Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz berasal dari Sekolah Menengah
Kebangsaan yang ditubuhkan di Sabak Bernam pada tahun 1959. Pada masa
itu wujud 2 buah Darjah Menengah Melayu di Sabak Bernam. Kemudian
Darjah-Darjah Menengah Melayu ini digabungkan dan ditempatkan di Pekan
Sabak. Hasil gabungan ini maka wujudlah Sekolah Menengah Kebangsaan
Sabak Bernam dengan menumpang dibangunan lama Sekolah Melayu Sabak
Bernam. Tapak lama bangunan sekolah ini telah dijadikan Masjid Jamek
Sabak Bernam.
Ada beberapa sebab sekolah ini ditubuhkan. Antaranya ialah bagi memenuhi
aspirasi rakyat untuk mendaulatkan Bahasa Melayu selepas sahaja
negara mencapai kemerdekaan. Selain itu, tujuan sekolah ini ditubuhkan
bagi memberi peluang kepada penduduk luar bandar yang tidak berpeluang
atau mampu untuk mendapat pendidikan di sekolah aliran Inggeris yang
terdapat di Sabak Bernam pada masa itu.
Sekolah
ini telah dibuka dengan rasminya pada 27 Julai 1964 oleh Yang
Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia, Encik Abdul Rahman Bin Haji Taib.
Pada 18 Julai 1970, sekolah ini dengan rasminya telah dinamakan
Sekolah Menengah Ungku Aziz, sempena nama Profesor Diraja Ungku Aziz,
Naib Canselor Universiti Malaya.
Pada 20 Julai 1985, Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz telah
menyambut Jubli Perak yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Dr. Mohd
Yusof Noor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pada tahun
2009, SMK Ungku Aziz menyambut Sambutan Jubli emas.
Sumber : http://smkua.blogspot.com/2010/10/sejarah-sekolah.html