Saya merupakan pengguna Lebuhraya Timur Barat dari zaman sekolah rendah hinggalah ke zaman bekerja sekarang ini. Dulu saya belajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang di mana laluan terdekat untuk pulang ke Kelantan tentulah Lebuhraya Timur Barat yang melalui Kulim, Gerik, Jeli dan terus ke Nilam Puri. Apabila saya bermastautin di Sabak Bernam, saya ada dua pilihan untuk pulang ke Kelantan. Samaada melalui Gerik atau melalui Gua Musang (Lebuhraya Pantai Timur) . Kedua-duanya mempunyai jarak perjalanan dan tempoh masa yang hampir sama untuk pulang ke Kelantan dari Sabak Bernam.
Tetapi saya tetap memilih untuk melalui Gerik kerana ia seolah-olah mengembalikan nostalgia lama dulu. Haha. Bukan apa. Nenek saya (sebelah ibu) dan ramai keluarga saya sejak 30 tahun lalu ramai berhijrah ke Kulim dan Pulau Pinang. Jadi saya banyak dibawa oleh keluarga saya untuk menziarahi nenek saya melalui laluan Gerik ini semenjak puluhan tahun lalu. Tapi banyak kelemahan yang perlu diperbaiki di Lebuhraya Timur Barat ini. Banyak lubang yang perlu ditampal dan perlu diturap kembali, garisan jalan pun 70 % sudah tidak kelihatan, dan ketiadaan pencahayaan yang baik menambahkan risiko kemalangan di sini. Sebab itu saya memilih untuk melalui perjalanan dari Gerik ke Jeli hanya pada waktu siang kerana bimbangkan risiko yang menanti.
Sempat berhenti solat di Masjid Mukim Gunung Reng, yang terletak di kaki Gunung Reng di Jeli. Gunung Reng terletak di Kampung Gunong, Jeli, Kelantan, berhampiran Kampung Batu Melintang, 15 kilometer dari pekan Jeli. Walaupun sudah puluhan (atau ratusan kali) saya melalui jalan ini, saya tidak pernah singgah ke masjid ini. Mungkin kerana kedudukannya ke dalam sedikit daripada jalan utama menyebabkan kami tak singgah.
Pada hari ini sempat solat di sana, dan menikmati keindahan pemandangan bukit batu ini.
Menurut riwayat lisan, asalnya di tempat gunung ini berada, terdapat sebuah kampung yang dinamakan sebagai Kampung Tala. Kampung ini diketuai oleh seorang keturunan jawa yang dinamakan Tok Tak Dok . Pada suatu hari kampung ini mengadakan pesta besar-besaran di mana salah satu acara kemuncak di sana ialah pertandingan laga kucing dan anjing.
Menurut riwayat lagi, selepas acara ini dipertandingkan, kampung tersebut tiba-tiba dilanda angin kuat dan ribut petir. Kemudian kampung itu dihempap dengan batu tersebut sebagai pembalasan tuhan terhadap perlakuan mereka. Kebenaran kisah ini tidak dapat dipastikan kerana hanya disebarkan melalui sumber lisan. Sesiapa yang melalui Lebuhraya Timur Barat bolehlah singgah ke sini nanti.