[ARTIKEL JURNAL] Petempatan masyarakat Zaman Logam di Selangor berdasarkan data arkeologi

0
 

Petempatan-petempatan awal di Zaman Logam sekitar 2500 tahun dahulu di negeri Selangor telah dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan artifak logam yang ditemui secara tidak sengaja ataupun secara ekskavasi arkeologi. Petempatan-petempatan ini kebanyakannya terletak berhampiran dengan sungai dan berkembang daripada sistem masyarakat Neolitik. Antara sungai-sungai penting yang digunakan sebagai kawasan petempatan masyarakat zaman logam ini adalah seperti Sungai Bernam, Sungai Langat, Sungai Sedu, Sungai Kelang dan Sungai Semenyih. Peranan sungai-sungai ini selain daripada tempat masyarakat tempatan mencari sumber makanan juga digunakan sebagai jalan perhubungan utama antara masyarakat di tanah pamah dengan masyarakat di pedalaman. 
 
Kekayaan lembah-lembah sungai di Selangor dengan sumber logam timah membolehkan masyarakat tempatan menjalinkan hubungan perdagangan dengan masyarakat luar terutamanya dengan masyarakat di utara Semenanjung dan juga pedagang dari Vietnam. Ini adalah kerana logam timah diperlukan untuk menghasilkan barangan gangsa. Untuk mendapatkan logam timah ini, sistem pertukaran barangan telah dijalankan di mana timah telah ditukarkan dengan barangan daripada gangsa seperti gendang dan loceng yang diperbuat daripada gangsa.  
 
Gendang dan loceng gangsa ini dianggap sebagai simbol status kepada ketua masyarakat tempatan yang menyimpannya. Antara tapak-tapak di mana artifak gangsa ditemui adalah di Kampung Sungai Lang, Jenderam Hilir, Sidu dan Lembah Sungai Klang. Tapak-tapak ini menjadi bukti bahawa perkembangan masyarakat setempat, daripada sistem sosio-budaya zaman Neolitik kepada perkembangan zaman logam adalah kerana faktor adanya jalinan perdagangan dengan masyarakat luar.

 Baca seterusnya : http://www.ukm.my/sari/images/stories/SariOnline/Journal/28_1/sari_28_1_2.pdf

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)