Destinasi terakhir pada hari ini ialah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam. Kedudukan PPAS ini ialah di tepi muzium Sabak Bernam, Rumah Warisan dan juga River Side Cafe Sabak Bernam. Saya pernah datang ke sini beberapa tahun lepas untuk menghadiri satu program .
Alhamdulillah, tak sangka berlaku pengubahsuaian yang besar di sini di mana ia dapat menarik dan memberikan keselesaan kepada para peminat buku dan pengunjung perpustakaan ini. Ada ruangan bacaan dan aktiviti ringkas untuk anak-anak di sini. Terdapat juga ruangan menyusu untuk ibu-ibu yang sedang menyusu bayi.
Ruang tamu di bahagian pintu masuk bagi memberikan keselesaan kepada mereka yang ingin bersantai. Ruangan dalaman juga kemas dan sesuai untuk aktiviti bacaan seisi keluarga. Walaupun tak sebesar PPAS di bandar-bandar besar, tetapi kemudahan PPAS di pekan-pekan kecil di Sabak, Sungai Besar amat memberikan manfaat kepada penduduk sekitar.
PPAS ini juga mempunyai kemudahan tandas dan surau yang mesra pengunjung. Buku-buku yang saya perhatikan di rak sini majoritinya berusia bawah 10 tahun dan sesuai untuk dijadikan bacaan oleh semua peringkat umur. Selain itu, terdapat kemudahan internet percuma dan kedudukan PPAS ini juga tidak jauh daripada masjid dan tempat makan.