MASJID AR-RAHMANIAH, TRONG, PERAK

0




























 

Pada 29 Januari 2022 yang lepas, aku sempat singgah sekejap di Masjid Ar-Rahmaniah, Trong, Perak dalam perjalanan ke Taman Kenari, Kulim Kedah menziarahi nenek dan bapa-bapa saudara. Rekabentuk dan senibina masjid ini menyebabkan aku "terpaksa" berhenti seketika untuk menikmati kecantikan dan keindahannya.Masjid ini terletak terletak di Jalan Besar Trong, 34800, Terong, Taiping, Perak. Mengikut sejarah , Masjid Ar-Rahmaniah Terong ini telah dibina pada tahun 1918 dan diasaskan oleh Alang Ngah Ibrahim b. Ngah Adam yang merupakan seorang saudagar kaya pada ketika itu. Pembinaan masjid ini juga telah mendapat sumbangan daripada Sultan Perak pada ketika itu, Sultan Iskandar. Ciri-ciri senibina masjid ini mendapat suntikan daripada senibina Melayu dan Kolonial British.

------------------------------------------------------------
Petikan daripada blog masjid ini 
 
Masjid Rahmaniah ,Terong merupakan sebuah masjid yang terletak di sebuah pekan kecil yang bernama Terong di Negeri Perak darul Ridzuan. Terong merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di Daerah Taiping. Pemilik asal masjid ialah Alang Ibrahim b. Ngah Adam atau dikenali sebagai Alang Tolek. 
 
Masjid ini dibina pada tahun 1918 dan usianya menjangkau 104 Tahun. Alang Tolek berasal dari Kampung Lalang, Padang Rengas, Kuala Kangsar. Beliau mempunyai isteri yang bernama Alang Saenahtetapi tidak dikurniakan cahaya mata. Setahun selepas pembinaan masjid, iaitu 1919, setelah kembalinya Alang Tolek ke rahmatullah, Hj. Zainal Abidin b. Ngah Adam , adik kepada Alang Tolek telah mewarisi hak pemilikan masjid. Alang Tolek merupakan seorang saudagar yang kaya pada masa itu dan mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan Pahang dan Sultan Perak. Sebahagian besar kos pembinaan masjid dibiayai oleh Alang Tolek, iaitu $25,000. 
 
Pembinaan masjid ini turut mendapat sumbangan orang ramai dan sultan Perak , Sultan Iskandar. Pembinaan dijalankan secara gotong-royong dengan penduduk kampung. Gayarupa masjid mempunyai pengaruh kolonial Inggeris dan ornamentasinya seakan-akan dipengaruhi oleh Hindu. Bangunan asal terdiri daripada ruang solat, menara tiga tingkat dan sebuah kolah untuk berwuduk.
 
Pada tahun 1958, bahagian bumbung diperbaiki dan diubahsuai kerana hampir runtuh dan membahayakan jemaah. Kolah yang sedia ada tidak lagi digunakan apabila ada kemudahan air paip. Bahagian kolah yang ditambak kini digunakan sebagai balai lintang. Tandas juga telah dibina bersesuaian dengan keperluan semasa. 
 
Pada tahun 1981, bahagian belakang masjid ditambahbagi menyediakan ruang solat untuk jemaah wanita. Susur tangan di ruang serambi (kaki lima) ditinggikan hingga ke aras bumbung. Bahagian hadapan ruang solat dan bilik disebelahnya diubahsuai untuk dijadikan ruang Mihrab. Ruang kiri bilik kini dijadikan setor. Bumbung menara diganti dengan atap genting buatan Britain. Tiga pintu dibahagian menara telah ditutup kerana tidak lagi digunakan. Pokok buah-buahan ditebang untuk keselamatan para jemaah. 
 
Kini terdapat binaan lain disekitar kawasan masjid iaitu rumah wakaf, sebuah gerai wakaf dan rumah waris Alang Tolek. Pembahagian ruang bagi masjid terbahagi kepada ruang utama solat, ruang wuduk, Tandas dan menara. Bahagian bumbungnya tidak menggunakan kubah tetapi menggunakan bumbung cerun yang menonjolkan seni bina nusantara. 
 
Pada bahagian ibu masjid, bumbung dua lapis digunakan. Ruang menara tiga tingkat mempunyai ketinggian 12044mm dengan ketinggian 4000mm bagi setiap tingkat. Ruang masjid adalah satu tingkat mempunyai ketinggian 12500mm. Susunan tingkap pada bahagian atas ruang solat berada pada kiri dan kanan Tingkap ini adalah dari jenis tingkap ram kaca untuk memudahkan pengudaraan dan pencahayaan. 
 
Di kiri dan kanan serta belakang ruang solat terdapat bukaan pintu yang sama bentuknya di mana setiap pintu tersebut diselangkan dengan satu tiang Roman. Ukiran yang digunakan tidak terlalu sarat. Ruang solat adalah berbentuk segiempat sama yang berukuran 10610mm x 10610mm. Ruang mengambil wuduk pula berukuran 713 mm x 5275mm dan ruang menara bersaiz 1.795m2. Tiada sebarang ukiran pada dinding masjid tetapi corak berbentuk geometri dan motif figuratif digunakan pada bahagian kota masjid. 
 
Sistem perletakkan tiang yang digunakan ialah sistem grid yang berukuran 3750mm pada setiap grid. Bahan yang digunakan terdiri daripada kayu cengal untuk membuat alang, batu bata yang dilepa untuk membuat tiang dan batu bata merah berukuran 8″ x 4″ x 2″ yang seakan akan bata merah di Kota Ngah Ibrahim. 
 
Bagi meniggikan lantai, batang pokok kelapa disusun, dikambus tanah dan dilepa dengan simen merah. Genting bumbung dihasilkan daripada tanah liat tetapi kini digantikan dengan asbestos. Kayu pemanis bumbung diperbuat daripada kayu cengal dan diukir oleh tukang tempatan. Kini, Masjid Rahmaniah Terong masih gah berdiri walaupun terdapat banyak perubahan yang berlaku dan masih mengikut bentuk asalnya.
 








 
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)