Apakah itu Kajian Tindakan ?
Menurut Kemmis dan Mc Taggart (1998), kajian tindakan merupakan inkuiri berbentuk refleksi kendiri yang dilakukan secara kolaboratif oleh peserta sesuatu situasi sosial bagi tujuan mempertingkatkan rasional dan keadilan amalan sosial atau pendidikan yang dilakukan oleh mereka, serta mempertingkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan tersebut dan situasi atau persekitaran di mana amalan tersebut dilaksanakan.
Ebbut (1985) telah mendefinisikan Kajian tindakan sebagai suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.
McNiff (1988) pula berpendapat bahawa Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalanamalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ia melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.
Somekh (1989) Kajian tindakan ialah satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan peserta dalam situasi sosial itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing. v. Cochran-Smith dan Lytle (1990) Kajian tindakan merupakan kajian bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi membolehkan mereka meneroka isu-isu yang mereka sukai. Ia juga menyediakan satu kaedah yang formal bagi menjadikan pengetahuan guru sebagai sebahagian daripada sumber maklumat dalam pengajaran serta mendekatkan guru dalam struktur kuasa dalam pendidikan.
Kember dan Gow (1992), Kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) untuk mencuba membaiki pengajaran mereka melalui kitaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.
Kesimpulannya, berdasarkan pelbagai definisi tersebut dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah untuk guru mereflek masalah yang mereka hadapi, memungut dan menganalisis data dan melaksanakan perubahan terhadap amalan mereka berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi. Kajian tindakan menjurus kepada matlamat menjalankan penyelidikan tindakan, iaitu atas keinginan dan kecenderungan guru untuk membaiki kualiti amalan atau pengajaran pembelajaran serta situasi kerja. Sehubungan dengan itu, guru dapat mengatasi masalah yang dihadapinya dalam konteks amalan mereka sendiri. (Buku Manual Kajian Tindakan , Kementerian Pendidikan Malaysia).
Tujuan pelaksanaan Kajian Tindakan
Menurut Buku Manual Kajian Tindakan yang telah diterbitkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Disember 2008, tujuan memupuk budaya penyelidikan dalam kalangan guru ialah untuk:
i. membantu guru dalam menghadapi cabaran dan masalah berhubung dengan amalan pengajaran dan pembelajaran serta dapat memperkembangkan kemahiran profesional guru khususnya dalam mengenal pasti teknik atau kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan;
ii. memberi peluang kepada guru membuat sumbangan penting untuk mengukuhkan asas pengetahuan profesional di samping membolehkan guru menyelesaikan masalah professional tanpa merujuk kepada arahan luar;
iii. mengeluarkan guru daripada kongkongan amalan rutin dan meningkatkan amalanamalan profesional khususnya dalam menguji sendiri dan memperkembangkan idea-idea baru tentang amalan mereka. Dengan itu, guru mempunyai hak milik dalam memperkenalkan amalan-amalan yang efektif;
iv. menggalakkan guru menyelesaikan masalah yang wujud dalam amalan harian dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru ke arah pembaharuan;
v. menggalakkan guru menyelidik amalan sendirian, membaiki tindakan dan menilai hasil atau keberkesanan tindakan tersebut. Melalui cara ini, guru mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya sendiri;
vi. menggalakkan guru berkongsi pengalaman dan memberi publisiti tentang amalanamalan profesional mereka. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan diri guru sebagai kumpulan profesional dan dapat membaiki prestasi dan kepuasan kerja; dan
vii. mendorong guru secara individu atau bersama membuat refleksi ke atas amalan mereka, menganalisis peranan mereka dari segi kekuatan dan kelemahan, mengambil tindakan yang wajar dan memantau kesannya. Ini memberi peluang guru menjadi agen perubahan.
Apa yang diperlukan dalam Kajian Tindakan?
Sebelum melaksanakan Kajian Tindakan, para pengkaji hendaklah merancang beberapa perkara bagi mengelakkan kajian ini tidak hilang halatujunya atau dapatan menjadi bercelaru. Para pengkaji hendaklah :
1. Melakukan proses refleksi terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran.
2. Mengenal pasti fokus kajian.
3. Mengenal pasti objektif kajian.
4. Menentukan kumpulan sasaran.
5. Merancang dan melaksanakan tindakan bagi mengatasi permasalahan
Contoh Kajian Tindakan
Sesebuah Kajian Tindakan tidaklah sukar untuk dilaksanakan terutama kepada para pendidik yang sentiasa sibuk dengan tugasan mendidik anak bangsa. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan kerana ia banyak berkisarkan tentang proses pengajaran dan pembelajaran dan pemerhatian guru yang dilakukan sehari-hari di sekolah. Kajian Tindakan mampu mendedahkan para pendidik tentang kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan di sekolah bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan juga di luar sekolah.
Softcopy kajian tindakan saya sertakan melalui pautan ini :