MASJID KAMPUNG LAUT : BAGAI SIRIH PULANG KE GAGANG

0

 

Masjid Kampung Laut yang merupakan antara tarikan utama di Laman Warisan Seni Kampung Laut

Pada hari ini saya dan keluarga saya sempat melawat Laman Warisan Seni Kampung Laut yang terletak di Kampung Laut, Tumpat Kelantan. Sudah lama rasanya saya ingin menziarahi masjid yang pernah berada di kampung saya iaitu Nilam Puri. Namun tidak berkesempatan. Alhamdulillah hari ini ditakdirkan saya ke sini.

Semasa Masjid Kampung Laut berada di pekarangan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), saya sering berkunjung ke sana untuk bertemu dengan rakan-rakan aktivis mahasiswa di sana. Masjid Kampung Laut ini ibarat pusat pertemuan rakan-rakan sefikirah sekitar tahun 2006 hingga 2011.


Masjid Kampung Laut merupakan sebuah masjid tertua yang masih wujud di Kelantan dan di antara yang tertua di Nusantara. Masjid ini dikatakan dibina dalam abad yang ke-18 oleh pengembang Islam yang berulang-alik antara Champa dan Jawa dengan bantuan penduduk tempatan. Masjid ini dikatakan sezaman dengan Masjid Lama Wadil- Husen yang terletak di Narathiwat , Thailand.


Sebahagian daripada bahagian masjid telahpun terhakis dan dihanyut ombak

Tapak masjid asal di Kampung Laut yang terletak dalam jajahan Tumpat telah tenggelam akibat banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 dan 1966. Justeru, Persatuan Sejarah Malaysia menggerakkan usaha pemuliharaan setelah mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memindahkannya ke tanah milik Yayasan Islam Kelantan di Nilam Puri dan ia dipercayai telah dipindahkan pada tahun 1970-an.

Bermula pembinaannya sejak 1763 hingga 1920, Masjid Kampung Laut yang asalnya hanyalah berbumbungkan atap yang diperbuat daripada pelepah rumbia kemudian mengalami perubahan struktur dari semasa ke semasa.

Selepas lebih 50 tahun Masjid Kampung Laut tegak berfungsi di bumi Nilam Puri sebagai pusat ibadat masyarakat sekitar terutama para pelajar pra Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (sebelum dipindahkan ke Bachok) dan pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), masjid ini dikembalikan semula ke lokasi asalnya di Kampung Laut bermula pada 14 September 2020.

Mimbar asal berusia 400 tahun yang diletakkan di Masjid ArRahman, Kampung Surau Pasir Pekan semasa proses pemindahan yang pertama dan beduk di Masjid Muhammadi turut kembali ke lokasi asal.

Apa yang menarik di Laman Seni Warisan Kampung Laut ialah ia mempunyai papan tanda yang memaparkan maklumat serta sejarah berkenaan Masjid Kampung Laut ini. Ia mampu menceritakan kepada para pelawat serta pelancong berkenaan sejarah yang ada berkenaan masjid ini.

 

Sejarah Masjid Kampung Laut

Terdapat dua sumber informasi yang boleh kita peroleh di sini.

 

Sumber Pertama:

 

Menurut Dr. Abdul Rahman Al-Ahmadi, beliau dikatakan telah mengumpul sejarah lisan penduduk bersama kajiannya, dan beliau menyimpulkan bahawa masjid tersebut telah dibina 500 tahun yang lalu oleh pendakwah-pendakwah dari Champa. Mereka dikatakan berasal dari pulau Jawa yang membawa bersama pelan prototaip pembinaan masjid dengan tujuan membina tiga pusat Islam di negeri Kelantan.

Abd Rahman Al-Ahmadi mendakwa bahawa komponen pembinaan masjid itu telah dibawa bersama dalam misi pelayaran mereka untuk membina di tapak yang ditentukan. Dua daripadanya di Timur Pulau Jawa, salah satunya dikenali sebagai Masjid Agung Demak. Sementara itu, Masjid Kampung Laut merupakan masjid pertama yang didirikan oleh mereka sebelum mereka mendarat di Pulau Jawa. Ini menjadikan Masjid Kampung Laut sebagai masjid terawal yang dibangunkan berbanding Masjid Agung Demak, dan juga sebagai masjid terawal di rantau ini.

 

Sumber Kedua:

 

Menurut cerita penduduk, masjid ini juga dikatakan telah wujud sejak zaman Sayyid Hussein Jamadil Kubra, iaitu anak sulung kepada Amir al-Mu’azhzham Syah Maulana Ahmad Sayyid (Ahmad Shah Jalal), seorang pendakwah dari Deccan, India yang datang ke negeri Kelantan untuk menyebarkan Islam pada tahun 1349 (Abad Ke-13). Pada masa yang sama, sebuah masjid lama yang dinamakan Masjid Kampung Laut juga telah dibina pada tahun yang sama, iaitu 1349 Masehi (674 tahun yang lalu).

 

Beduk raksasa yang pernah berada di Masjid Muhammadi

Mimbar Masjid Kampung Laut


 


 

 

 

 

 

 

 

 

Ini merupakan sebahagian daripada coretan gambar saya di sini .





































#CikguZhaf


Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)