MUZIUM DAERAH SABAK BERNAM - MUZIUM BERTEMAKAN PERIKANAN DAN PERTANIAN

0


Destinasi seterusnya ialah Muzium Daerah Sabak Bernam. Muzium Daerah Sabak Bernam terletak di Jalan Pasar, Pekan Sabak Bernam, bersebelahan dengan bangunan Perpustakaan Daerah dan berhadapan dengan Masjid Jamek Daerah Sabak Bernam.

Muzium ini mempunyai keluasan kira-kira 1,135 kaki persegi. Secara umumnya, Muzium Daerah Sabak Bernam ini bertemakan warisan dan maklumat berhubung dengan sejarah pertanian dan perikanan di Daerah Sabak Bernam khasnya dan Negeri Selangor amnya.
 
Menurut laman web rasmi Majlis Daerah Sabak Bernam, muzium ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan dalam menggalakkan kemasukan pelancong di negeri ini dan menjadikannya salah satu pusat sumber rujukan yang unggul kepada generasi masa kini dan akan datang.
 
Di dalam muzium ini, terdapat banyak kelengkapan penangkapan ikan dan juga peralatan pertanian yang digunakan dari dahulu hinggalah sekarang. Sebahagian daripada kaedah mahupun peralatan penangkapan atau pertanian itu tidak lagi digunakan kini kerana terdapat kaedah atau peralatan yang lebih maju dan moden.
 
Antara peralatan penangkapan ikan tradisional yang dipamerkan termasuklah bubu, lukah, serkap, sauk, tangkul dan lain-lain lagi . Disebabkan pengunjung dilarang mengambil gambar bahan pameran, saya hanya mengambil gambar pameran yang dipamerkan di bahagian luar muzium sahaja.
Peralatan pertanian tradisonal terutama untuk penanaman padi dan getah banyak dipamerkan di bahagian luar muzium. 
 
Antara barang yang dipamerkan ialah batu lesung padi, batu lesung, bajak besi, takak tenggala, banting padi, kipas padi, lesung tangan, tumbuk dan lesung kaki, dan kereta kerbau.Selain itu, dipamerkan juga replika orang-orang, tempayan, penggelek getah tradisioal (mesin getah) , peralatan tradisonal dan juga perahu lama . Masuk adalah percuma. Setiap replika atau barangan yang dipamerkan akan disertakan bersama penerangan bagi membolehkan pengunjung dapat memahami apakah yang ditunjukkan .
 
Disebabkan terdapat larangan untuk mengambil gambar di dalam muzium, saya hanya mengambil gambar di luar daripada muzium untuk tatapan para pembaca blog ini. Gambar-gambar boleh di lihat di bawah. Secara keseluruhannya, muzium ini berbaloi dan menarik untuk dikunjungi oleh keluarga kerana ia penuh maklumat dan barangan pameran juga bersesuaian dengan tema muzium ini iaitu pertanian dan perikanan. 
 
Cuma kalau disertakan sekali berkenaan kronologi atau sejarah perkembangan pertanian dan perikanan  di Sabak Bernam kan lebih bagus. Contohnya tahun diperkenalkan penanaman padi di Sabak Bernam, atau tarikh mesin padi moden digunakan di Sabak Bernam. Maklumat-maklumat seperti itu amat penting untuk dijadikan rujukan oleh para pengkaji dan para penulis.
 
Selain itu ,pihak Perbadanan Muzium boleh mewujudkan satu lagi muzium yang hanya memfokuskan kepada sejarah sabak Bernam daripada zaman awal hingga kini. Antara skop yang boleh difokuskan ialah rekabentuk rumah, masjid, mahupun bangunan klasik di Sabak Bernam serta gambar gambar dan penerangan tempat -tempat bersejarah di Sabak Bernam seperti di Lubuk Pusing, Sungai Lang dan Panchang Bedena.
 




























 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)