berterusan (Kementerian Pengajian Tinggi 2006).

Terdapat pelbagai aspek yang terangkum dalam Kemahiran Insaniah sebagaimana yang digariskan oleh Aida Zuraina Mir Ahmad Talaat dan Abdul Aziz Ishak   . Kemahiran   insaniah   merangkumi   aspek   kemahiran   berkomunikasi, kemahiran  menyelesaikan  masalah  secara  kritis ,  kemahiran  kerja  berpasukan,  pembelajaran  berterusan  dan  pengurusan  maklumat,  kemahiran  keusahawanan,  etika  dan  moral  profesion, dan  kemahiran  kepimpinan  sangat  penting  bagi  melahirkan  pelajar  yang  bukan  sahaja  bijak inteleknya tetapi kompeten dalam mendepani cabaran akan datang  (Aida Zuraina Mir Ahmad Talaat,  Abdul Aziz Ishak , 2020) .

PERNYATAAN MASALAH

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) merupakan kemahiran yang amat penting untuk diterapkan kepada pelajar seawal usia mereka berada di alam persekolahan . Ini adalah kerana dengan menguasai  kedua -kedua kemahiran ini, pelajar akan mendapat bekalan ilmu kemahiran  sebagai  persiapan menghadapi masa depan yang mencabar. Namun dalam usia penerapan kedua-dua kemahiran ini kepada para pelajar, terdapat satu faktor penting dalam usaha menjayakan misi ini iaitu kemampuan guru, ketua panitia dan pentadbir sekolah itu sendiri.

Tanpa persiapan rapi terhadap kefahaman para guru terhadap KBAT dan KI, dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing menjelang abad ke-21 takkan mampu terlaksana dengan baik. Bahkan ia hanya sekadar cita-cita dan mimpi di siang hari. Oleh sebab itu guru mestila dipersiapkan dengan pelbagai kursus, bahan bacaan dan juga pendekatan yang meningkatkan kemahiran dan kefahaman mereka. Kajian ini dilakukan dalam  usaha untuk mengukur  setinggi mana tahap kefahaman dan pencapaian responden terhadap konsep KBAT dan KI dan apakah cabaran yang terpaksa responden hadapi dalam memastikan KBAT dan KI dapat diaplikasikan dalam kelas dan juga di luar kelas.

OBJEKTIF KAJIAN

Secara umumnya, kajian ini dilaksanakan untuk meninjau tahap kefahaman serta pencapaian Kemahiran Berfikri Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran  Insaniah (KI) dalam kalangan guru, ketua panitia dan pentadbir sekolah di  Daerah Sabak Bernam, Selangor . Objektif kajian ini ialah:

       i.           mengenal pasti tahap kefahaman dan pencapaian Kemahiran  Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kalangan guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam

     ii.           mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh guru, ketua panitia dan pentadbir berkenaan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) semasa proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berlangsung.

 

METODOLOGI

Reka bentuk kajian

Pengkaji menjalankan kajian tinjauan dengan menggunakan soal selidik sebagai instrument kajian. Pemilihan kaedah soal selidik untuk kajian ini adalah kerana peranan soal selidik yang lebih praktikal dan efisien dalam memperoleh realiti lapangan terhadap tahap kefahaman dan pencapaian Kemahiran  Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kalangan guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh guru, ketua panitia dan pentadbir berkenaan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) semasa proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berlangsung.

 

Dari aspek pemprosesan data, borang soal selidik yang digunakan lebih mudah untuk dianalisis, selari pendekatan kuantitatif yang digunakan dan data yang dianalisis dengan sistem statistik SPSS . Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kefahaman dan pencapaian Kemahiran  Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kalangan guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam dan mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh guru, ketua panitia dan pentadbir berkenaan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) semasa proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berlangsung.

 

Pensampelan kajian

 

Sampel kajian terdiri daripada 118 orang yang terdiri daripada guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam . Daripada jumlah tersebut, 60 orang adalah lelaki dan 58 orang  perempuan. Pecahan mengikut umur , kelayakan akademik, tahun pengalaman mengajar, pendedahan berkaitan KBAT dan KI serta jawatan di sekolah  pula ditunjukkan dalam Rajah 1.

 

Instrumen kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan kajian tinjauan sebagai reka bentuk kajian. Data dipungut dengan menggunakan soal selidik lima skala (Sangat lemah, lemah,  sederhana, baik, sangat baik)  dan (Tidak setuju, kurang setuju, agak setuju, setuju, sangat setuju) dengan kaedah  penggunaa Google Forms.

Instrumen kajian, iaitu soal selidik ini terdiri daripada Bahagian A,  Bahagian B dan Bahagian C. Bahagian A terdapat enam item soalan tentang maklumat responden . Bahagian B terdiri daripada Tahap pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah di dalam PdP/ PdPR . Bahagian C pula  Cabaran dalam pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) di dalam PdP/ PdPR. Bahagian B dan Bahagian C  menggunakan Skala Likert yang terdiri daripada lima pilihan yang diubah suai.

Instrumen soal selidik yang digunapakai terdiri daripada 16 item yang mana item-item berkenaan telah dikumpulkan mengikut dua aspek iaitu tahap pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah di dalam PdP/ PdPR  (6 item) dan cabaran dalam pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) di dalam PdP/ PdPR (10 item) .

Analisis dapatan data akan menggunakan statistik deskriptif min dan sisihan piawai mengikut masa sebagaimana tercatat dalam borang soal selidik Bahagian B, iaitu sangat lemah, lemah , sederhana, baik, ataupun sangat baik. Selain itu,  statistik deskriptif  Bahagian C menggunakan perkataan  tidak setuju , kurang setuju, agak setuju, setuju dan sangat setuju.

Tahap kekerapan dapat  digambarkan oleh skor purata min seperti Jadual 1.

JADUAL 1. Skor purata dan interpretasi min

Skor Purata Min

Tafsiran

1.00 – 1.89

Sangat Rendah

1.90 – 2.69

Rendah

2.70 – 3.49

Sederhana

3.50 – 4.29

Tinggi

4.30 – 5.00

Sangat Tinggi

 

 

 

 

DAPATAN KAJIAN

 

JADUAL 2 : Profil Responden

Profil Responden

Kategori (n=118)

Kekerapan (Jumlah)

Peratus (%)

Jantina

 

Lelaki

Perempuan

60

58

50.8

49.2

Umur

 

Kurang 30 tahun

30 hingga 39 tahun

40 hingga 49 tahun

50 tahun dan ke atas

3

19

49

47

2.6

16.1

41.5

39.8

 

Kelayakan akademik

Doktor falsafah

Sarjana

Sarjana Muda

Diploma

 

0

10

98

10

0

8.5

83

8.5

Tahun pengalaman menngajar

 

1- 3 tahun

4- 6 tahun

7-10 tahun

10 tahun dan ke atas

 

1

2

8

107

0.8

1.7

6.8

90.7

Pendedahan berkaitan KBAT dan KI

Ya

Tidak

 

116

2

98.3

1.7

Jawatan di sekolah

Guru akademik biasa

Ketua Panitia

Pentadbir

74

25

19

62.7

21.2

16.1

 

 

Jadual 2 menunjukkan Profil Responden untuk kajian ini . Terdapat 118 orang responden terlibat dalam kajian ini.  Daripada 118 orang responden, bilangan responden lelaki (60, 50.8 %) mendominasi kajian ini  berbanding responden perempuan (58 , 49.2 %) . Umur responden yang menyertai kajian ini majoritinya ialah daripada kategori 40 tahun hingga 49 tahun (49, 41.5%), diikuti kategori 50 tahun ke atas (47 , 39.8%) , kategori 30 hingga 39 tahun (19 , 16.1 %) dan kategori umur kurang 30 tahun (3, 2.6%).

Tiada responden yang mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah . Majoriti daripada responden mempunyai kelayakan akademik sarjana muda (98, 83%) , diikuti oleh sarjana dan diploma yang masing-masing (10, 8.5 %). Manakala untuk tahun pengalaman mengajar, majoriti daripada responden telah mengajar 10 tahun dan ke atas iaitu seramai 107 orang (90.7 %), diikuti oleh 7 hingga 10 tahun mengajar (8, 6.8%) , 4 hingga 6 tahun (2, 1.7%) dan 1 hingga 3 tahun (1, 0.8%).

 

Majoriti besar daripada responden (116 , 98.3%) pernah mendapat pendedahan berkenaan dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) , manakala hanya 2 orang iaitu 1.7% daripada responden tidak pernah mendapat pendedahan berkenaan KBAT dan KI. Responden kajian ini turut terbahagi kepada 3 kategori jawatan iaitu guru akademik biasa, ketua panitia dan pentadbir. Guru akademik biasa mencatatkan bilangan responden yang paling ramai iaitu seramai 74 orang (62.7%) , diikut dengan ketua panitia (25, 21.2%) dan pentadbir (19, 16.1%).

Analisis Deskriptif

 

Soalan kajian 1: Apakah tahap kefahaman dan pencapaian Kemahiran  Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kalangan guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam?

JADUAL 3: Tahap kefahaman dan pencapaian Kemahiran  Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kalangan guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam

 

No.

Tahap Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dan Kemahiran Insaniah Di Dalam PdP/ PdPR

Min

Sisihan Piawai

1.

Mengetahui prinsip yang mendasari Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

3.66

.616

2.

Memahami Konsep KBAT

3.75

.626

3.

Memahami konsep Kemahiran Insaniah (KI)

3.64

.724

4.

Mengetahui penyediaan bahan bantu mengajar berasaskan KBAT

3.55

.674

5.

Memahami kepentingan Kemahiran Insaniah

3.68

.761

6.

Mengetahui cara pembinaan item KBAT dalam pentaksiran

3.55

.711

 

Purata Min

3.63

0.69

 

Kedudukan pertama bagi mengetahui tahap pelaksanaan KBAT dan KI di dalam PdP dan PdPR ialah item 2 iaitu responden memahami konsep KBAT (M 3.75, SP 0.626). Item kedua tertinggi ialah item 5 (M 3.68, SP 0.761) iaitu responden memahami kepentingan Kemahiran Insaniah. Responden  meletakkan item 1 (responden mengetahui prinsip yang mendasari KBAT) sebagai item ketiga terbanyak iaitu dengan Min 3.66 dan Sisihan piawai 0.616 .

Sebaliknya item 4 (responden mengetahui penyediaan bahan bantu mengajar berasaskan KBAT)  dan item 6 (responden mengetahui cara pembinaan item KBAT dalam pentaksiran ) mencatatkan item yang paling rendah tahap pelaksanaan KBAT dan KI di dalam PdP / PdPR iaitu masing-masing (M 3.55, SP 0.674) dan (M 3.55, SP (0.711) . Kemudian diikuti oleh item 3 (responden memahami konsep Kemahiran Insaniah (KI)) yang mencatatkan (M 3.64, SP 0.724)

Kesimpulannya, Jadual 3 menunjukkan tahap kefahaman dan pencapaian yang tertinggi   KBAT dan KI dalam kalangan guru , ketua panitia dan pentadbir sekolah di Daerah Sabak Bernam iaitu dengan  item 2, item 5 dan item 1. Sebaliknya, item dengan tahap kefahaman dan pencapaian yang rendah ialah item 4, item 6 dan item 3. Rumusannya, responden lebih menguasai item yang berkaitan dengan konsep KBAT dan prinsip yang ada di sekitar konsep KBAT, di samping memahami kepentingan Kemahiran Insaniah

 

Soalan kajian 2: Apakah cabaran yang dihadapi oleh guru, ketua panitia dan pentadbir berkenaan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) semasa proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berlangsung.

 

JADUAL 4: Cabaran yang dihadapi oleh guru, ketua panitia dan pentadbir berkenaan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah (KI) semasa proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berlangsung.

 

No.

Cabaran yang dihadapi oleh guru, ketua panitia dan pentadbir berkenaan pelaksanaan KBAT dan KI semasa  PdPC/ PdPR berlangsung

Min

Sisihan Piawai

1.

Guru tidak memahami dengan jelas konsep KBAT

2.51

.985

2.

Guru tidak diberikan kursus atau bengkel berkaitan KBAT

2.40

.980

3.

Guru tidak bersedia untuk melaksanakan KBAT

2.34

.908

4.

Guru tidak memahami dengan jelas konsep Kemahiran Insaniah (KI)

2.69

.931

5.

Murid-murid yang mempunyai Kemahiran Insaniah yang rendah dipupuk supaya lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi.

4.03

.633

6.

Suasana sekolah dan kelas yang kurang kondusif untuk pelaksanaan PdP menggunakan KBAT

3.04

.991

7.

Tiada galakan pelaksanaan KBAT dari pihak sekolah

2.18

.883

8.

Bilangan murid yang ramai dalam setiap kelas memustahilkan penggunaan KBAT

2.88

1.141

9.

Murid tidak bersedia untuk menggunakan KBAT dalam PdP

2.80

1.001

10.

Kemahiran Insaniah (KI) dilihat bukan perkara yang penting

2.19

1.093

 

Purata Min

2.71

0.95

 

Cabaran tertinggi yang dihadapi oleh responden berkenaan cabaran pelaksanaan KBAT dan KI semasa menjalankan  PdPC/ PdPR di sekolah ialah item 5 di mana murid-murid yang mempunyai Kemahiran Insaniah yang rendah dipupuk supaya lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi. Item 5 mencatatkan Min 4.03 dan Sisihan Piawai 0.633. Kedudukan kedua tertinggi ialah item 6 (suasana sekolah dan kelas yang kurang kondusif untuk pelaksanaan PdP menggunakan KBAT) iaitu dengan Min 3.04 (SP 0.991). Kedudukan ketiga tertinggi ialah item 8 (bilangan murid yang ramai dalam setiap kelas memustahilkan penggunaan KBAT) dengan Min 2.88 dan Sisihan Piawai 1.141.

 

Cabaran yang yang paling rendah dihadapi oleh responden ialah item 7 (tiada galakan pelaksanaan KBAT dari pihak sekolah)  iaitu (M 2.18, SP .0883) manakala tempat kedua terendah ialah item 10 (KI dilihat bukan perkara yang penting) dengan (M 2.19, SP 1.093) . Tempat ketiga terendah ialah item 3 (Guru tidak bersedia untuk melaksanakan KBAT) yang mencatatkan Min 2.34  dan Sisihan Piawai 0.908. Secara kesimpulannya , Jadual 4 mencatatkan bilangan yang tertinggi Min pada item 5, 6 dan 8 manakala item 7 , item 10 dan iitem mencatatkan Min yang terendah.

 

PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)  merupakan kemahiran berfikir seperti sintesis, analisis, memberi sebab, kefahaman, aplikasi dan penilaian. Manakala menurut Rhoades et al. (2009) Kemahiran Berfikir Aras Tinggi  ialah kemahiran yang berkaitan dengan penyelesaian masalah dan proses pemikiran kritikal. Antara cabaran dalam abad ke-21 adalah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran pemikiran aras tinggi yang diperolehi melalui pembelajaran yang bermakna yang berlaku dalam pembelajaran sehari-hari . Proses globalisasi merangkumi pelbagai aspek seperti perubahan dalam teknologi, perubahan pasaran ekonomi, perubahan persekitaran dan perubahan dalam politik berlaku setiap masa yang memaksa para pelajar untuk sentiasa berada di hadapan dan bersiap siaga melakukan sebarang perubahan semasa.

 Oleh sebab itu, negara perlukan usaha untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan pelajar supaya dapat mengharungi cabaran dalam abad ke-21 ini. Justeru itu, guru dilihat sebagai insan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan aspirasi ini kerana guru merupakan insan terhampir dengan pelajar dalam menyampaikan ilmu pengetahuan.

Kemahiran insaniah merupakan aspek penting yang perlu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid lebih berdaya saing dengan mengaplikasi kemahiran ini. Justeru, ia perlu diterapkan secara menyeluruh agar potensi mereka dapat digilap sebaiknya. Salah satu cara dalam merangsang perkembangan kemahiran insaniah pelajar adalah melalui pendekatan berpusatkan pelajar.

Melalui pendekatan ini murid-murid diberi ruang dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran mereka di samping mendapat bimbingan daripada guru. Ruang pembelajaran yang diberikan melatih pelajar-pelajar agar lebih berdikari seterusnya mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan. Antara elemen kemahiran insaniah yang boleh diterapkan daripada amalan pengajaran guru ialah aspek kepimpinan pelajar, interaksi dua hala, dan amalan kolaboratif sesama mereka.

Selain itu, bagi memantapkan perjalanan lagi  para pelajar dalam meniti arus gelombang kehidupan, penerapan elemen kemahiran insaniah termasuklah cara berinteraksi di khalayak ramai, cara mengendalikan program, cara berhadapan dengan konflik sewajarnya menjadi keutamaan para guru untuk diterapkan dalam kalangan para pelajar.

 

RUMUSAN

Secara keseluruhannya, berdasarkan kepada dapatan kajian, KBAT dan KI menjadi komponen pembelajaran yang perlu dikuasai dalam kalangan pelajar. Ini adalah kerana KBAT dan KI merupakan kemahiran yang berupaya meningkatkan kemampuan pelajar dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan sama ada dalam bilik darjah mahupun dalam kehidupan seharian. Lebih penting lagi, KBAT menjadi komponen yang perlu diambil serius memandangkan keseluruhan mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengabungjalin kemahiran berfikir pelajar di samping keutamaan para majikan yang mengutamakan Kemahiran Insaniah (KI) yang baik sebagai salah satu pra syarat sebelum diambil bekerja.

Namun di sebalik segala dasar yang ada berkaitan KBAT dan KI ini, terdapat peranan dan tanggungjawab yang sangat besar yang perlu dimainkan oleh pihak sekolah terutama para guru dalam memastikan agenda Pendidikan Negara ini tercapai seiring dengan perubahan zaman abad ke 21. Para guru perlulah dipastikan supaya benar-benar terlatih dan benar-benar menguasai kedua-dua kemahiran ini serta berupaya mengadaptasikannya ke dalam sistem pembelajaran di dalam sekolah dan di luar bilik darjah.

 

RUJUKAN

 

Mohd Syaubari Othman & Ahmad Yunus Kassim . 2018. Tahap Perancangan Pengajaran Menerusi Pengintegrasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Rendah Malaysia. Shah Alam: Universiti Teknologi MARA.

 

Ramli Saadon & Khairi Ariffin . 2018. Pemupukan Pemikiran Aras Tinggi Dalam Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (Pdpc) Bagi Membina Modul Insan Berinovasi Usahawan. Seminar Kebangsaan Transformasi Sosio-Ekonomi Wilayah Utara ke-3.

 

Kamaruddin Ilias, Che Aleha Ladin, Mubin Md Noor, Roshidah Abdul Rahman & Noradzimah  Abdul Majid . 2019. . Pengetahuan Aspek Kemahiran Insaniah Revolusi Industri 4.0 Dalam  Kalangan Pelajar Universiti Malaya Dan Institusi Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Jurnal Penyelidikan Dedikasi Jilid 17. Ipoh: Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.

 

Nor Hamizah bt Ab Razak & Abdul Rashid Aziz@Dorashid . 2020. Perkembangan Sosial dan  Emosi Kanak-Kanak: Kesan Penjarakan Sosial Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Pendekatan Dalam Membantu. Nilai: Universiti Sains & Islam Malaysia.

 

Irwan Fariza Sidik, Mohd Mahzan Awang & Abd Razaq Ahmad . 2020. Keterlibatan Pelajar dan Hubungannya dengan Kemahiran Insaniah. Jurnal Pendidikan Malaysia 45 (1) Isu Khas (2020): 68-74.33

 

Hanita Mohd Yusoff & Norzaini Azman . 2018. Pencapaian Akademik Murid Lelaki dan Perempuan: Peranan Sokongan Pembelajaran dan Keterlibatan Murid. Malaysian Journal of Learning and Instruction: Vol.15(2): 257-287.

 

Mohamed Najib Abdul Ghafar .2016. Prinsip Asas Penilaian Program Pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia.

 

Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) . 2007. Penerapan dan Penilaian Kemahiran Insaniah (Soft Skills): Universiti Malaysia Perlis.

 

Abdul Rahim Hussein . 1996. Memupuk Kemahiran Berfikir: Umida Industries Sdn. Bhd. Skudai, Johor.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia . 2014. Buku Dasar Elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Pedagogi). Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum

 

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)