Ini merupakan bahan-bahan sejarah yang saya ketahui ada membicarakan tentang sejarah Sabak Bernam , asal usul nama tempat di Sabak Bernam dan sejarah masjid-masjid lama di Sabak Bernam. Sebahagian besar gambar ini saya peroleh daripada seorang teman yang memiliki koleksi berharga ini. Pemerhatian saya, buku-buku di bawah ini tidak lagi boleh didapati di pasaran terbuka melainkan sudah menjadi bahan buruan pengumpul buku langka. Ia juga sudah tidak dicetak lagi dengan tarikh penerbitan sebahagian besarnya melebihi daripada 10 tahun. Saya sendiri hanya memiliki salah sebuah daripada buku di bawah.
Beberapa hari lepas juga saya ada mengunjungi PPAS Sungai Besar untuk mencari bahan-bahan berkenaan sejarah Sabak Bernam. Saya bertemu dengan seorang pegawai di sana . Kami ada berbincang tentang dokumentasi bahan-bahan sejarah Sabak Bernam. Nampaknya bahan-bahan bertulis seperti buku di bawah ini juga sukar didapati di sini. Pada pendapat saya, ia merupakan satu kerugikan kepada bumi Sabak Bernam ini apabila bahan-bahan yang menerangkan tentang sejarah ini tidak ada lagi untuk dijadikan bahan rujukan kepada warga Sabak Bernam. Bertambah malang lagi , bahan-bahan ini tidak lagi boleh didapati dikaji dan disebarkan kepada masyarakat tempatan.
Perlu ada usaha mulai sekarang untuk mengumpul semula bahan-bahan yang boleh dikaitkan dengan sejarah di Sabak Bernam kerana saya khuatir bahan-bahan ini semakin hari semakin hilang apabila generasi yang memegang kisah sejarah ini semakin hilang.