KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) DAN KEMAHIRAN INSANIAH

0

 


1.0      PENDAHULUAN

Pendidikan merupakan salah satu elemen yang penting dalam pembentukan ketamadunan. Kekuatan dan kemajuan sesebuah negara seringkali diukur dengan tahap penguasaan ilmu dan kemahiran semasa oleh rakyatnya. Sistem pendidikanlah yang diberikan tanggungjawab untuk mengislahkan pemikiran, tingkahlaku dan halatuju masyarakat menuju ke arah sesuatu objektif atau sasaran. Antara ciri-ciri ketamadunan ialah wujud sistem institusi  sosial seperti institusi pendidikan yang teratur dan berkesan.

Natijah kepada sistem  pendidikan yang baik ialah sesebuah masyarakat dapat memajukan diri mereka sendiri  seiring dengan bangsa yang lain yang lebih maju. Tanpa sistem pendidikan yang teratur dan berkesan, nilai-nilai asas dalam sesebuah masyarakat dan negara tidak dapat dijelmakan dengan baik yang akan menyebabkan sesebuah masyarakat tidak dapat menonjolkan potensi diri serta tidak mampu bersaing dengan masyarakat lain yang menjadikan ilmu sebagai paksinya.

Pendidikan adalah sangat penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan bagi memantapkan nilai-nilai murni dalam setiap diri individu. Di samping itu, pendidikan merupakan teras kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Tanpa penekanan terhadap pendidikan, masyarakat umumnya akan hidup dalam kemunduran, tidak mempunyai visi dan misi yang jelas dalam hidup serta tidak mampu membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk. Selaras dengan kepentingannya, maka ianya perlu dijadikan satu agenda penting yang patut dilaksanakan mengikut landasan yang sewajarnya dalam sesebuah negara.

Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Kajian yang mengambil tempoh selama 15 bulan tersebut iaitu bermula dari Oktober 2011 hingga Disember 2012 telah memperoleh banyak dapatan daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini dikatakan turut melibatkan pandangan daripada rakyat bawahan yang terdiri daripada pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh negara. Hasil daripada kajian ini terhasilnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil pelibatan masyarakat dan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. Pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025

1.          Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem;

2.          Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang; dan

3.          Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam

(Kementerian Pendidikan Malaysia 2013)

Pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Insaniah yang digubal dan diselitkan dalam sistem pendidikan negara merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi mendepani perubahan yang berlaku di peringkat global. Jika dahulu , pendekatan pembelajaran sehala iaitu penyampaian ilmu dari guru kepada murid dilakukan secara meluas, kini para guru disarankan untuk menggunakan pendekatan yang lebih berpusatkan kepada murid dan lebih konstruktif. Oleh sebab itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menjadi satu rujukan terbaru pendidikan di Malaysia  dalam mendepani arus pemikiran Abad ke 21 ini.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ialah keupayaan mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penilaian bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, dan mencipta sesuatu yang baru (Kementerian Pendidikan Malaysia 2014). Kemahiran ini merupakan kesinambungan kepada Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) yang dilancarkan pada tahun 1993 dulu. Kemahiran KBAT ini memberi fokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta (Kementerian Pendidikan Malaysia 2014). Melalui pendekatan pembelajaran yang terkini, KBAT ini memberikan penekanan dalam kurikulum, pedagogi, pentaksiran, kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, bina upaya serta sumber.

Kemahiran Insaniah pula merupakan kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh pelajar sekolah. Para pelajar sekolah dapat menjadi insan yang berdaya saing dan mampu melangkah lebih jauh dalam lapangan kehidupan mereka apabila mereka dapat mengaplikasi sepenuhnya kemahiran ini dalam diri dan kehidupan mereka. Kemahiran insaniah yang dibina dan diangkat ke tengah masyarakat ini adalah   berteraskan   Falsafah Pendidikan Negara yang akhirnya  membentuk keseimbangan pembangunan modal insan dalam sistem pendidikan negara.

Selaras dengan itu, penentuan hasil pembelajaran dilaksanakan, taksonomi pembelajaran dan penilaian terhadap keseluruhan aktiviti pengajaran dan pembelajaran difokuskan agar pembentukan modal insan kelas pertama dapat dicapai merangkumi aspek Kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional dan kemahiran kepemimpinan (Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia 2006)

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan lapan elemen Kemahiran Insaniah atau Kemahiran Generik yang perlu diterapkan dan dibangunkan kepada pelajar iaitu ; Kemahiran Komunikasi , kemahiran Menggunakan Teknologi Maklumat, Kemahiran Merancang dan mengelola aktiviti, Kemahiran bekerja dengan orang lain dan dalam kumpulan, Kemahiran menyelesaikan masalah, Kemahiran mengurus, memilih dan menganalisa maklumat, Kemahiran menggunakan idea dan teknik matematik dan Kemahiran memahami budaya. Kemahiran Insaniah inilah yang diharapkan akan melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi yang akan menjadi teras kepada hasrat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

 

 

 

2.0      DEFINISI DAN KONSEP

2.1        Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kbat)

              Mengikut penyelidikan pendidik pertama yang membezakan tahap pemikiran manusia, John Dewey (1933) menggambarkan pemikiran sebagai rangkaian peristiwa yang berurutan yang bergerak daripada refleksi kepada siasatan dan seterusnya kepada proses pemikiran kritis, dan membawa kepada "kesimpulan yang boleh dibuktikan ” oleh lebih daripada sekadar kepercayaan dan gambaran peribadi. Ini bermaksud, proses pemikiran memiliki sistem yang rumit dan bukan sahaja datang daripada apa yang terdapat di depan mata sahaja tetapi ia memerlukan beberapa proses untuk menghasilkan pemikiran yang beraras tinggi. Semakin tinggi aras pemikiran, semakin banyak proses minda yang diperlukan untuk menghasilkan pemikiran tersebut.

              Pada sekitar tahun 1950an, Benjamin Bloom telah menghasilkan taksonomi beliau. Taksonomi ini adalah suatu hierarki enam peringkat perkembangan pemikiran yang menjadi semakin kompleks dan mencabar . Tahap pemikiran boleh digunakan untuk membina soalan yang merentasi semua peringkat persekolahan dan dalam semua bidang pembelajaran. Taksonomi ini boleh digunakan sebagai pengukur perkembangan daya pemikiran manusia daripada yang paling bawah sehinggalah tahap yang paling tinggi.

KBAT adalah berasaskan kepada konsep Taksonomi itu sendiri di mana ia dijadikan sebagai rujukan kepada cara baru dalam menjana idea, kemahiran membuat keputusan secara kritikal dan kritis atau melakukan tindakan yang bertepatan dan bersesuaian, kemahiran mengenalpasti dan mengelaskan maklumat agar ianya menjadi lebih tersusun dan sistematik, kemahiran mengaplikasikan idea serta maklumat yang diperolehi dalam situasi yang memerlukan kita bertindak secara luar jangkaan, kemahiran yang membolehkan seseorang pelajar untuk mengingat kembali maklumat yang telah diperolehi dan menerangkan semula idea ataupun konsep serta menambahbaikkan apa yang dipelajari sekiranya perlu.

Dalam proses KBAT, mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia Bahagian Pembangunan Kokurikulum (2014), kemahiran mengaplikasi, kemahiran menganalisis, kemahiran menilai dan kemahiran mencipta adalah termasuk dalam empat tahap pemikiran yang tinggi yang perlu diberi fokus. Empat tahap pemikiran yang tinggi ini sangatlah sejajar dan mengikuti taksonomi yang diperkenalkan oleh Bloom (1950) iaitu tahap berfikir adalah bermula daripada tahap pemikiran yang paling rendah iaitu mengingat kemudian memahami dan perlahan-lahan meningkat sehingga tahap yang lebih tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan yang tertinggi sekali, mencipta. 

 

Rajah 1 Tahap Kemahiran Berfikir Mengikut 4 Tahap Tertinggi Taksonomi Bloom

 

              Kemahiran berfikir aras tinggi, atau lebih dikenali sebagai Higher Order Thinking Skills (HOTS) di seluruh dunia merupakan salah satu kemahiran yang sangat penting dan sangat ditekankan di seluruh dunia terutama sekali di negara-negara maju yang mempunyai sistem pendidikan yang sistematik seperti Jepun, Singapura, Norway dan banyak lagi. Di serata dunia, dalam bidang pendidikan terutama sekali, guru sangat ditekankan untuk menerapkan budaya KBAT dikalangan pelajar agar dapat melahirkan pelajar yang berdaya saing dan juga mempunyai kemahiran berfikir yang berkualiti dan mantap di masa akan datang agar mereka bersedia untuk menempuh kehidupan selepas belajar.

 

Menurut Rajendran Nagappan (2002) pula, KBAT merupakan kemahiran seseorang dalam memahami, menganalisis dan memanipulasikan maklumat untuk menyelesaikan sesuatu perihal dan masalah dengan menggunakan pendekatan mental dan bukan rutin. Ini bermaksud, dengan mempunyai KBAT, seseorang itu dapat memahami dan menyelesaikan apa jua perkara walaupun serumit mana selagi seseorang itu dapat menganalisis dan memahami asas dan asal permasalahan tersebut dan menambahbaikkan solusi kepada permasalahan.

Hassan (2016) menyatakan bahawa Kemahiran berfikir adalah salah satu aspek utama yang terdapat dalam PPPM dan sangat ditekankan terutama sekali di dalam sistem pendidkan dengan tujuan untuk melahirkan pelajar yang mampu berdaya saing untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan yang terdapat pada abad ke-21. Daripada ini semua, kita dapat melihat bahawa kemahiran berfikir sangatlah penting dalam kehidupan seharian termasuk dalam bidang pendidikan kerana berfikir adalah satu-satunya perkara yang membuatkan kita manusia berbeza sekali daripada kehidupan lain kerana kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang rumit dan mencipta ciptaan-ciptaan baru.

 

2.2        Konsep Dan Definisi Kemahiran Insaniah

Menurut The Oxford English Dictionary (OED), soft skills (Kemahiran Insaniah) adalah atribut peribadi yang membolehkan seseorang untuk berinteraksi dengan berkesan dan harmoni dengan orang sekeliling. Ini bermaksud dengan mempunyai Kemahiran Insaniah yang bagus, seseorang itu dapat berkomunikasi bersama orang dan juga masyarakat sekeliling dengan menggunakan kemahiran berkomunikasi yang sesuai dan dapat memupukkan harmoni dikalangan masyarakat sekeliling.               

Vyner (2018) menyatakan bahawa kemahiran insaniah (soft skills) ini bertindih dengan kemahiran kehidupan (life skills) iaitu kemahiran yang diperlukan untuk mengambil bahagian secara penuh dan berjaya dalam kehidupan seharian. Ini bermaksud Kemahiran Insaniah ini sangat berhubung kait dan boleh dijadikan sebahagian daripada kemahiran kehidupan agar seseorang itu dapat bersosial di dalam kehidupan harian secara aman dan juga harmoni.

Tanpa Kemahiran Insaniah, maka akan wujud lebih banyak perselisihan faham dan ini akhirnya boleh menyebabkan pertelingkahan sesama manusia kerap berlaku dan suasana sesuatu tempat menjadi tidak harmoni. Kemahiran Insaniah bukanlah kemahiran yang sedia ada sejak daripada lahir tetapi ia adalah kemahiran yang boleh dilatih dan dipupuk di dalam kehidupan.

Menurut Kearns (2001), Kemahiran Insaniah ini adalah merupakan transferable skills iaitu kemahiran boleh pindah dan perlu diaplikasikan sebagai subjek pengajian semasa proses pembelajaran dan pengajian di mana institusi pengajian seperti di sekolah dan IPTA/IPTS. Ini bermaksud Kemahiran Insaniah ini adalah satu kemahiran yang boleh dipindahkan daripada seseorang individu kepada individu yang lain melalui pemerhatian dan pembelajaran. Pada era modenisasi ini, kemahiran ini sangatlah diperlukan untuk melahirkan sikap profesionalisme dalam kalangan pelajar  orang-orang yang bekerja dan ini juga dapat meningkatkan produktiviti dalam tempat kerja serta tempat belajar.

Menurut Pua Poh Keong (2014), Kemahiran Insaniah ini merupakan kemahiran generik dan ia merupakan penguasaan pelajar yang bukan bersifat akademik tetapi lebih tertumpu kepada untuk meningkatkan keterampilan seseorang, kemahiran bersosial dan juga pembangunan diri seseorang pelajar. Ini bermaksud sesiapa sahaja boleh mempelajari Kemahiran Insaniah ini kerana ia tidak dihadkan semasa di sekolah sahaja, malah ia juga boleh diaplikasikan di dalam kehidupan seharian untuk menjadikan seseorang itu bukan sahaja pelajar yang berkualiti tinggi, tetapi juga seorang insan yang mempunyai keterampilan dan karisma yang tinggi di dalam masyarakat. Kemahiran Insaniah ini sangat penting untuk seseorang itu berjaya di dalam semua aspek seperti bidang pelajaran dan juga di dalam bidang pekerjaan.

Kemahiran Insaniah adalah aspek yang perlu ditekankan semasa pengajaran dan pembelajaran dan ianya tidak boleh dipandang ringan. Untuk menjadi pelajar yang berkompetensi dan berdaya saing tinggi, Kemahiran Insaniah adalah kemahiran yang perlu diaplikasikan (Alias, 2018). Pelajar sangat memerlukan kemahiran ini untuk menjadi seorang pelajar yang berkualiti serta matang dalam menuntut ilmu kerana ia adalah kemahiran yang bukan sahaja digunakan sewaktu belajar, tetapi ia adalah kemahiran yang boleh juga digunakan di dalam kehidupan seharian dan situasi-situasi yang lain.

Oleh itu, tidak hairan jika seseorang individu itu dapat dilihat mempunyai sifat profesionalisme dan berkarisma serta mempunyai cara berkomunikasi yang efisien dan matang. Ini adalah kerana seseorang itu mempunyai Kemahiran Insaniah yang tinggi dan ini menjadikan Kemahiran Insaniah salah satu aspek yang penting dalam kehidupan.

 

3.0 PEMUPUKAN KBAT DAN KEMAHIRAN INSANIAH DALAM KALANGAN   MURID.

3.1        Teori Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013) telah menggariskan enam aspirasi murid yang menjadi ciri utama bagi kebolehsaingan murid pada peringkat global. Aspirasi yang kedua dinyatakan ialah kemahiran berfikir. Penerapan KBAT dalam pendidikan di Malaysia merangkumi tujuh elemen KBAT yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pentaksiran, pedagogi dan empat elemen sokongan iaitu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya (KPM, 2014). Kesemua tujuh elemen ini mempunyai kaedah-kaedah dan panduan penerapan nilai KBAT yang telah disusun oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi , KBAT merupakan salah satu kemahiran berfikir yang ditekankan dalam aspirasi kedua daripada enam aspirasi murid. Kementerian Pendidikan Malaysia juga mengukur aras pemikiran murid berpandukan Taksonomi Bloom semakan Anderson dalam kurikulum pendidikan di Malaysia (KPM, 2014). Terdapat enam peringkat aras pemikiran dalam Taksanomi Bloom semakan Anderson iaitu mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan antara Taksanomi Bloom semakan Anderson dengan Taksanomi Bloom asal yang disusun oleh Benjamin Bloom (Rajah 1.0). 

 

Rajah 1.0  Perbandingan Taksonomi Bloom yang asal dengan  Taksanomi

                 Bloom semakan Anderson.

Benjamin Bloom (1965) mengkategorikan aras pemikiran kepada pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Perbezaan ini dapat dilihat pada dua aras pemikiran yang tertinggi. Kemahiran berfikir aras tinggi merujuk kepada empat aras pemikiran yang teratas dalam Taksanomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Manakala aras memahami dan mengingati merupakan kemahiran berfikir aras rendah.   

Terdapat beberapa panduan dan taksonomi pemikiran aras tinggi yang lain seperti taksonomi yang dikemukakan oleh Steefen Saifer (2018) yang membahagikan aras kemahiran berfikir kepada tiga bahagian yang berbeza. Begitu juga dengan Krulik,  Rudnick,  &  Milou membahagikan kemahiran berfikir kepada empat iaitu mengingat, pemikiran asas, pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. (As’ari et al., 2019, Yayuk dan Sumaji, 2020). Maka, Taksonomi Bloom dilihat sebagai satu alat yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Perincian setiap hierarki dalam Taksonomi Bloom menunjukkan proses yang berbeza bagi setiap aras seperti berikut :

3.1.1 Mengingat atau kata dasarnya ingat bermaksud masih dalam fikiran atau tidak lupa (Kamus Dewan Edisi keempat). Steffen (2018) pula menyifatkan mengingat sebagai ‘calling to mind the memorized information’. Pelajar mengetahui tentang sesuatu seterusnya menyimpan maklumat tersebut sebelum mengeluarkan semula maklumat dan menzahirkannya masa ada secara verbal atau penulisan.

3.1.2 Memahami menurut Kratwohl (2002) ialah menentukan maksud mesej, lisan, penulisan, dan komunikasi secara grafik. Pelajar bukan sahaja perlu tahu sesuatu maklumat yang diterima tetapi juga boleh menerangkan atau menyampaikan semula maklumat dengan berkesan.

3.1.3 Mengaplikasi ditafsirkan sebagai melaksanakan atau menjalankan sesuatu menggunakan prosedur yang difahami dalam situasi yang relevan (Krathwohl, 2002)

3.1.4 Menganalisis didefinisikan sebagai proses menghuraikan maklumat secara terperinci atau secara mendalam (Kamus Dewan edisi Keempat). Menganalisis juga ditafsirkan sebagai pemeriksaan mendalam tentang sesuatu kejadian, konsep, teori, penulisan atau hasil seni untuk tujuan memahami dengan lebih mendalam (Steffen, 2018). Menurut Anderson et.al (2001), menganalisis merupakan kebolehan manusia untuk membahagikan maklumat mengikut kategori dan kemudian membuat bandingbeza, pengorganisasian dan mengatribusi kelompok maklumat tersebut antara satu sama lain.

3.1.5 Menilai yang merupakan tingkat kelima dalam hierarki aras pemikiran Taksonomi Bloom memerlukan murid untuk menyemak semula dan membuat kritikan terhadap informasi yang diperoleh (Karthwohl, 2002).

3.1.6 Mencipta disifatkan sebagai menghimpunkan elemen-elemen untuk membentuk produk yang baharu dan asli(Anderson,2001). Proses ini melibatkan penjanaan, perancangan dan penghasilan sesuatu produk yang baharu.

Untuk menerapkan KBAT dengan berkesan, pendidik bukan sahaja perlu memahami kandungan ilmu yang hendak disampaikan malah perlu memikirkan laluan untuk menghubungkan kefahaman guru terhadap ilmu yang disampaikan dengan kefahaman murid terhadap ilmu yang diterima (Muhd Nurul Azmi et. al, 2017). Guru-guru perlu menggunakan pelbagai bahan ransangan, penyoalan dan pendekatan dalam pelbagai aras pemikiran mengikut Taksanomi Bloom untuk membina aras pemikiran pelajar bermula daripada aras yang rendah iaitu mengingat sehinggalah ke aras yang paling tinggi dalam hierarki Taksonomi Bloom iaitu mencipta.

Penggunaan taksonomi ini membolehkan para pendidik untuk mengukur tahap aras pengajaran dan pembeajaran mereka dengan lebih jelas (Irwan Fariza et.al 2019; Muhammad Sidek et. al. 2012). Transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan konsep KBAT bagi melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran kritikal (Nur & Faridah, 2017). Maka pemupukan KBAT dalam kalangan pelajar perlu dilaksanakan secara menyeluruh meliputi pelbagai aspek termasuklah kaedah, teknik, bahan bantu, pengetahuan guru dan sokongan pentadbir.

3.2        Teori Kemahiran Insaniah

Modal insan yang hendak dibentuk dalam kalangan murid bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi malah mempunyai kemahiran insaniah yang kompeten. Manmohan (2017) secara teorinya telah membahagikan kemahiran insaniah kepada dua bahagian kemahiran yang utama iaitu kemahiran berfikir dan kemahiran bersosial. Shakir (2009) pula membahagikan kemahiran insaniah kepada tiga kategori yang utama iaitu atribut kendiri, kemahiran interpersonal, dan kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Kemahiran insaniah merupakan gabungan beberapa kemahiran yang melibatkan keupayaan kognitif, sosial dan emosi manusia.

Di Malaysia, penumpuan pemupukan kemahiran insaniah ini dapat dilihat secara langsung dalam Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan di Malaysia setanding negara-negara maju, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2006) telah menyenaraikan 7 elemen dalam kemahiran insaniah iaitu ;

a)     Kemahiran berkomunikasi

b)     Kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah

c)      Kemahiran kerja berpasukan

d)     Pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat

e)     Kemahiran keusahawanan

f)       Moral dan etika profesionalisme

g)     Kemahiran memimpin

Ketujuh-tujuh kemahiran ini perlu dikuasi oleh pelajar bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global. Kementerian Pengajian Tinggi (2006) telah mencadangkan model untuk mengimplementasikan kemahiran insaniah di institusi pengajian tinggi di Malaysia. ( Rajah 2.0).



.


Model dan elemen yang disusun ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan lepasan institusi pengajian tinggi awam di Malaysia supaya mampu bersaing dalam keadaan global yang rancak berkembang dan berubah dari masa ke masa. Kemahiran Insaniah ini membolehkan modal insan yang dilahirkan bersifat fleksibel dan boleh mengadaptasi diri dengan cabaran dan persekitaran. Berikut merupakan perincian ketujuh-tujuh elemen yang gariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (2006) :

3.2.1    Kemahiran Komunikasi

Komunikasi merujuk Kamus Dewan edisi keempat adalah perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan. Ruhet Grenc (2017) menyifatkan komunikasi sebagai proses dua hala melibatkan penerima dan penyampai dalam masa yang sama. Siti Halijah dan Mohd Faizal (2018), berpendapat kemahiran komunikasi tidak boleh dikuasai dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan aktiviti berterusan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran pelajar.

 

 

3.2.2    Kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah

Pemikiran kritis sering dikaitkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi. Pemikiran kritis lebih menyeluruh berbanding pemikiran aras tinggi dari sudut penglibatan unsur kognitif dan afektif dalam proses berfikir (Nursafra, 2017). Baker, (2020) meletakkan pemikiran kritis sebagai tahap keupayaan manusia untuk menganalisis dan mengevaluasi maklumat berkaitan seterusny menilai tanpa mempunyai nilai bias.  Penyelesaian masalah memerlukan pemikiran yang kritis dan kreatif. Kebolehan manusia untuk membuat pertimbangan, analisis dan penilaian tanpa prejudis membolehkan satu masalah dapat diteliti dengan baik seterusnya diselesaikan dengan mudah.

3.2.3    Kemahiran kerja berpasukan

Kemahiran kerja berpasukan sangat penting dan diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Kerja berpasukan merujuk kepada individu yang bekerja dalam satu kumpulan dan menjalankan tugas secara berganding bahu bagi mencapai matlamat pasukan (Siti Halijah dan Mohd Faizal, 2018). Kemahiran kerja berpasukan yang baik akan menjadikan bebanan tugas menjadi mudah dan dapat dijayakan dalam masa yang lebih singkat (Noor Afzaliza dan Maizatul, 2021). Secara tidak langsung, kualiti hasil kerja juga akan meningkat.

3.2.4    Pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat

Pembelajaran sepanjang hayat ialah pendidikan secara formal mahupun tidak formal yang diterima untuk menambah nilai atau ilmu individu melalui pelbagai saluran. Malaysia memilih pembelajaran sepanjang hayat sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan kualiti modal insan yang dilahirkan di Malaysia (Hazwani dan Nor Aushah, 2018).

Setiap daripada kita ialah tempat penyimpanan maklumat yang diperoleh daripada proses pendidikan formal, pengalaman, interaksi bersama orang sekeliling, perlakuan dan sebagainya (Namita Jain dan Vikas Gupta,2019). Namun, setiap individu perlu tahu cara untuk menguruskan maklumat dengan betul. Kemahiran mengkategori, menilai dan menanalisis sangat penting dalam menguruskan maklumat yang diperoleh.

3.2.5    Kemahiran Keusahawanan

Terma keusahawanan berasal daripada perkataan usahawan yang bermaksud orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Kemahiran pula ditafsirkan sebagai kecekapan atau kepandaian (Kamus Dewan Edisi Keempat). Kemahiran keusahawanan boleh ditafsirkan sebagai kecekapan yang perlu dikuasai oleh pengusaha supaya dapat menjalankan perusahaan dengan baik.

Nor Hazwan dan Sheerad Sahid (2020) menyatakan bahawa aspek keusahawanan merupakan antara ciri penting yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup seseorang. Pelajar lepasan universiti pula akan sukar untuk mendapatkan pekerjaan sekiranya tidak menguasai kemahiran ini (Lang dan Liu, 2017). Kemahiran ini perlu dikuasi oleh pelajar kerana kemahiran ini dilihat bukan sahaja digunakan dalam perusahaan malah dalam kehidupan seharian.

3.2.6    Moral dan etika profesionalisme

Menurut Kamus Dewan, moral ialah ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan manakala etika ialah ilmu berkaitan prinsip-prinsip akhlak. Etika menjadi nilai bagi sesuatu pegangan. Profesionalisme pula ialah sifat-sifat yang merujuk kepada kemempuan, kemahiran dan cara melaksanakan sesuatu sewajarnya oleh seorang mahir dalam sesuatu bidang. Setiap individu perlu arif tentang etika dalam bidang masing-masing dan mematuhi etika-etika tersebut.

3.2.7    Kemahiran memimpin

Kemahiran memimpin sering dibahaskan dalam pelbagai lapangan. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan memimpin sebagai mengepalai atau mengepalai serta mengendalikan sesuatu pertubuhan, organisasi dan lain-lain. Maxwell (2018) menyamakan kepemimpinan sebagai pengaruh; sekiranya individu mempunyai pengikut, individu tersebut ialah pemimpin. Matlamat dalam memimpin pula adalah membuatkan pengikut melakukan apa yang sepatutnya dilakukan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan (Willink, 2020). Kemahiran memimpin penting untuk membolehkan sesuatu perancangan, projek malah organisasi dapat berjalan dengan baik dan mencapai visi yang telah ditetapkan. 

3.3        Hubungan KBAT dengan Kemahiran Insaniah

Terdapat persamaan  antara elemen dalam KBAT dan kemahiran insaniah. Salah satu elemen dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah. Kemahiran ini boleh dicapai dengan pemupukan KBAT secara terancang semasa pengajaran dan pembelajaran. KBAT dan kemahiran insaniah perlu bergerak seiring bagi merealisasikan matlamat dalam falsafah pendidikan iaitu membentuk modal insan yang seimbang dan boleh bersaing di peringkat global.

Walau bagaimanapun, tahap dan keupayaan kemahiran berfikir aras tinggi tidak boleh menjadi kayu ukur tahap kemahiran insaniah individu. Kemahiran insaniah dilihat lebih menyeluruh meliputi bukan sahaja kognitif, malah mementingkan sosial. Hal ini berbeza dengan kemahiran berfikir aras tinggi yang memfokuskan keupayaan pemikiran tapa melibatkan emosi dan sosial. Namun kedua-dua kemahiran ini perlu bergerak seiring agar modal insan yang cemerlang dapat dihasilkan dalam kalangan pelajar.

4.0       ISU-ISU BERKAITAN PEMUPUKAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) DAN KEMAHIRAN INSANIAH (KI) DALAM KALANGAN PELAJAR

Pada era globalisasi masa kini, sektor pekerjaan bukan sahaja memerlukan segulung ijazah atau diploma mahupun sijil, akan tetapi kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional, kemahiran kepimpinan serta kemahiran berfikir aras tinggi juga perlu diambil kira. Kemahiran ini seharusnya digabungkan dalam pelbagai program dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (termasuklah elemen kurikulum dan kokurikulum).

4.1        Isu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Isu yang perlu dipandang berat adalah proses pengajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) yang melibatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kbat) di sekolah. Proses ini adalah melibatkan perlaksanaan pengajaran guru di sekolah melalui pengubahsuaian melibatkan komponen keupayaan kurikulum, pembentukan budaya sekolah, penambahbaikan pengetahuan guru dan tahap kemampuan pelajar mengaplikasi setiap isi kandungan pembelajaran yang diperolehi agar matlamat pengenalan PdP berorientasikan KBAT dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seterusnya membentuk penghayatan akidah yang mantap di kalangan pelajar.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan, guru yang yang melaksanakan pengajaran yang yang mengandungi pedagogi berdasarkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) berupaya meningkatkan kefahaman dan perubahan di dalam amalan perlakuan pelajarnya. Anderson dan Krathwohl (2001) memberi penekanan terhadap objektif pengajaran membina keupayaan pelajar untuk mencapai KBAT. Beliau menekankan “In life objectives help us to focus our attention and our efforts, they indicate what we want to accomplish. In education, objectives indicate what we want students to learn.” Oleh itu dalam usaha mencapai KBAT dalam kalangan pelajar bukanlah suatu yang mudah kerana guru hanya menggunakan slogan KBAT dan tidak membuktikan apa yang telah dicapai oleh pelajarnya dalam konteks KBAT mengikut subjeknya

Terdapat penyelidikan terhadap perlaksanan KBAT di sekolah menengah mendapati pengembangan kemahiran berfikir dalam pengajaran pemahaman bacaan tidak dijalankan sepenuhnya. Ini kerana guru tidak memberi penekanan yang sewajarnya ke arah pengembangan kemahiran berfikir dalam pengajaran. Alasan yang sering dilontarkan ialah tiada alat bantu mengajar, tidak cukup masa apatah lagi untuk mengembangkan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan semua ini membebankan guru.

 

Sehubungan dengan itu, beberapa kursus untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sudahpun dijalankan di peringkat KPM, JPN dan PPD namun isu pengembangannya dalam bilik darjah masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Sesungguhnya pengembangan kemahiran berfikir dalam pengajaran pernah didedahkan pada suatu masa dahulu dan juga melalui in house training di sekolah-sekolah, namun perkara ini memang menjadi hasrat dan harapan guru-guru supaya Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menghasilkan sebuah modul untuk dijadikan panduan bagaimana untuk mengembangkan kemahiran berfikir dalam pengajaran di bilik darjah menjadi kenyataan.

 

4.2        Isu Kemahiran Insaniah (KI)

Kebelakangan ini, Kemahiran Insaniah (Soft skills) dalam kalangan pelajar bukan lagi menjadi isu baru. Malah ia sudahpun menjadi isu global. Dalam kajian Kamarul Md Shah, Farah Mukhtar, Hasnah Abdullah, Manoriza Abdul malek dan Zainariah Moh Shukur (2017) mengatakan bahawa kemahiran pengajaran dan pengetahuan dalam bidang pendidikan sahaja tidak mencukupi, tetapi mereka perlu menguasai setiap komponen dalam Kemahiran Insaniah. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan telah menjadikan elemen Kemahiran Insaniah semakin diperlukan.

 

Tidak dapat dinafikan, bilangan pelajar yang yang ramai dalam satu kelas merupakan salah satu isu yang perlu dipertimbangkan. Cabaran yang perlu ditangani dalam perlaksanaan Kemahiran Insaniah adalah bilangan pelajar terlalu ramai di dalam sebuah bilik darjah menyebabkan guru tidak dapat menerapkan dan membina kemahiran insaniah kepada pelajar.

 

Berdasarkan kajian Mohammad Aziz Asha bin Mohamed Arip, Fauziah binti Mohd Sa’ad, Norhidayah binti Jaafar (2018), persekitaran sekolah adalah penting untuk memastikan guru boleh memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada semua pelajar. Disebabkan bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam satu bilik darjah, guru yang mengajar kadang kala tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada semua pelajar, maka unsur penerapan Kemahiran Insaniah ini kepada pelajar juga tidak dapat dijalankan. Sebagai contoh, melaksanakan aktiviti kumpulan. Penerapan dan pembinaan Kemahiran Insaniah kepada pelajar memerlukan masa yang sesuai.

 

Keterlibatan pelajar juga merupakan aspek pembelajaran yang perlu diberi perhatian oleh guru dan pengurusan sekolah untuk perkembangan diri pelajar. Pelajar akaan melibatkan diri secara aktif menerusi aktiviti pembelajaran sama ada di dalam atau di luar bilik darjah (Hanita et al. 2018). Keterlibatan pelajar mempunyai kaitan dengan Kemahiran Insaniah dalam pembangunan diri pelajar. Pelajar seharusnya dilengkapi dengan kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran dalam menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, berinisiatif, beretika dan disemaikan budaya belajar sepanjang hayat. Namun disebabkan permasalahan pandemik menyebabkan keterlibatan pelajar menjadi terhad dan Kemahiran Insaniah sukar untuk diterap.

5.0      IMPLIKASI TERHADAP PEMUPUKAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) DAN KEMAHIRAN INSANIAH (KI) DALAM KALANGAN PELAJAR

Salah satu daripada matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Namun matlamat masih belum tercapai sepenuhnya maka pelbagai pendekatan terlah diperkenalkan untuk menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke-21 (Mohd Syaubari & Ahmad Yunus 2017).

Justeru itu, pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT ) dan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kalangan pelajar adalah langkah terbaik bagi mencapai matlamat tersebut. Apabila pelajar berjaya menguasai KBAT dan KI, mereka akan berupaya untuk menunjukkan daya saing yang tinggi di peringkat global. Mereka akan lebih berani untuk tampil ke hadapan untuk melontarkan pandangan dengan berhemah. Pemupukan kedua-dua kemahiran ini akan membantu para pelajar untuk berani mencuba dan mencipta perkara baharu dan sekaligus melahirkan generasi yang inovatif dan berketrampilan tinggi. Hal ini selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menfokuskan ke arah dasar sumber manusia negara, di mana ia mengalakkan pemerkasaan ekonomi yang meliputi pelbagai sumber dan bidang baharu.

              Selain itu, kemajuan sesebuah negara bukan sahaja dilihat daripada segi pembangunan sosio ekonomi, politik dan sahsiah tetapi aspek yang paling penting dalam menentukan kualiti taraf hidup sesebuah negara adalah melalui sistem pendidikan negara (Abdul Halim 2020). Oleh itu, penyempaian KBAT dan KI dalam Pengajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) akan meningkatkan prestasi sistem pendidikan di negara kita.

Antara konsep KBAT dan KI adalah menghasilkan pelajar yang berupaya untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan ketika menyelesaikan atau menghadapi sesuatu permasalahan. Bagi memenuhi kriteria tersebut, para pendidik akan menyediakan dan melaksanakan Pdpc yang berupaya mendorong pelajar untuk berfikir dan bertindak di luar kotak. Tuan Rahayu (2018) mengatakan bahawa guru-guru diharapkan dapat mencipta suasana pembelajaran yang lebih kondusif menggunakan KBAT dalam bilik darjah untuk menarik minat mereka terhadap pembelajaran.

Semasa proses merangka, melaksanakan dan meningkatkan bahan-bahan mengajar ini, secara tidak langsung kita sedang membaikpulih dan meningkatkan sistem pendidikan negara. Semua pihak yang terlibat, guru mahupuan pelajar akan berusaha untuk memperbaiki diri sehingga mereka memperoleh hasil yang terbaik. Impaknya, dalam tidak sedar kita sedang membangunkan sistem pendidikan kita agar setaraf dengan pendidikan bertaraf dunia. Tidak dinafikan, pada masa akan datang kita dapat bertanding di peringkat global secara sama rata tanpa sebarang masalah.

              Seterusnya, melalui pemupukan ini juga, kita akan dapat melahirkan generasi emosi dan kognitif yang seimbang. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (2019)

“…mendapati tingkahlaku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13-17 tahun menunjukkan peningkatan tren iaitu prevalen idea bunuh diri adalah 10% pada tahun 2017 berbanding 7.9% pada atahun 2012. Kajian yang sama juga mendapati prevalen kemurungan adalah 18.3% di mana 1 daripada 5 remaja mengalami gejala kemurungan, 2 daripada 5 mengalami keresahan dan 1 daripad 10 mengalami stres”.

Berdasarkan laporan tersebut, kita dapat menganalisis bahawa sebahagian pelajar di Malaysia menghadapi krisis kesihatan mental. Hal ini kerana, mereka tidak  menguasai kemahiran penyelesaian masalah dengan baiknya. Stres akademik merupakan polemik yang makin hangat dibincangkan dalam kalangan ibu bapa dan guru. Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan stres akademik untuk berlaku.

Sekiranya stress akademik ini tidak ditangani, keadaan ini akan menyebabkan murid mengalami masalah mental yang serius (Andang Andaiyani Ahmad & Abdul Said 2020). Walaupun mereka cemerlang dari segi akademik, namun mereka terbukti mempunya toleransi yang rendah terhadap tekanan semasa ataupun stress. Apabila mereka menghadapi rintangan, mereka mengalami kesulitan untuk mengatasinya kerana mereka tidak berupaya untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dengan kadar segera.

 

Isu ini akan dapat diatasi dengan pemupukan KBAT dan KI dalam kalangan pelajar.  Bagi remaja cemerlang yang memiliki kemahiran komunikasi dan penyelesaian konflik, mereka boleh menggunakan kelebihan ini untuk mengelakkan diri daripada stres (Noor Izzati Mohd Zawawi et. al 2020). Kesimpulannya, kedua-dua kemahiran ini akan dapat mengajar para pelajar untuk meningkatkan pemikiran mereka sekaligus membantu mereka dalam mengatasi cabaran hidup dari pelbagai perspektif.

              Akhir sekali, kegagalan untuk menghasilkan sumber tenaga yang mampu untuk bersaing di pasaran sebenar alam pekerjaan akan memberi kesan yang teruk kepada pembangunan ekonomi negara. Oleh itu, perkembangan kognitif dan komunikasi perlu diterapkan dalam diri generasi muda. Pendapat ini disokong oleh Kamaruddin Ilias dan Che Aleha Ladin (2018), yang menyatakan bahawa pelajar yang berdaya saing, berilmu pengetahuan dan berkemahiran menjadi agenda utama sistem pendidikan negara supaya dapat menyumbang kepada tenaga kerja yanga mahir.

Salah satu elemen di dalam KI ialah kemahiran keusahawanan dan kemahiran kepimpinan yang akan dapat membangunkan keperibadian seorang pemimpin dalam diri pelajar. Walaubagaimanapun, Sharifah Azizah Syed Sahil (2018) menegaskan bahawa Kemahiran Insaniah atau kadangkala disebut sebagai kemahiran generik merupakan satu kemahiran yang sukar dilatih atau diajari tetapi sangat diperlukan dalam alam pekerjaan. Maka, amatlah penting untuk kemahiran ini diterapkan sejak dari sekolah rendah lagi. Pembelajaran adalah proses berterusan yang bermula dari usia muda hinggalah ke hembusan terakhir.

6.0      CABARAN PEMUPUKAN KBAT DAN KEMAHIRAN INSANIAH DALAM PELAJAR SEKOLAH.

 

6.1        Cabaran Pemupukan KBAT

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mendepani Cabaran Pendidikan Abad ke 21.  Penerapan dan pengintegrasian KBAT dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) di dalam bilik darjah merupakan antara fokus utama yang digariskan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) . Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2013)  ,pendidikan memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, proses pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah menjadi penentu utama kejayaan masa depan negara (Kementerian Pendidikan Malaysia 2013)

Dalam usaha untuk melaksanakan KBAT dalam bilik darjah , terdapat beberapa cabaran utama yang diambil kira iaitu

1) cabaran dari aspek guru,

2) cabaran dari aspek murid,

3) cabaran dari aspek sekolah / bilik darjah

Aspek guru merujuk kepada tahap pengetahuan guru ,kemahiran pedagogi dan amalan guru terhadap pelaksanaan KBAT. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kompetensi guru dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap guru dalam pelaksanaan KBAT di sekolah kebangsaan daerah Sepang adalah masih di tahap sederhana (Norfariza Binti Mohd Radzi , Nur Fadhillah binti Muzammil 2018)

Pelaksanaan KBAT dalam PdPc abad ke 21 amat bergantung kepada kesediaan guru. Hal demikian penting, sebab guru merupakan individu yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk murid-murid. Peranan dan tanggungjawab guru adalah tonggak dalam menjayakan pelaksanaan KBAT dalam PdPc abad ke 21 (Bernard Tahim Bael , Suppiah Nachiappan Maslinda Pungut , 2021)

Sebahagian daripada guru kurang bersedia menerapkan elemen-elemen KBAT dalam proses PdP disebabkan kekurangan pendedahan tentang kaedah pengajaran dan pedagogi KBAT  (Wan Nor Shairah Sharuji dan Norazah Mohd Nordin 2017)

Pernyataan itu turut disokong melalui kajian yang dilakukan oleh Farah Aziana Abdul Aziz & Fadzilah Abd Rahman pada tahun 2018 yang menyatakan bahawa kebanyakan guru masih belum bersedia melaksanakan KBAT dalam pengajaran disebabkan kurangnya pendedahan tentang cara menerapkan elemen-elemen KBAT dalam proses PdPc dan tambahan pula guru dibebani dengan pelbagai tugas lain yang menghalang mereka untuk melaksanakan proses PdPc dengan baik berasaskan KBAT .

Selain daripada aspek guru, aspek murid juga menjadi salah satu cabaran dalam pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam kalangan pelajar sekolah. Cabaran tersebut adalah masalah dalam melaksanakan KBAT dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan murid-murid yang berbeza tahap seperti tahap sederhana dan rendah sebagaimana yang dinyatakan dalam kajian di bawah.

 

“....Masalah untuk menggerakkan murid agar berfikir dan aplikasi ilmu yang dipelajari dalam kehidupan harian khususnya aras sederhana dan rendah....”

“...masalah untuk melaksanakan KBAT terutama pelajar sederhana dan lemah...”“...

Pelajar lemah tidak dapat menjawab dengan baik..

”Selain itu, masalah turut dihadapi oleh guru dalam menjalankan penilaian KBAT.

Kekangan ini dijelaskan seperti berikut“...

Sukar menilai jawapan pelajar serta sistem pemarkahan yang tinggi..

 (Norasmahani Hj Nor,Nur Sofiah Suhaimi Nur Syamira Abdul Wahab,Mohd Khushairi Che IsmailMohd Aderi Che Nohdan Khadijah Abdul Raza , 2015)

Kepelbagaian tahap kefahaman dan pemikiran pelajar-pelajar  di dalam satu kelas itu menyebabkan aktiviti berunsur KBAT tidak dapat dilakukan secara serentak kerana apabila sesuatu aktiviti KBAT itu dilakukan serentak , ia akan menyebabkan sebahagian daripada objektif pembelajaran yang telah digariskan tidak dapat dicapai .

Objektif pembelajaran itu tidak dapat dicapai kerana ada sebahagian pelajar tidak mampu memahami dengan baik persoalan KBAT yang diutarakan oleh guru. Aktiviti KBAT juga terpaksa disesuaikan dengan tahap kefahaman dan pemikiran dengan pelajar yang ada.

Selain daripada aspek guru dan murid itu sendiri, aspek kelengkapan di sekolah mahupun bilik darjah turut menjadi cabaran dalam pemupukan KBAT dalam kalangan pelajar sekolah. Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Norfariza Binti Mohd Radzi , Nur Fadhillah binti Muzammil (2018) bahawa kemudahan dan kelengkapan proses P&P yang bersesuaian mestilah disediakan kepada guru-guru  .

Saiz kelas yang besar turut menjadi cabaran kepada pemupukan KBAT dalam kalangan pelajar sekolah. Hasil kajian yang telah dijalankan menujukkan bahawa saiz kelas yang besar merupakan cabaran utama dalam pelaksanaan KBAT di sekolah  (Norfariza Binti Mohd Radzi , Nur Fadhillah binti Muzammil 2018). Ini adalah kerana apabila guru terpaksa mengendalikan kelas yang besar bilangannya, guru tidak mampu fokus kepada setiap murid yang ada dalam kelas tersebut. Aktiviti dalam kelas  dan pertanyaan soalan berunsur  KBAT juga tidak mampu dilaksanakan dengan baik kerana pemfokusan guru menjadi terlalu mencapah.

6.2        CABARAN PEMUPUKAN KEMAHIRAN INSANIAH

Terdapat pelbagai jenis cabaran dalam pemupukan Kemahiran Insaniah dalam kalangan pelajar.  Antara cabaran yang dihadapi itu ada yang bersifat dalaman individu pelajar dan ada yang bersifat luaran iaitu melibatkan persekitaran. Ramai pelajar kurang menguasai kemahiran insaniah seperti kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran sosial interpersonal, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran memimpin yang  merupakan asas yang menjadi pertimbangan majikan untuk memilih seseorang pekerja. Selain tidak dapat memenuhi kriteria kelayakan bekerja yang minimun , Kemahiran Insaniah turut menjadi kriteria penting untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Para pelajar yang tidak mempunyai Kemahiran Insaniah yang tinggi akan berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang baik di samping sukar mendapatkan tempat di pusat pengajian yang terpilih. Antaran contoh Kemahiran Insaniah yang lemah ialah   perasaan rendah diri, suka menyendiri atau tidak suka bergaul, sering merasa bosan, menjadi pendiam, mudah tersingung, bermotivasi rendah dan mempunyai personaliti yang kurang sesuai.

Kegagalan pelajar menguasai kemahiran insaniah menjadi persoalan utama dalam dunia pendidikan nasional pada masa kini (Mohammad Firros 2017). Kemampuan pelajar dari aspek berfikir, memberi pendapat dan mengemukakan cadangan yang bernas untuk menyelesaikan suatu masalah tidak akan mencapai tahap kecemerlangan yang sepatutnya (Hazilah et al. 2013). Selain itu, ianya turut menjadi kriteria penting yang digunakan oleh pendaftar untuk menerima permohonan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Dengan sebab itu, lepasan sekolah yang tidak menguasai kemahiran insaniah akan menyebabkan mereka gagal mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran setelah tamat persekolahan. Ini kerana pelajar tidak dibekalkan dengan pelbagai kemahiran menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan (Chew et al 2014; Haslina 2015; Fatahiyah et al. 2018). Justeru itu, adalah sangat bersesuaian sekiranya kemahiran insaniah ini mula diterapkan di peringkat sekolah menengah. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti sokongan guru, sokongan rakan sebaya dan sokongan ibu bapa.

Sokongan persekitaran merupakan pengantara untuk menggerakkan semangat pelajar bagi menyertai aktiviti pembelajaran yang akan meningkatkan keterlibatan pelajar (Anisa Saleha 2015). Selain itu, sokongan persekitaran boleh mempengaruhi sahsiah pelajar. Sekiranya pelajar kurang mendapat sokongan persekitaran , ia akan memberi kesan terhadap kehidupan pelajar. Perubahan emosi yang memberi kesan negatif kepada pelajar seperti perasaan rendah diri, suka menyendiri atau tidak suka bergaul, sering merasa bosan, menjadi pendiam, mudah tersingung, bermotivasi rendah dan mempunyai personaliti yang kurang sesuai. Pelajar yang tidak mahu melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sekolah akan mempengaruhi Kemahiran Insaniah dalam diri pelajar (Tan & Rosnah 2013). Justeru, pihak sekolah perlu proaktif bagi mengatasi fenomena ini.

7.0      CADANGAN PENYELESAIAN

Selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) untuk melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama, penerapan kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran insaniah dalam diri para pelajar perlu dilaksanakan. Bagi merealisasikan matlamat tersebut guru-guru memainkan peranan yang sangat penting dalam memupuk dan menerapkan penguasaan kemahiran berfikiran aras tinggi dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Namun begitu terdapat beberapa kekangan dari kalangan guru dalam menerapkan kemahiran tersebut dalam sesi pembelajaran dan pengajaran. Terdapat beberapa cadangan yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan seseorang guru dalam menguasai aspek-aspek kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran insaniah seterusnya persediaan guru termasuklah dalam pengurusan kelas dan pelaksanaan pedagogi dalam menjamin keberkesanan proses pengajaran.

Teknik pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan di kelas perlulah berpusat kepada murid bukannya berorientasikan kepada guru. Bilamana para pelajar berada di dalam kumpulan-kumpulan kecil mereka dapat berkomunikasi, berhujah, berbincang dan bersosial sesama mereka. Hal ini juga dapat membantu guru dalam menghadapi kuantiti pelajar yang ramai dalam satu kelas. Mahani Ahmad, Ruzlan Md. Ali (2019) dalam kajiannya mengatakan bahawa situasi ini disokong pandangan Farkas, Ferenc (2003) yang mendapati bahawa kerja berpasukan mampu meminimumkan masa dan kos serta meningkatkan produktiviti terhadap apa yang dihasilkan.

Selain itu, seharusnya guru-guru perlu bersiap sedia lebih awal dengan merancang terlebih dahulu penyediaan soalan-soalan yang ingin dikemukakan kepada pelajar ketika proses pengajaran. Kesediaan pelaksanaan guru dari aspek kemahiran ini boleh dipertingkatkan dengan guru mempelbagaikan teknik-teknik menjawab soalan dan latih tubi dengan menggunakan KBAT supaya merangsang pelajar bergiat aktif dan berfikir aras tinggi (Talhah Ajmain, Ahmad Kilani Mohamed, 2018).

Keterlibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah, aktiviti sosial di sekolah dan aktiviti pelajar dalam kokurikulum juga dapat meningkatkan Kemahiran Insaniah pelajar. Antara Kemahiran Insaniah pelajar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti berkumpulan termasuklah kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran memimpin, kemahiran sosial-interpersonal dan juga kemahiran berfikir aras tinggi.

Tugas pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dan Kemahiran Insaniah ini bukan seharusnya diletakkan dibahu guru semata-mata, bahkan ia seharusnya mendapat sokongan daripada seluruh lapisan pengurusan sesebuah institusi pendidikan. Ariffin, N.A & Yunus, F. (2017) dalam kajiannya mengatakan bahawa setiap sekolah perlu memberi sistem sokongan bagi menggalakkan inovasi pendidikan dalam kalangan guru berlaku. Sistem sokongan ini meliputi bahan rujukan, sumber pengendalian PdP serta wacana untuk guru-guru membincangkan isu berkaitan PdP. Bahan-bahan dan medium yang disediakan ini dapat dimanfaatkan oleh para guru untuk menggunakan bahan sumber sebagai alat untuk keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, tidak dapat dinafikan bahawa situasi pandemik covid-19 yang semakin menular di negara ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keterlibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran secara efektif. Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru.

Pengaplikasian alat-alat teknologi boleh digunakan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi memantapkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar (Ariffin, N.A & Yunus, F. 2017).  Melalui konteks penggunaan interaktif e-Learning dalam proses pembelajaran, kemahiran berfikir aras tinggi disepadukan bertujuan untuk memberi kemahiran kepada pelajar supaya berfikir secara kritis dan boleh menghasilkan idea-idea baru (Harun Baharudin, 2015).

8.0      RUMUSAN

Secara keseluruhannya, perlaksanaan KBAT dan Kemahiran Insaniah menerusi pelbagai sumber buku & kajian para penyelidik merupakan pendekatan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi segala isu dan permasalahan yang melingkari kemenjadian pelajar di dalam sistem Pendidikan Malaysia di masa kini. Oleh itu, keperluan memperbaiki untuk mengadaptasi perlu diberi kesungguhan yang mendalam daripada pihak kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Ini berdasarkan penjelasan yang menyatakan pelaksanaan KBAT di dalam sistem pendidikan Malaysia masih berfokuskan kepada pengaplikasian kerangka teori Barat yang dikemukakan oleh Benjamin Bloom dan Lorin Anderson. Teori ini digunakan secara meluas sebagai asas falsafah di dalam menentukan hala tuju pemikiran yang perlu dibentuk oleh pelajar menerusi struktur elemen mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

Berdasarkan definisi-definisi istilah dan kajian yang telah dikemukakan dapat juga disimpulkan bahawa kemahiran insaniah merupakan kemahiran yang amat perlu dimiliki oleh seorang pekerja tanpa mengambil kira pekerjaan dan sektor pekerjaan yang sedang atau bakal diceburi. Walaubagaimanapun, secara lebih khusus Kemahiran Insaniah adalah merujuk kepada kemahiran-kemahiran tertentu yang diperlukan oleh golongan pekerja atau bakal pekerja. Untuk melahirkan graduan dan pelajar yang mempunyai kepelbagaian kemahiran insaniah, bermula daripada sekolah sehingga institusi pendidikan tinggi di Malaysia seharusnya mengatur langkah untuk melaksanakan revolusi pendidikan dalam usaha memantapkan dan memperkasakan pembangunan modal insan secara bersepadu dan menyeluruh demi kemakmuran negara dan kehendak pasaran kerja.

 

Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memfokuskan ke arah dasar sumber manusia negara, iaitu menggalakkan pemerkasaan ekonomi yang meliputi pelbagai sumber dan bidang baru, pemupukan kedua-dua kemahiran ini amat penting. Hal ini akan membantu para pelajar untuk berani mencuba dan mencipta perkara baru dan sekaligus melahirkan generasi yang inovatif dan berketerampilan tinggi. Kekangan-kekangan seperti tiada pengembangan, tiada penilaian keberhasilan, tahap kemampuan pelajar yang rendah, kurang keterlibatan daripada pelajar, kurang pengetahuan dikalangan guru, bilangan pelajar terlalu ramai di dalam satu kelas serta permasalahan pandemik perlu difokus, dikaji dan dicari kepelbagaian cara untuk penambahbaikkan. Cabaran untuk menangani isu ini perlu ditangani agar fokus utama yang digariskan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) iaitu Penerapan dan pengintegrasian KBAT dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) di dalam bilik darjah dapat dicapai.

Justeru ,  peranan yang berkesan dari semua pihak yang bertanggungjawab seharusnya  diperkasakan lagi dalam memastikan pelajar pada hari ini diterapkan secukupnya dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dan Kemahiran Insaniah. Ini bagi memastikan aset negara yang berupa modal insan pada masa akan datang dilengkapi dengan kebolehan yang utuh kerana merekalah yang bakal menentukan arah tuju negara kelak.

 

RUJUKAN

Nur Athirah Ariffin & Faridah Yunus. 2017. Kesediaan Guru Prasekolah Dalam Melaksanakan KBAT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017).

Mahani Ahmad, Ruzlan Md-Ali (2019). Penerapan Kemahiran Insaniah Melalui Penggunaan Bahan Sumber dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Sekolah Rendah. Journal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences. Volume 16, Issue 1 (2019) 93-104

Muhammad Talhah Ajmain, Mohd Aderi Che Noh, Ahmad Marzuki Mohamad (2018). Tahap Pemahaman dan Kesediaan Pelaksanaan Kemahiran Guru Pendidikan Islam Terhadap Penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Pengajaran di Negeri Selangor. Prosiding Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pendidikan (NCER2018)

Nur Fadhilah Abdul Basit, Maimun Aqsha Lubis, Harun Baharudin, Nurul Akhma Yahya (2015). Pembelajaran Interaktif e-Learning Mencorakkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Farkas, Ferenc (2003). The Role of Leadership in Knowledge Management and Knowledge Transfer. Knowledge Transfer, Small and Medium-sized Enterprises, and Regional Developments in Hungary. JATE Press Szeged

Rujukan :

Bruce Tulgan (2015). Bridging The Soft Skills Gap. New Jersey : John Wiley & Son, Inc.

Manmohan Joshi (2017). Soft Skills. ISBN 978-87-403-1905-7 : bookboon.com

Yayuk Susilowati & Sumaji (2020). Interseksi BerfikirKritis dengan High Order Thinking Skill (HOTS)Berdasarkan Taksonomi Bloom. Jurnal Silogisme Volume 5. Ponorogo : Universitas Muhammadiyah Ponorogo.

Nur Athirah Ariffin & Faridah Yunus (2017). Kesediaan Guru Prasekolah dalam Melaksanakan KBAT dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Simposium Pendidikan diPeribadikan.  Perspektif Risalah An-Nur(SPRiN2017)

Shakir, R. (2009). Soft Skills at the Malaysian Institutes of Higher Learning. Asia Pacific Education Review, 2009 (10), 309-315. DOI: 10.1007/s12564-009-9038-8.

Muhamad Sidek Said & Ahamad Rahim, 2012. Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Melalui Program I-Think. IPGM International Convention, Bab 7 indd 63. Kuala Lumpur :Ainun Rahmah Iberahim, Zamri Mahamod & Wan Muna Learning & Development

Anderson, L. W., Krathwohl, D. R., Airasian, P. W., Cruikshank, K. A., Mayer, R. E., Pitrich, P. R., Raths,  J.,  &  Wittrock,  M.  C.  (2001). A  Taxonomy  for  Learning,  Teaching,  and  Assesing,  A Revision of Bloom’s Taxonomy of Educational Objectives. Addison Wesley Longman,Inc.

Mohamad Nurul Azmi Mat Nor, Nurzatulshima Kamaruddin, Umi Kalthom Abdul Manaf, Mohd Hazwan Mohd Puaad, (2017). Pengetahuan Kandungan dan Pedagogi Guru dalam Kurikulum Reka Bentuk dan teknologi (RBT) : Analisis Kajian Rintis. Graduate Research in Education Seminar 2017. Serdang : University Putra Malaysia.

Lang, C. & Liu, C. (2017). Fashion Entrepreneurship Among College Students : Exploring The Motivations And Skills To Become A Fashion Entrepreneur. International Textile and Apparel Association (ITAA) Annual Conference Proceedings. Florida, USA : ITAA.

Nor Hazwan Halim & Sheerad Sahid (2020). Kemahiran Kesediaan Kerja, Efikasi Kendiri, Tingkah laku Keusahawanan dan Eksplorasi Kerjaya dalam kalangan Graduan. Akdemika 90 (Isu Khas), 2020 : 155-165. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

 Namita Jain & Vikas Gupta, (2019).The Impact of Kknowledge Management System on Student Performance: A Case Study of the University of Delhi. VINE Journal of Information and Knowledge Management Systems. VJIKMS-07-2018-0065. New Delhi : Emerald Publising Limited.

 


 

Rujukan

Alias, F. (2018). Elemen Kemahiran Insaniah Dalam Pendekatan Berpusatkan Pelajar Pengajaran Akidah Sekolah Rendah. Jurnal Sultan Alaudin Sulaiman Shah, 2.

Dewey, J. (1933). How we think: A restatement of the relationof reflective thinking to the educative process. Boston: D.C. Health and Company.

Kearns, P. (2001). Generic Skills for the New Economy. Kensington Park SA: NCVER Ltd.

Keong, P. P. (2014). Tahap Kemahiran Insaniah Dalam Kalangan Pelajar Kejuruteraan Tahun Akhir di Politeknik KPM. Universiti Tun Hussein Onn.

Malaysia, K. P. (2014). Elemen KBAT Dalam Pendidikan. Retrieved from Scribd: https://www.scribd.com/doc/306466334/PEDAGOGI-KBAT

Vyner, J. (2018). Mastering Soft Skills. Leicestershire: Troubador Publishing Ltd.

 

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)