Aku mula belajar berniaga daripada zero dan tak tahu apa-apa ketika aku berkhidmat di Bintulu Sarawak pada tahun 2012 hingga 2015. Pada waktu itu aku berniaga buku secara kecil-kecilan di Masjid Assyakirin , Bintulu Sarawak. Buku yang aku jual pada waktu itu banyak berunsur perbandingan agama, isu umat Islam terutama Syria dan Palestin dan juga Aqidah. Dengan lain kata buku yang agak "basic" . Buku itu aku bawa dari semenanjung menggunakan kargo MAS semasa aku pulang bercuti ke semenanjung.
Lokasi perniagaan ialah di bahagian bawah masjid , di hadapan tempat berwuduk, ada susur gajah yang memang sesuai dijadikan tempat meniaga dan buka gerai di sana. Biasanya setiap minggu , akan ada 3 atau 4 buah gerai yang menjual nasi bungkus, keropok, minyak wangi dan barangan ibadah akan dibuka di sana. Aku antara yang terawal akan datang ke masjid dan setting gerai dengan dibantu oleh isteriku yang terpaksa menghantar buku-buku tersebut ke masjid kerana pada waktu itu kami hanya ada sebuah kereta sahaja.
Selain daripada buku, aku juga menjual keropok keping yang diimport khas daripada Kelantan dan Terengganu. Harga yang aku tawarkan kadang kala lebih murah daripada harga pasaran tempatan ketika itu, Pada masa itu, semangat mengislahkan masyarakat begitu menebal dalam diri. Aku menjadikan gerai buku aku sebagai tempat untuk aku membuka minda masyarakat terhadap isu-isu semasa kerana buku-buku yang aku bawa agak berbeza .
Cuma apabila aku pindah ke semenanjung pada tahun 2015, aku hentikan sementara perniagaanku kerana keadaan tidak stabil lagi masa itu. Isteriku dan anak masih di Sarawak pada ketika itu. Manakala barang perniagaanku masih berada di sana. Jadi aku hentikan perniagaan ketika itu. Tambahan pula, beberapa bulan selepas aku pulang ke semenanjung, aku diminta untuk memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Amanah Kawasan Sungai Besar .
Aku terpaksa bekerja keras untuk menempatkan diriku dalam arena politik tempatan memandangkan aku bukannya orang tempatan, tidak ada sebarang kenalan, isteriku pun masih berada di luar kawasan. Jadi aku berada dalam situasi dicampakkan ke sebuah daerah yang asing, diberikan jawatan tinggi dalam politik, dan terpaksa berjuang bersendirian untuk menempatkan diri dalam lapangan yang baru aku ceburi.
Ketentuan Allah, selepas beberapa bulan memegang jawatan politik, berlakunya Pilihanraya Kecil Parlimen Sungai Besar pada tahun 2016 disebabkan penyandangnya, almarhumah YB Noriah Kasnon meninggal dunia akibat kemalangan helikopter di Sarawak. Daripada PRK inilah , aku mula mengenali "player-player" politik yang berada di peringkat kawasan dan negeri. Selepas itu terlalu sibuk dengan aktivitisme politik sehingga aku begitu lama tidak berniaga.
Cuma beberapa tahun lepas aku ada beberapa kali turun ke belah Kuala Lumpur dan Shah Alam untuk menjual buku-buku di sana. Fokus aku ketika itu ialah Pasar Buku dan juga konvensyen . Aku pergi dengan berbekalkan dengan pengalaman tak seberapa. Selain itu aku pernah juga membuka gerai buku di Tonggak 10 Sungai Besar dan juga Car booth Sale , MARA Sungai Besar.
Alhamdulillah. Sambutan yang diterima agak ok. Berniaga buku di semenanjung Malaysia dengan Bintulu pun ada perbezaan juga sebenarnya. Perniagaan di semenanjung, genre dan topik bukunya agak meluas dan terbuka menjadi pilihan para pembeli berbanding di Bintulu di mana buku-buku asas agama menjadi pilihan.
Daripada situ , aku mula pelbagaikan jenis buku-buku yang ada bagi menarik minat para pembeli. Setakat ini aku lebih menjadikan perniagaan dalam talian sebagai medium untukku menjual buku, Cuma kalau ada rezeki, teringin juga mempunyai sebuah kedai yang menjual buku-buku baru dan buku terpakai. Dalam kedai itu, aku akan cuba hidupkan suasana ilmu dengan mengadakan pengisian dan program yang mencerdikkan manusia . Semoga hasrat ku tercapai sebelum melangkah ke usia 35 tahun ini. Amin.