TUAN GURU KIYAI HAJI MUFRAD SUNGAI DORANI

0

 

Tuan Guru Kiyai Haji Mufrad Bin Kasan, Sungai Haji Dorani ( 1945 - 2015 )

Oleh : Tengku Yusuff 

Tuan Guru Kiyai Haji Mufrad Bin Haji Kasan dilahirkan pada tanggal 8 Disember 1945 di Sungai Besar, Selangor.

Nama asal ayahnya ialah Darwis, setelah menunaikan Haji, ianya ditukar ke Haji Kasan. Beliau merupakan murid kepada Kiyai Haji Mufrad yakni ulama' yang membuka Kampung Tebuk Mufrad suatu ketika dahulu. Haji Kasan dilahirkan di Sungai Besar dan menetap di Parit Dua. 

Ibunya pula bernama Halimah berasal dari tanah Jawa, lalu berhijrah ke Johor dan kemudian menetap di Sungai Besar berkahwin dengan Haji Kasan. Kisahnya ketika beliau mengandungkan Kiyai Mufrad, suaminya Haji Kasan berdoa agar anak dalam kandungannya ini membesar menjadi ulama' seperti Kiyai Haji Mufrad iaitu gurunya dahulu. Lalu setelah dilahirkan, beliau menamakannya Mufrad.

Keluarga solihin ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ramai alim ulama' di kawasan Sungai Besar. Selain bersaudara dengan Kiyai Haji Mufrad (pembuka Kampung Tebuk Mufrad) mereka juga bersaudara dengan Kiyai Ahmad yang masih ada dan menetap di Selekoh, Bagan Datok.

Anak kelapan dari sembilan orang adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Melayu sehingga tamat peringkat rendah. Ketika usianya mencecah 25 tahun, beliau telah merantau ke Kelantan untuk belajar di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Sebelum beliau ke sana, Kiyai Mufrad turut berguru dengan beberapa ulama' tempatan seperti Tuan Guru Haji Muhammad Bin Muhammad Zain yang kemudian menjadi mertuanya. Seorang lagi guru beliau di kampung ialah Tuan Guru Haji Ahmad Parit Sembilan, Sungai Besar.

Senarai guru-gurunya ialah :

1. Tuan Guru Haji Muhammad Bin Muhammad Zain

2. Tuan Guru Haji Ahmad, Parit 9, Sungai Besar

3. Tuan Guru Haji Mustafa Pasir Tumboh 

4. Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pasir Tumboh 

5. Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumboh 

Kiyai Haji Mufrad telah berkahwin dengan Siti Pauziah Binti Haji Mohamad (59 tahun) yang berasal dari Kampung Sungai Haji Dorani ketika beliau berusia 33 tahun, yakni selepas setahun pulang dari Kota Bharu.

Bapa kepada isterinya, Tuan Guru Haji Mohamad Bin Mohammad Zain dilahirkan di Melaka pada tahun 1901. Mendapat pendidikan awal di Kedah sebelum belayar ke Mekah. Ketika hayatnya, beliau direzekikan untuk menunaikan Haji sebanyak 9 kali. Jasanya adalah sebagai guru di sekolah agama di Sungai Nibong dan juga mengajar di masjid surau sekitar kawasan Sungai Besar. Setiap hari Jumaat, beliau akan mengajar ilmu fardhu ain. Orangnya sangat tawaduk, banyak menangis di bilik suluknya, suka membaca al-Quran serta berzikir. Beliau meninggal dunia pada tahun 1981 dalam 80 tahun.

Hasil perkahwinan ini, Kiyai Mufrad dan Puan Siti Pauziah dikurniakan 10 orang anak iaitu :

1. Ustaz Mohd Firdaus  

2. Fairuz 

3. Ustazah Anis - Guru bahasa Arab Puncak Alam

4. Salwa

5. Mahbub - Lulusan Pondok Kroh

6. Subro Maliki - Lulusan Pondok Kroh

7. Wardatun - guru kafa

8. Sumila

9. Rosmidar

10. Nadroh

Setelah pulang ke kampung halaman beliau mula mengajar agama di surau serta masjid kampung. Beliau juga sering dijemput menjadi penceramah agama di majlis-majlis perayaan seperti Maulid Nabi dan Israk Mikraj. Selalunya orang yang mendengar ceramah atau kuliahnya akan menangis kerana tersentuh. Ini kerana Kiyai Mufrad akan berkata dengan sepenuh hatinya dan beliau betul-betul menjiwai bait kalam yang keluar dari mulutnya. Antara sahabatnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Jabbar Bin Bakri, Sungai Nibong.

Selang beberapa tahun kemudian, beliau telah membuka pondoknya sendiri di Kampung Sungai Haji Dorani. Pada peringkat permulaan Kiyai Mufrad sangat bimbang untuk membuka pondok kerana sifatnya yang sangat tawaduk. Beliau takut ilmunya sangat sedikit bagi membolehkannya membuka pondok. Atas permintaan penduduk kampung dan sumbangan wakaf kayu kayan, akhirnya beliau membuka juga pondok tersebut. Selepas 5 tahun, pondoknya mula berkembang. Masyarakat  mendirikan pondok-pondok kecil di sekeliling surau utamanya.

Antara peribadi Kiyai Haji Mufrad ialah :

1. Beliau tidak suka dan tidak ambil langsung duit bayaran elaun mengajar yang pejabat agama beri.

2. Seorang yang sangat zuhud dalam kehidupannya. Baginya, dunia bukan apa-apa. Segala duit yang beliau peroleh dari mengajar, Kiyai Mufrad akan berikan kepada isterinya.

3. Beliau seorang yang bijak dan di antara pelajar Pondok Pasir Tumboh yang mahir berpidato. Antara mereka yang mendapat didikannya ialah Dato' Haji Taib Azimuddin.

4. Walau diusianya yang muda, masyarakat kampung sangat segan dan hormat pada beliau.

5. Beliau suka memakai serban putih di dalam apa jua kegiatannya.

6. Seorang yang sangat tawaduk. Beliau tidak suka mengetengahkan dirinya di dalam kalangan masyarakat dan tidak suka dipuji-puji. Selalu apabila ditanya, dimanakah beliau mengaji, Kiyai Mufrad akan menjawab "Mana ada mengaji, jalan-jalan je".

7. Sering bangun sepertiga malam lalu mengejutkan isterinya untuk solat Tahajjud.

8. Sebelum tidur beliau akan membaca kitab sehinggakan di tangannya ada bekas lebam kerana lamanya "menongkat" kitab.

9. Mahir membuat rumah dan pandai baiki kereta serta motorsikal 

Setelah sekian lama berjasa kepada masyarakat beliau akhirnya meninggal dunia sakit akibat sakit strok pada 14 Januari 2015 ketika berusia 70 tahun di Lot 9676 Pekan Selasa Lama, Sungai Haji Dorani, 45300, Sungai Besar, Selangor.

Ketika hujung-hujung hayatnya dalam keadaan tidak mampu bercakap, beliau memanggil isterinya. Apabila isterinya sampai dan memangku beliau di riba, Kiyai Mufrad sempat melafazkan kalimah "La illa ha illallah" lalu meninggal dunia. 

Orang ramai sangat sayang kepada Kiyai Mufrad. Mereka santuni jenazahnya dengan sangat lemah lembut. Berulang-ulang saf solat jenazah dibentuk kerana ramainya yang hadir. 

Di antara muridnya yang sangat setia ialah Tuan Guru Ustaz Syukri Bin Abdul Majid - Pendiri pondok di Titi Haji Idris, Kedah. Kedua, Ustaz Yusri yang menetap di Kuala Lumpur, juga membuka sebuah tahfiz. Dan yang ketiga, Ustaz Haji Ahmad Khairi Bin Haji Mohammad, menantu Tuan Guru Haji Abdul Aziz serta Penguasa Dua Pondok Pasir Tumboh.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber - Temubual dengan Puan Siti Pauziah (isteri Allahyarham) pada 1 September 2021

 Sumber :  https://ilovesungaibesar.blogspot.com/2021/09/nama-ulama-kiyai-haji-mufrad-tersemat.html

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)