MASJID JIN @ MASJID LAMA PANCHANG BEDENA SABAK BERNAM

0

 

Hari ini saya singgah solat sunat di masjid tertua di Sabak Bernam yang dikenali sebagai Masjid Jin oleh masyarakat tempatan . Masjid ini terletak di Panchang Bedena dalam iaitu di Jalan Lama Kuala Selangor. Masjid ini merupakan masjid tertua di daerah Sabak Bernam dan dibina pada tahun 1905.

Kenapa dinamakan sebagai Masjid Jin? Ia adalah kerana masjid ini sering dikaitkan dengan fenomena mistik berkaitan alam ghaib. Anda boleh mencari sendiri kisah ini dalam internet untuk penerangan lebih lanjut. Saya lebih berminat kepada seni ukiran dan sejarah masjid ini. Bab alam ghaib ni tak berapa nak minat ulas panjang.

Pada awalnya , kampung ini diberi nama sebagai Kampung Api-Api kerana terdapat banyaknya pokok api-api yang terdapat di sana. Namun kemudiannya ditukar kepada kepada nama Panchang Bedena disebabkan peristiwa penemuan sebuah bedena besar (tempayan bekas menyimpan harta) di dasar laut yang kemudiannya dipancang kayu oleh penduduk kampung  sebagai tanda untuk memudahkan orang ramai membawanya ke darat.
 
Masjid itu diasaskan oleh Tuan Haji Muhammad bin Haji Shafie yang merupakan menantu kepada Penghulu Haji Talib atau Haji Taib Keramat iaitu orang yang mula-mula datang dan membuka kampung ini selepas perang Selangor. Beliau bersama temannya yang bernama Pawang Latib. Semasa Tuan Haji Muhammad menjadi penghulu, beliau telah memohon perkenan daripada Sultan Alaeddin Sulaiman Shah serta penduduk kampung untuk mendirikan masjid di atas tanahnya seluas setengah ekar bagi menggantikan Masjid Panchang Bedena yang lama dan Masjid Sungai Burong yang roboh. 

 Ketika awal pembinaan, masjid terbabit dibina menggunakan batang pinang sebagai lantai dan dinding serta beratap rumbia. Mengikut cerita daripada penduduk kampung, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah bukan sahaja memperkenankan pembinaan masjid ini, bahkan menyumbangkan sebahagian daripada sumber kewangan untuk membiayai pembinaan masjid ini. Tukang yang bertanggungjawab membina masjid ini ialah Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Hamid Tukang yang berasal dari Kampung Sungai Keli, Sabak Bernam. Dia dibantu oleh beberapa orang lagi antaranya Bilal Hashim, Haji Muhammad Jawa, seorang cina bernama Ang Gun dan beberapa orang lagi.
 
Pada tahun 1979, masjid ini dibaik pulih menggantikan binaan asal yang rosak hasil kutipan derma orang kampung dan sumbangan masyarakat tempatan.Namun, empat tiang seri yang menjadi tunjang utama masjid dikekalkan sehingga kini kerana masih kukuh walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, selain ia juga tidak boleh dipaku.
 
Pada tahun 2007, masjid ini sekali lagi berubah wajah dan dibesarkan dengan menggantikan dinding dan bumbung dengan kayu cengal yang dibawa khas dari Terengganu dengan bantuan Muzium Negeri.
Masih mengekalkan ciri unik selain memaparkan konsep tradisional Melayu terutama struktur binaan dindingnya yang tidak menggunakan paku, Masjid Lama Panchang Bedena kini diletakkan di bawah pemantauan Muzium Negeri sebagai Harta Warisan Negara.
 
Masjid ini tidak lagi digunakan untuk solat jumaat melainkan solat waktu kerana terdapat sebuah lagi masjid baru menggantikan fungsi masjid ini yang terletak kira-kira 3 km daripada masjid ini dan berada di laluan utama Jalan Persekutuan 5. Beberapa ciri-ciri menarik boleh dilihat melalui ukiran pada masjid ini iaitu :

1) rekabentuk gabungan bumbung bertingkat dan bumbung limas yang dikenali sebagai bumbung limas bungkus.

2) Bumbung juga diukir dengan ukiran cucur atap dan tunjuk langit.

3) Dinding dan tingkapnya dihiasi dengan ukiran tebuk timbus bermotif tradisi melayu seperti sulur kacang dan pola bujang.

4) Masjid ini tidak mempunyai kolah seperti lazimnya, tetapi menggunakan bedena (tempayan-tempayan besar) untuk menakung air hujan bagi jemaah mengambil wuduk.
 
 








































 
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)