SEJARAH MASJID LAMA MULONG

0

Gambar Masjid Ar- Rahman setelah mengalami pengubahsuaian

Masjid ini pada asalnya bukan dibina khusus sebagai sebuah masjid tetapi merupakan binaan sebuah Balairong Seri yang digunakan untuk aktiviti penghadapan raja yang dimiliki oleh Raja Dewa. Raja Dewa merupakan gelaran kepada Tuan Zainal Abidin yang merupakan salah seorang putera kepada Sultan Muhammad III dan saudara kandung Sultan Muhammmad IV. 
 
Kedudukan asal bangunan ini adalah di kawasan perkampungan raja di Kota Bharu yang terletak berhampiran dengan Istana Jahar dan Istana Balai Besar. Namun pada tahun 1958, ianya telah dibeli oleh penduduk Kampung Kedai Mulong dengan harga RM 1000 dan dipindahkan ke Kampung Kedai Mulong untuk digunakan sebagai surau hingga ke hari ini.
 
Struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke Kampung Kedai Mulong. Balairong Seri itu kemudiannya dipasang semula secara gotong-royong dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk. Beberapa penambahan baru dilaksanakan dari semasa ke semasa sehinggalah mengubah rupa bentuknya yang sebenar. 
 
Namun hasil daripada lawatan yang dilakukan oleh Dato’ Pesuruhjaya Warisan pada tahun 2007 dan setelah melihat betapa indahnya seni pertukangan Melayu yang boleh dipaparkan kepada masyarakat hari ini, dan juga dari segi sejarahnya yang merupakan sebahagian istana DiRaja Kelantan, Jabatan Warisan Negara, telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja konservasi terhadap bangunan ini. Kerja-kerja konservasi telah dimulakan pada penghujung tahun 2008 dan telah siap pada awal tahun 2009. 
 
Memandangkan banyak perubahan dan binaan baru yang kurang sesuai dilakukan secara berperingkat ke atas bangunan ini, pemuliharaan secara keseluruhan dilaksanakan bagi mengembalikan rupa bentuk asalnya. Proses awal adalah mengikis dan mengecat semula pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala, motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada genting jenis singgora Thailand. 
 
Beberapa kerja baru juga dilaksanakan iaitu anjung hadapan, papan pemeleh bumbung serta perabung konkrit berbentuk ‘ekor itik’ diperincikan lagi dengan reka bentuk baru berdasarkan ciri seni bina DiRaja Kelantan. Semasa kerja-kerja mengikis cat lama di bahagian atas panel janda berhias atau dinding asal balairong seri, pekerja-pekerja terjumpa lukisan mural berkerawang emas berbentuk bunga. 
 
Ukiran bunga ini dikekalkan agar sejarah balairong seri tidak hilang. Sebanyak tiga batang tiang penyokong yang using ditukar baru dan enam lagi tiang penyokong ditambah bagi mengukuhkan struktur bangunan. Bangunan ini juga dianjakkan ke hadapan sejauh enam meter dan ke kanan sebanyak tiga meter dengan menggunakan kaedah chain-lock berikutan tapaknya terkeluar daripada lot tanah wakaf. 
 
Kaki-kaki tiang masjid diangkat dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya dengan penuh berhati-hati. Bangunan ini juga diangkat dan diletakkan di atas pelapik tiang konkrit untuk menjaga keutuhan tiang-tiang kayu penyokong bangunan ini daripada rosak. Antara kerja-kerja lain bagi bangunan ini adalah membina tempat wuduk di bahagian sisi kanan dan tandas di bahagian sisi kiri masjid, kerja-kerja memagar kawasan dan mengindah lanskap sehaingga tampak berbeza daripada keadaan sebelumnya. 
 
Kini selepas lapan bulan menjalani proses baik pulih Masjid Lama Kedai Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula oleh pengunjungnya. Kemuncak legasi masjid ini ia telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 5 Julai 2009.
 
Sumber : Jabatan Warisan Negara
 

 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)