DS ANWAR IBRAHIM YANG KU KENALI

0
 

Pada tahun 1998, saya berusia lebih kurang 10 tahun. Saya pada masa itu tidak tahu apa sangat pun berkenaan pemecatan DSAI dan reformasi sehinggalah abah membawa balik VHS Tape video ke rumah. Abah merupakan seorang penjawat awam (yang kini bersara) dan merupakan seorang ahli PAS cawangan. Tetapi abah tidak dapat menzahirkan warna kepartiannya kerana pada masa itu UMNO BN cukup kuat di Kelantan walaupun pada masa itu PAS telahpun memerintah Kelantan. Suasana politik pada masa itu pun agak tegang di mana terdapat arahan-arahan tak munasabah dikeluarkan kepada para penjawat awam pada masa itu.

Abah membawa balik tape ini pun secara senyap-senyap daripada rakannya dan dipasang di rumah kami pun secara senyap-senyap. Sampai satu ketika, dalam benak pemikiran seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, selepas dipasang video tape tersebut, anggota UTK akan menyerbu rumah kami untuk menangkap ma dan abah yang merupakan penjawat awam. Haha. Tetapi situasi politik masa itu memang gila .
 
Saya pada masa itu cukup beremosi dan cukup simpati dengan apa yang menimpa DSAI pada waktu itu. Antara isi kandungan video tape yang saya ingat pada masa itu ialah video ketika DSAI tengah berucap di dalam rumahnya di hadapan media dan di hadapan pengikutnya. Tiba tiba datang segerombolan manusia bertopeng, dan berpakaian preman dengan membawa senjata automatik menyerbu rumahnya ketika itu. Kemudian ada babak DSAI berucap di Masjid Negara yang dihadiri puluhan ribu manusia dan babak di mana demonstran dipukul secara ganas oleh pihak berkuasa ketika itu.
 

 
Daripada situ, saya tertarik dengan ketokohan insan yang bernama Anwar Ibrahim ini . Oleh kerana Abah saya dan keluarga saya rata rata merupakan penjawat awam, saya tidak pernah dibawa untuk terlibat dengan demonstrasi reformasi. Lagipun jarak antara Kelantan dengan Kuala Lumpur dan Selangor adalah jauh. Tetapi saya dapat membaca liputan tentang DSAI dan perjuangan nya melalui akhbar Harakah yang dibeli oleh Abah tanpa putus ketika itu. 
 
Apabila saya menjejakkan kaki ke alam mahasiswa (IPG) , pada waktu itulah saya mula terlibat dengan aktivisme dan gerakan mahasiswa. Oleh kerana IPG agak perlahan atau tertutup dengan gerakan mahasiswa ini, saya banyak keluar ke IPT berdekatan seperti USM , Uitm dan beberapa universiti dan IPG lain untuk terlibat dengan program bersifat dakwah ,tarbiah dan aktivisme politik.
 
Barulah pada masa ini saya tahu betapa watak bernama Anwar Ibrahim ini merupakan seorang tokoh yang banyak membaca, banyak menulis buku berkenaan visi, misi dan pandangan yang cukup jauh ke hadapan. Beliau tidak seperti sesetengah ahli politik yang lain yang menggunakan ghost writer untuk menulis dasar dan pemikiran mereka. Saya mula mengumpul buku buku beliau dan mula menekuninya.
Pada tahun 2015, saya tidak lagi bersama PAS dan masuk ke dalam Parti Amanah Negara yang mendokong kerjasama antara DAP dan PKR. Jadi sokongan saya kepada beliau itu bukan bermula dari setahun dua lepas beliau menjadi PM, tetapi sebermula tahun 1998 lagi. Namun saya tidak dapat menzahirkan sokongan itu kerana keluarga saya orang PAS , orang PAS tentunya lebih kagum dengan arwah tok guru dan ayah chik, abah merupakan penjawat awam dan lokasi rumah saya jauh dengan lokasi bumi reformasi. 
 
Saya pula, walaupun seorang penjawat awam, pegang jawatan utama parti politik pembangkang dari tahun 2015 hinggalah tahun 2020 sebelum rasa cemuh dengan politik politik tempatan. Pernah rasalah penangan surat tunjuk sebab, hadap unit integriti, hadap PPD dan dikenakan tindakan disiplin akibat penglibatan saya dalam politik (baca sokong parti pembangkang). Tak tahulah. Mungkin lepas ni saya kembali aktif dengan politik. Siapa tahu, kan? Apa apa pun , kita mengharapkan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara kita semua. Insyaallah.
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)