SURAU AL- MUFLIHUN , KAMPUNG PARIT 7 BAROH, SEKINCHAN

0

 

Pemandangan hadapan Surau Al-Muflihun, Parit 7 Baroh , Sekinchan

Pada hari ini saya sempat singgah ke sebuah surau lama yang terletak di Parit 7 Baroh, Sekinchan , daerah Sabak Bernam , Selangor. Lokasi surau ini betul-betul terletak di tepi jalan utama yang menghubungkan Kuala Selangor- Teluk Intan. Rekabentuk surau itu begitu menarik minat terutama rekabentuk kubah menara yang boleh dilihat di beberapa surau atau masjid lama di sekitar Sabak Bernam.
 
Tangga menara yang terletak di tangga pintu masuk ke dalam surau

Tangga yang sambung menyambung hingga ke atas menara surau


Namun , surau ini ada sedikit kelainan berbanding dengan masjid/surau lama yang saya pernah kunjungi sebelum ini. Menara bagi surau ini terletak di atas laluan pintu masuk utama surau. Terdapat tangga yang menghubungkan antara ruang solat dengan menara surau. Kita akan dapat melihat tangga menuju ke menara surau apabila kita berada di bahagian pintu masuk surau.
 
Penggunaan teknik tebuk-pasak pada bangunan.

Sejarah Surau Al- Muflihun dikatakan bermula pada tahun 1947 di mana seorang mandur yang dilantik oleh kerajaan British yang bernama Haji Ahmad Basar bin Haji Abdul Wahab bersama rakan beliau berusaha mewujudkan sebuah surau di kampung ini. Hasrat ini disokong penuh oleh penduduk tempatan yang menyumbang tenaga, keringat, wang ringgit untuk pembinaan surau ini.
 
Surau ini dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh Tuan Haji Markawi bin Abdullah , seorang penduduk asal Kampung Parit 7. Pada tahun 1954 Surau Parit 7 dibina semula untuk tujuan pembesaran bagi menampung keperluan jemaah. Ini adalah kerana ketika itu, jemaah bukan sahaja dari Kampung Parit 7, tetapi juga daripada kampung-kampung sekitar.
 
Bahagian hadapan tempat solat lelaki dan mimbar

Bahagian wuduk surau

Pembinaan surau baru juga merupakan wakaf dari orang-orang kampung dan dilaksanakan oleh tukang kayu yang berkemahiran di bawah pimpinan Allahyarham Tuan Musim bin Haji Sirat. Setelah siap pembinaannya , Surau Parit 7 ditadbir oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Allahyarham Sidang Haji Ahmad Basar bin Haji Abdul Wahab .
 

Bahagian luar surau

Imam pertama yang dilantik ialah Allahyarham Kiyai Jamjam diikut oleh Allahyarham Kiyai Sukaimi. Setelah kiyai Sukaimi meninggal dunia, jawatan imam disandang oleh Kiyai Kamaruddin. Seterusnya , selepas ketiadaan beliau, tanggungjawab itu diberikan kepada Tuan Haji Ismail bin Haji Nahrawi dan Hani Toha . 

Papan tanda nama surau yang lama
 
Papan tanda surau yang baru

Pada tahun 2004, Datuk Haji Adnan bin Isman, rektor KUIS pada waktu tersebut mencadangkan supaya nama Surau Parit 7 dinamakan semula sebagai Surau Al-Muflihun. Saranan beliau itu telah diterima dan disambut baik oleh ahli jawatankuasa surau . Akhirnya , nama Surau Parit 7 ditukar secara rasmi menjadi Surau Al-Muflihun.
 
Allahyarham Datuk Haji Adnan bin Isman , Presiden / Rektor Kedua KUIS 2002-2010

 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)